Sepasang kebaya bukan sekadar pakaian tradisional tetapi melambangkan warisan budaya Melayu yang kaya dengan nilai dan penuh bermakna.
Demikian dikongsi jurutari veteran dan penerima Anugerah Pingat Budaya, Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Cik Som Said, kepada Berita Harian (BH) semasa satu majlis penghargaan buat pejuang kebaya di Muzium Tamadun Asia pada 10 Disember.
Pengasas Sri Warisan itu menganggap kebaya sebagai simbol keanggunan dan kewanitaan yang abadi, khususnya dalam seni persembahan, di mana ia memainkan peranan penting dalam tarian dan penceritaan.
Majlis anjuran Lembaga Warisan Negara (NHB) itu diadakan bagi menghargai individu-individu – daripada pengamal hingga pemegang taruh – atas sumbangan penting mereka dalam proses pencalonan dan usaha berterusan memelihara kebaya sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH).
Majlis itu menyusuli keberhasilan penyertaan kebaya dalam senarai ICH Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, turut hadir dalam meraikan pencapaian dan merakamkan penghargaan itu bersama 170 tetamu yang terdiri daripada anggota Kawan Kebaya, rakan kerjasama, dan pihak berkepentingan warisan yang telah menyokong pencalonan itu.
Cik Som, 73 tahun, berkata: “Saya melihat kebaya sebagai medium penting untuk menzahirkan warisan kita dan sebagai jambatan antara tradisi dengan kreativiti. Reka bentuk kebaya turut memainkan peranan penting dalam penerbitan Sri Warisan, lazimnya disesuaikan untuk menyampaikan naratif atau tema tertentu.
“Bagi Sri Warisan, sebelum penari kita mempelajari sebarang koreografi, mereka didedahkan terlebih dahulu kepada kekayaan tradisi kami, termasuk makna simbolik pakaian seperti kebaya. Dengan menggunakan kebaya sebagai alat seni dan pendidikan, kami memupuk pemahaman kepada generasi muda tentang nilai budaya yang terkandung.”
Mengulas pengiktirafan kebaya baru-baru ini, Cik Som, yang juga anggota Kawan Kebaya, berkata bahawa “ia mengesahkan kepentingan kebaya sebagai simbol budaya serta menyerlahkan peranannya dalam menghubungkan masa lalu, masa kini, dan masa depan kita”.
Pandangan serupa turut dikongsi Pemilik Kiah Gallery, Cik Yati Hairi, yang menyifatkan pengiktirafan itu sebagai “menghidupkan semula warisan lama agar terus diingati oleh generasi akan datang.”
Beliau, yang kini banyak bekerja dengan anak-anak muda untuk memahami cita rasa mereka, berkongsi bahawa menerusi interaksi ini, beliau dapat “mempengaruhi mereka untuk menjadikan rekaan kebaya lebih peribadi, sesuai dengan gaya mereka, agar mereka lebih menghargai pakaian itu.”
Semangat ini turut diwarisi oleh generasi muda, seperti Cik Putri Nadirah Hassan, 31 tahun, yang aktif memelihara dan mempromosikan kebaya.
Anak kepada pengasas Kebaya by Ratianah, Cik Ratianah Tahir, itu membantu menguruskan butik tersebut dan meluahkan harapannya agar golongan muda menerima dan menghargai kebaya.
Usaha Cik Putri selari dengan ucapan Encik Tan yang menggesa usaha berterusan dalam memelihara kebaya demi generasi kini.
Beliau berkata: “Kita perlu memastikan warisan budaya istimewa ini terus dipelihara, bukan sahaja sebagai penghormatan kepada generasi sebelum kita dan untuk dinikmati oleh generasi sekarang, malah sebagai pusaka berharga bagi anak-anak kita dan generasi yang akan datang.”
Encik Tan turut merakamkan sokongan rangkaian masyarakat tempatan sepanjang perjalanan pencalonan selama lebih daripada dua tahun seperti Kawan Kebaya yang telah menyumbang pengetahuan dan pandangan mereka tentang kebaya melalui perbincangan kumpulan fokus, bengkel, dan usaha melibatkan masyarakat seperti pameran Love, Kebaya.
Kebaya, pakaian tradisional wanita yang popular di Asia Tenggara, telah dimasukkan secara rasmi ke dalam senarai warisan budaya tidak ketara dunia pada 4 Disember.
Penyertaan kebaya dalam senarai itu menandakan kali kedua amalan warisan budaya tidak ketara yang dicadangkan oleh Singapura disenaraikan Unesco, selepas budaya penjaja diiktiraf pada 2020.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg