Peranan penting yang dimainkan mantan Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Mohamad Hasbi Hassan dan pengasas bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Allahyarham Ustaz Ali Mohamed, telah memberikan sumbangan besar kepada usaha menjadikan Singapura negara yang lebih selamat.
Ini terutamanya sewaktu Singapura dalam usaha mematahkan rangkaian ekstremis tempatan Jemaah Islamiyah (JI) dua dekad lalu, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dalam majlis penghargaan makan tengah hari untuk sukarelawan masyarakat oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) di Parkroyal Collection Marina Bay pada 13 September.
Memberi penghormatan kepada dua tokoh itu dalam ucapannya, Encik Wong berkata mereka telah menonjolkan sifat berani meskipun berdepan dengan risiko dilontar kritikan mahupun dilabel sebagai munafik kerana bekerjasama dengan pemerintah.
Merujuk kepada peristiwa tersebut, beliau menjelaskan yang anggota JI hampir-hampir menjalankan serangan besar-besaran di Singapura dengan menyasar tapak tentera dan stesen MRT.
Mujur, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mampu bertindak menghalang mereka.
“Kami juga sedar bahawa operasi keselamatan semata-mata tidak mampu menangani punca sebenar masalah ini, iaitu salah tafsir yang berbahaya tentang Islam yang menyemarakkan lagi fahaman ekstremis mereka.
“Kami bernasib baik kerana Ustaz Hasbi, yang bersama kita hari ini dan Allahyarham Ustaz Ali telah tampil dengan berani untuk membantu.
“Ini merupakan satu pendekatan pemulihan yang berani dan belum pernah dilakukan sebelum ini, dengan hasilnya juga mempunyai kepastian.
“Mereka sanggup mengambil risiko dikritik, malah dilabel sebagai munafik atau hipokrit kerana bekerjasama dengan pemerintah.
“Begitu juga sukarelawan dari Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi.
“Mereka terus berusaha walaupun menerima reaksi dingin apabila mereka mula mendekati keluarga para tahanan,” ujarnya.
Atas segala keberanian dan keyakinan yang mereka tonjolkan, Singapura kini menjadi lebih selamat, tambah Encik Wong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg