Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Keberkatan tempah korban pada Ramadan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KORBAN DI MASJID SETEMPAT

Keberkatan tempah korban pada Ramadan

Mar 29, 2024 | 05:30 AM



Ibadah korban membawa maksud penyembelihan haiwan tertentu dengan niat mendekatkan diri kepada Allah swt, khususnya menjelang Hari Raya Aidiladha sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijah.


Hukum ibadah korban adalah sunat muakkad (yang sangat digalakkan) dan ibadah korban ini juga disyariatkan berdasarkan firman Allah swt yang bermaksud:


“Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu, dirikanlah solat kerana Tuhanmu (pada Hari Raya Haji) dan sembelihlah (binatang) korbanmu (sebagai ibadah dan mensyukuri nikmat Tuhanmu).” (Surah Al-Kauthar ayat 1-2.)

Ibadah korban dituntut ke atas orang Islam, baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan.

Biasanya, tempahan haiwan bagi ibadah korban dilakukan berdekatan bulan Zulhijah menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha. Namun, anda juga digalakkan membuat tempahan bagi ibadah korban pada bulan Ramadan.

Mengulas tentang tempahan ibadah korban pada bulan Ramadan, Ketua Jabatan yang juga Pegawai Kanan Dakwah Masjid, Jabatan Pendidikan dan Khidmat Masyarakat (Daerah Utara), Masjid An-Nur, Ustaz Muhammad Zuhaili Md Yusof, berkata pemberian yang ikhlas atau melakukan sedekah pada bulan puasa mampu melipatgandakan pahala dan meraih kebaikan yang banyak.

“Secara umumnya, kita tahu bahawa bulan Ramadan merupakan bulan yang dapat melipatgandakan pahala ibadah kita dan kita juga digalakkan mengamalkan sikap memberi, terutama sekali pada bulan Ramadan.

“Rasulullah saw sendiri menunjukkan contoh tersebut sehingga disifatkan sikap dermawan Baginda pada bulan Ramadan melebihi angin yang berhembus.


“Oleh itu, sekiranya kita membuat tempahan bagi ibadah korban pada bulan Ramadan, mudah-mudahan kita juga mendapat keberkatannya dan memperolehi ganjaran terbaik di sisi Allah swt,” tambahnya.


Umat Islam juga sering digalakkan agar bersedekah pada bulan Ramadan, apatah lagi berkongsi makanan bersama golongan memerlukan seperti fakir miskin.

Dengan ini, kita juga dapat menyuntik kegembiraan dalam hati mereka dengan menyumbangkan daging korban.

Amalan ini melambangkan sikap rahmah dan ihsan kita sesama insan seperti yang dituntut dalam agama Islam, kata Ustaz Zuhaili.

Sebagai contoh, masjid-masjid di Singapura kebiasaannya akan mengagihkan daging korban kepada golongan penerima zakat, warga emas, pekerja asing, jemaah secara umum dan lain-lain lagi.

Memandangkan kini ibadah korban dilakukan di luar negara, maka daging korban akan dikirimkan ke Singapura pada waktu yang ditetapkan sebelum ia diagihkan.

Antara daya usaha lain yang diambil oleh masjid-masjid di Singapura adalah seperti menguruskan daging korban supaya dimasak dan diberi kepada anggota jemaah dalam bungkusan yang disertakan dengan nasi seperti nasi beriani dan sebagainya.

Demikian penjelasan Ustaz Zuhaili tentang pengagihan daging korban kepada golongan memerlukan di Singapura yang sedikit sebanyak dapat memberi kegembiraan kepada mereka.

Menurutnya lagi, terdapat beberapa perbezaan antara korban, akikah dengan nazar. Korban dilaksanakan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah swt dan hanya dikhususkan pada waktu tertentu iaitu pada 10 hingga 13 Zulhijah.


Akikah pula dilakukan setelah dikurniakan zuriat sebagai tanda syukur di atas bayi yang selamat dilahirkan. Kedua-dua ibadah korban dan akikah hukumnya adalah sunah muakkad.


Nazar pula adalah janji untuk melakukan sesuatu apabila seseorang itu mendapat apa yang dihajatkan dan hukumnya adalah wajib.

Menurut Ustaz Zuhaili, ada beberapa hikmah di sebalik ibadah korban.

Antaranya, mereka yang melaksanakan ibadah korban telah mengenang dan mencontohi pengorbanan besar yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim as yang digelar sebagai Abu al-Anbiya’ (bapa para nabi) yang sanggup mengorbankan anaknya, Nabi Ismail as, sebagai kemuncak ketaatan dalam melaksanakan perintah Allah swt.


Namun begitu, Allah swt menggantikan Nabi Ismail as dengan seekor kibas.


Sebagai seorang anak, Nabi Ismail as juga menunjukkan contoh yang baik kerana dapat bersabar dan rela mengorbankan dirinya demi mematuhi perintah Allah swt.


Sehubungan dengan itu, ibadah korban boleh dianggap sebagai simbolik dalam mengagungkan syiar Allah swt dan kesediaan seorang hamba mengorbankan apa sahaja demi agama Islam. Ia juga melatih diri kita supaya sentiasa ikhlas dalam beribadah.


Dalam pada itu, pelaksanaan ibadah korban boleh menghapuskan kesalahan dan dosa yang kita lakukan, sama ada melakukan kemungkaran dan maksiat ataupun mengabaikan perintah Allah swt.


Ibadah korban juga, kata Ustaz Zuhaili, membuat kita melahirkan rasa syukur di atas segala nikmat yang Allah swt anugerahkan kepada kita.


Kadangkala, sebagai hamba, kita tidak sedar bahawa nikmat yang kita miliki pada saat ini sudah mencukupi dan kita masih mengambil sikap sambil lewa.

Oleh itu, ibadah korban berperanan mengingatkan kita bahawa nikmat yang kita miliki perlu dihargai dan dikongsi bersama supaya ia dapat memberi kegembiraan kepada orang lain.

Ia juga mengingatkan kita bahawa hidup ini amat memerlukan pengorbanan demi mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Dengan adanya pengorbanan, kemanisan akan lebih dirasakan melalui kejayaan yang kita perolehi, tambah Ustaz Zuhaili.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >