Seorang pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang tidak bertugas maut pada pagi 12 Ogos selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan dua van di persimpangan Punggol Way dan Sumang Link.
Pasukan Polis Singapura (SPF) dan SCDF berkata mereka dimaklumkan tentang kemalangan itu sekitar 6.45 pagi.
Mangsa lelaki berusia 50 tahun itu, yang merupakan penunggang motosikal terbabit, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh seorang paramedik SCDF.
Menurut SPF, pembonceng motosikal tersebut, seorang remaja berusia 15 tahun, dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dalam keadaan sedar.
SPF dan SCDF tidak mengesahkan sama ada mangsa dan pembonceng motosikal ada kaitan.
Polis juga memberitahu Berita Harian (BH) bahawa dua pemandu van lelaki, masing-masing berusia 40 dan 54 tahun, sedang membantu siasatan polis.
Dalam sebuah video yang dimuat naik sekitar 12.30 tengah hari di kumpulan Facebook, Singapore Roads Accident.com, beberapa orang dilihat memegang sehelai kain putih besar di hadapan sebuah van putih untuk menghalang orang ramai daripada melihat mangsa.
Sebuah khemah biru juga dapat dilihat berhampiran motosikal terbabit, manakala kenderaan polis dan pegawai polis keihatan berada di lokasi kejadian.
Dalam satu kenyataan, seorang jurucakap SCDF berkata:
“SCDF mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang pegawai. SCDF sedang berhubung dengan keluarga tersebut dan memberikan bantuan pada waktu sukar ini.”
Menurut statistik trafik terkini daripada polis, jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya mencapai paras tertinggi dalam tempoh lima tahun pada 2024, dengan 139 kemalangan yang mengakibatkan kematian direkodkan pada tahun itu.
Statistik polis menunjukkan penunggang motosikal terus menjadi kumpulan yang paling banyak terlibat dalam insiden jalan raya yang membawa kepada kecederaan atau kematian.
Walaupun motosikal hanya membentuk 14.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan di Singapura pada 2024, penunggang atau pembonceng motosikal terlibat dalam 55.2 peratus daripada semua kemalangan dan merangkumi 59.9 peratus daripada semua kematian di jalan raya, kata polis.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg