Panglima Divisyen Kesembilan (9 Div) dan Ketua Pegawai Infantri Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Brigedier Jeneral (BG) Fairoz Hassan, telah dinobatkan sebagai Jauhari Berita Harian 2025.
BG Fairoz menerima anugerah tersebut dalam majlis penyampaian, Anugerah Jauhari Berita Harian (BH), daripada Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, di Hotel Four Seasons, pada 7 November.
Anugerah itu disampaikan kepada BG Fairoz, 46 tahun, atas kecemerlangan beliau sepanjang hampir tiga dekad dalam SAF dan menjadi pegawai Melayu/Islam kedua menyandang pangkat BG sejak persaraan BG Ishak Ismail pada 2011.
Menyifatkan anugerah tersebut sebagai cerminan sebenar terhadap sokongan, pementoran dan kepercayaan yang diberikan kepadanya oleh “pelbagai individu yang telah bersama-sama tempuh perjalanan kehidupannya”, BG Fairoz berkata:
“Kejayaan bukanlah tentang menyembunyikan kekurangan anda; ia adalah tentang (bagaimana anda) menguruskannya secara strategik.
“Anda perlu tahu kekuatan dan kelemahan anda sendiri, tetapi kuncinya adalah untuk membina pasukan yang dapat mengisi jurang dan memperkukuh apa yang anda mahir.
“Oleh itu, saya berharap para pemimpin hari ini dan masa hadapan, akan dapat memberi tumpuan bukan untuk mencari individu yang sempurna, tetapi untuk membina pasukan kolektif yang sempurna.”
Anugerah anjuran BH itu meraikan individu berusia 31 tahun dan ke atas yang cemerlang dalam bidang masing-masing dan berjaya mengangkat martabat masyarakat ke paras lebih tinggi.
BG Fairoz merupakan lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Felow Nanyang di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Anggota pertama dalam keluarganya yang memilih tentera sebagai laluan kerjaya, anak bongsu dua beradik itu telah menggalas beberapa jawatan utama dalam SAF, termasuk Pegawai Pemerintah (CO) 1 Singapore Guards dan Adikung Presiden.
Selain bidang ketenteraan, beliau turut menabur bakti sebagai pengerusi M Kuasa Tiga (M³) @ Choa Chu Kang dan anggota dalam Majlis Penasihat M³.
Selain BG Fairoz, majlis itu turut menyaksikan penganugerahan Jauhari Harapan kepada pengasas bersama kolektif sastera belia Meja Conteng, Cik Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria, 28 tahun, atas usahanya memartabatkan seni dan persuratan bahasa Melayu.
Beliau menerima anugerahnya daripada Editor BH, Encik Nazry Mokhtar.
Anugerah Jauhari Harapan mengiktiraf individu berusia 30 tahun dan ke bawah, yang mempunyai semangat kental dalam mencapai kejayaan dan memberi sumbangan besar kepada masyarakat.
Cik Nur Aisyah Lyana yang juga anak sulung empat beradik berkata: “Penulisan menjadi pengubat duka – iaitu cara saya memahami kesedihan dan kekeliruan.
“Arwah ibu meninggal dunia akibat penyakit (tumor otak) dua tahun lalu. Beliau sangat meminati bahasa dan budaya Melayu, dan saya mahu semangatnya terus mekar. Itulah sebabnya saya mengasaskan Meja Conteng… untuk terus mengingati legasinya.”
Beliau mengasaskan kolektif itu bersama dua lagi temannya, Encik Fadhli Fadzil dan Encik Hidayat Nordin, pada 2024.
Di samping Meja Conteng, Cik Aisyah juga merupakan penasihat kelab peminat puisi remaja, Rumah Rima.
Beliau sedang mengikuti program Dwi Sarjana dalam Teknologi & Hal Ehwal Global di Sciences Po Paris, Perancis, dan Universiti IE di Madrid, Sepanyol.
Di samping itu, Cik Nur Aisyah Lyana juga pernah meraih Anugerah Gemilang Mendaki dan Anugerah Cemerlang Mendaki serta anugerah berprestij Hadiah Rakyat Global Batul Izzuddin pada 2022.
Sementara itu, Encik Chan turut berkongsi gagasan terhadap masa hadapan masyarakat Melayu/Islam di sini yang menerapkan gabungan warisan dengan nilai kebangsaan, sekali gus memperkukuh identiti negara.
Dalam ucapannya, Encik Chan, yang juga Menteri Pertahanan, menggariskan tiga teras terhadap erti kejayaan bagi masyarakat Melayu/Islam memandang ke hadapan.
“Pertama, kita meraih kejayaan melalui usaha sendiri jika kita mempunyai masyarakat yang bangga dengan kemajuan sendiri, yakın dengan pencapaian dalam kepelbagaian, dan identiti Melayu/Islam Singapura yang unik.
“Kedua, kita meraih kejayaan sekiranya kita mempunyai masyarakat yang menggabungkan nilai-nilai terbaik Singapura, seperti meritokrasi, keadilan, keterbukaan, dengan warisan masyarakat Melayu/Islam yang begitu kaya.
“Ketiga, kita meraih kejayaan jika kita ada masyarakat yang kukuh dalam jalinan hubungan (sesama masyarakat), namun mendakap masyarakat majmuk Singapura, dengan berpaksikan kepercayaan tersendiri, namun kekal terbuka,” ujarnya.
Sementara itu, dalam majlis tersebut, Encik Nazry turut mengumumkan rombakan format akhbar BH daripada lembaran lebar kepada bentuk kompak.
Ia bakal dilancarkan pada suku pertama 2026.
Langkah itu sejajar dengan usaha transformasi BH, dengan mengambil kira maklum balas pembaca agar kandungan BH kekal relevan.
“Dengan beralih kepada lembaran kompak, BH berharap ia bukan sahaja dapat memberikan perkhidmatan lebih baik kepada golongan pembaca akhbar cetak kami pada masa kini, tetapi juga menambat hati pembaca baru terutamanya daripada generasi muda.
“Edisi kompak yang diubah suai ini direka sebagai produk premium. Ia akan mempunyai kandungan yang dipertingkat, lebih banyak analisis berita, senarai berita, ringkasan berita dan akses lebih mudah kepada kandungan digital BH melalui kod QR.
“Ini akan membolehkan pembaca menikmati pengalaman membaca yang lancar dari cetak ke digital,” ujarnya.
Edisi ke-27 anugerah itu diserikan dengan kehadiran sekitar 230 tetamu.
Penerima anugerah 2025 ditentukan oleh lima anggota panel yang diterajui bersama Encik Nazry dan Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin), Encik Zainul Abidin Rasheed.
Anggota panel lain termasuk Pengarah Pusat Kepimpinan Masyarakat dan Inovasi Sosial Institut Teknologi Singapura (SIT), Profesor Madya Dr Intan Azura Mokhtar; Zamil Kanan yang juga Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat; serta Anggota Lembaga Institut Timur Tengah Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Fazlur Rahman Kamsani.
Majlis Anugerah Jauhari 2025 ini ditaja OCBC selaku penaja utama, dengan penaja lain terdiri daripada MES Group, Persatuan Bank Singapura (ABS), Call Lade Enterprises dan NETS.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg