Masyarakat Melayu/Islam di Singapura harus terus berbangga dengan kemajuan mereka, yakin dengan identiti Melayu/Islam Singapura yang unik, dan bersikap terbuka kepada dunia, kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing.
Berkongsi visinya tentang masa depan masyarakat Melayu/Islam Singapura semasa majlis Anugerah Jauhari 2025, anjuran Berita Harian (BH) di Hotel Four Seasons, pada 7 November, Encik Chan berkata masyarakat tersebut terus selesa dengan kepelbagaian dan bersatu melalui identiti kebangsaan, meskipun mereka kekal teguh berpegang kepada akar tradisi.
“Pertama, kita meraih kejayaan melalui usaha sendiri jika kita mempunyai masyarakat yang bangga dengan kemajuan mereka, yakın dengan pencapaian dalam kepelbagaian, dan identiti Melayu/Islam Singapura yang unik.
“Kedua, kita meraih kejayaan sekiranya kita mempunyai masyarakat yang menggabungkan nilai-nilai terbaik Singapura, seperti meritokrasi, keadilan, keterbukaan, dan kaya dengan warisan masyarakat Melayu/Islam.
“Ketiga, kita meraih kejayaan jika kita ada masyarakat yang kukuh dalam jalinan hubungan (sesama masyarakat), namun mendakap masyarakat majmuk Singapura, dengan berpaksikan kepercayaan tersendiri, namun kekal terbuka,” ujar beliau, yang hadir di majlis tersebut selaku tetamu terhormat.
Dalam edisi ke-27 kali ini, anugerah tersebut menghargai anggota masyarakat Melayu/Islam yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang masing-masing, malah turut mengangkat martabat masyarakat melalui kepimpinan, daya kreatif dan keutuhan semangat juang.
Panglima Divisyen Kesembilan dan Ketua Pegawai Infantri Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Brigedier Jeneral (BG) Fairoz Hassan, 46 tahun, telah dinobatkan sebagai penerima Jauhari Berita Harian 2025.
Dalam majlis yang sama, pengasas bersama sebuah kolektif penulis muda Melayu Singapura, Meja Conteng, Cik Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria, 28 tahun, dinamakan selaku penerima, Jauhari Harapan Berita Harian 2025.
Anugerah Jauhari 2025 anjuran BH disokong oleh OCBC sebagai penaja utama, di samping tajaan bersama penaja lain, MES Group, Persatuan Bank Singapura (ABS), Call Lade Enterprises, dan NETS.
Menyentuh tentang pencapaian kedua-dua individu tersebut, Encik Chan mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada mereka kerana membanggakan Singapura dan masyarakat Melayu/Islam.
Berucap kepada sekitar 230 hadirin, Encik Chan, yang juga Menteri Pertahanan, berkongsi bahawa terdapat lebih ramai individu Melayu/Islam yang cemerlang dan daripada pelbagai bidang untuk dipertimbangkan oleh Anugerah Jauhari setiap tahun.
“Pada pendapat saya, ia adalah sesuatu yang menggembirakan. Ini adalah petanda baik, kerana ia menunjukkan sebuah masyarakat yang semakin kuat, lebih yakin, dan lebih berjaya dengan setiap generasi,” kongsi beliau.
Sementara itu, Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, mengumumkan fasa baru akhbar BH dalam sejarah penerbitannya apabila ia bertukar format daripada lembaran lebar atau broadsheet kepada saiz kompak pada suku pertama 2026.
Menyentuh tentang transformasi bilik Berita BH, Encik Chan menzahirkan tahniah atas usaha itu dalam dunia Internet hari ini yang disifatkannya sebagai “tidak mudah”.
“Saya harus mengucapkan tahniah kepada mereka atas visi mereka.
“Ia bukan mudah dalam dunia Internet hari ini... tetapi saya yakin dengan pasukan ini, sentiasa mencari kaedah-kaedah baru, mampu membawa BH ke peringkat selanjutnya,” kongsi beliau.
Menyentuh tentang identiti kebangsaan, Encik Chan menekankan bahawa identiti tersebut bukan bermakna semua orang harus sama atau mengabaikan perbezaan.
Ini sambil mengakui bahawa perbezaan akan sentiasa wujud dalam masyarakat, dalam memahami dengan mendalam daya dan potensi yang wujud dalam diri setiap individu.
“Kita akan gagal jika mengabaikan perbezaan atau cuba menjadikan semua orang sama. Tetapi, kita akan berjaya jika menghormati perbezaan tersebut, dan menggunakannya untuk saling melengkapi antara satu sama lain.
“Inilah yang memberi daya ketahanan dan keseimbangan kepada masyarakat kita, terutama dalam dunia yang semakin berpecah belah,” kongsi beliau.
“
“Kita akan gagal jika mengabaikan perbezaan atau cuba menjadikan semua orang sama. Tetapi, kita akan berjaya jika menghormati perbezaan tersebut, dan menggunakannya untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Inilah yang memberi daya ketahanan dan keseimbangan kepada masyarakat kita, terutama dalam dunia yang semakin berpecah belah.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg