Dalam satu kuliah pada 11 Februari, sebagai sebahagian sambutan SG60 dan ulang tahun ke-70 Kementerian Pendidikan (MOE70), Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, bercakap tentang keperluan untuk peralihan dalam pemikiran dan budaya dalam menghadapi cabaran baru. Berikut petikan ucapannya yang telah disunting.
Tahun ini, kita memperingati SG60, MOE70 dan NIE75 (ulang tahun ke-75 Institut Pendidikan Nasional).
Ia adalah tepat pada masanya untuk kita melihat kembali bagaimana sistem pendidikan kita wujud, dan melihat ke hadapan untuk membayangkan bagaimana ia perlu berkembang.
Singapura mencapai kemerdekaan pada 1965. Tetapi penakatan kita bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah.
Sistem pendidikan kita akan menjadi kunci bagi kejayaan Singapura dan penakatan kita sebagai sebuah negara.
Golongan perintis Singapura yakin bahawa kita memerlukan satu sistem pendidikan yang bersepadu, yang akan mencapai tiga matlamat – memastikan rakyat kita mempunyai kemahiran untuk mendapatkan pekerjaan, membina identiti Singapura yang baru muncul, dan memupuk perpaduan di tengah-tengah ketegangan perkauman yang membara.
Pada tahun-tahun awal, perintis kita terpaksa berdepan dengan tiga cabaran yang mendesak dan sangat besar.
Pertama, prasarana pendidikan kita terancam ekoran beban penduduk yang semakin bertambah.
Terdapat kekurangan sekolah yang kritikal.
Banyak yang telah rosak atau musnah semasa perang. Guru-guru juga tidak mencukupi.
Kedua, sistem pendidikan telah berpecah belah akibat perbezaan bahasa.
Sekolah digolongkan mengikut aliran bahasa yang masing-masing mempunyai kurikulum dan keperluan peperiksaan sendiri.
Tanpa campur tangan, kita menghadapi kemungkinan membesarkan generasi kumpulan warganegara yang berbeza, dengan pandangan dunia yang berbeza, yang boleh berkomunikasi hanya dengan mereka yang dalam aliran bahasa sendiri.
Penguasaan dalam bahasa Inggeris juga semakin diperlukan untuk pekerjaan baru.
Ketiga, sistem pendidikan berpecah belah.
Sekolah waktu itu disediakan oleh pelbagai pertubuhan dengan mutu berbeza-beza.
Kita dapat mengatasi masalah kapasiti menjelang tahun 1970-an.
Akses kepada pendidikan telah meluas. Perindustrian juga telah banyak mencipta pekerjaan yang berpendapatan tinggi.
Tetapi apabila sekolah kita mula mengambil pelajar yang mempunyai tahap kebolehan yang berbeza-beza, masalah daripada garis pemisah bahasa dan mutu menjadi lebih ketara.
Persaingan global juga semakin meningkat. Untuk menjamin pertumbuhan ekonomi kita bagi jangka panjang, kita terpaksa naik ke tahap rantaian nilai lebih tinggi, ke arah industri yang lebih intensif modal dan kemahiran.
Mutu kemahiran pekerja kita juga perlu dipertingkatkan dengan ketara.
Dengan latar belakang ini, pada 1979, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dr Goh Keng Swee, mengetuai satu pasukan untuk menghasilkan satu laporan inovatif yang membentuk asas bagi sistem pendidikan yang baru.
Laporan itu mengakui bahawa satu pendekatan satu saiz untuk semua dalam sistem pendidikan tidak lagi mencukupi.
Jika kita berharap untuk memanfaatkan potensi sepenuhnya daripada penduduk yang pelbagai, kita harus mengambil kira pelajar yang berbeza keperluan, kekuatan dan kebolehan.
Satu cadangan utama daripada laporan Dr Goh ialah penyaluran pelajar ke aliran tertentu (streaming), di mana pelajar akan dikumpulkan ke dalam kursus yang berbeza bergantung kepada penguasaan bahasa dan kebolehan akademik mereka.
Ini membolehkan sekolah mengikut tahap pelajar dan memupuk persekitaran di mana pelajar boleh mencapai potensi mereka.
Untuk terus menyokong pelajar di setiap peringkat keupayaan akademik, inisiatif bersasar lain telah dilaksanakan seperti Program Pendidikan Bijak (GEP) dan Program Sokongan Pembelajaran (LSP), serta penubuhan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Untuk melaksanakan perubahan bercita-cita tinggi ini, kita terpaksa buat usaha serentak untuk lebih menyokong pendidik kita.
Pada 1973, Maktab Perguruan (TTC) telah dirombak menjadi Institut Pendidikan (IE), iaitu pendahulu kepada NIE (Institut Pendidikan Nasional).
Menjelang akhir 1990-an, langkah ini telah membuahkan hasil dan pelajar kita mendapat keputusan baik dalam ujian dan platform antarabangsa.
Namun dengan kebangkitan Internet, ia berubah dengan pantas dan membentuk semula wawasan pendidikan dan pekerjaan kita.
Mereka yang boleh berinovasi lebih cepat yang akan berjaya.
Perubahan ke arah Sekolah Berfikir, Negara Berilmu (Thinking Schools, Learning Nation) yang diperkenalkan pada 1997 menandakan permulaan yang ketiga fasa sistem pendidikan kita.
Diketuai oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Encik Teo Chee Hean, kita menggalakkan penyesuaian yang lebih besar bagi profil pelajar yang berbeza, untuk menjadikan pembelajaran lebih kaya dan pelbagai.
Kita beralih daripada fokus agar pelajar mengetahui kandungan fakta - untuk menajamkan keupayaan mereka untuk menyaring dan membezakan maklumat.
Kita membangunkan satu rangka kerja dasar baru untuk menyokong kurikulum lebih holistik, mengurangkan kurikulum kebangsaan, dan membangunkan Pelan Induk Teknologi Maklumat pertama pada 1997.
Kita juga mula mencipta lebih banyak lagi laluan terbuka dan pelbagai dalam sistem pendidikan.
Kita memperkenalkan program dan jenis sekolah yang berbeza untuk memenuhi pelbagai kebolehan dan aspirasi, termasuk Program Bersepadu (IP) dan lebih banyak sekolah khusus seperti Sekolah Sukan Singapura dan Sekolah Menengah Spectra.
Langkah utama ini dilengkapi dengan asas perubahan peringkat sistem untuk memperkasakan kedua-dua pendidik dan sekolah.
Gaji pendidik dibuat lebih berdaya saing.
Pada 2001, satu struktur kerjaya tiga landasan untuk pendidik turut diperkenalkan: terdiri daripada Landasan Kepimpinan, Landasan Pengajaran dan Landasan Pakar.
Ia adalah yang pertama sepertinya di dunia. Ia memberi isyarat bahawa tugas mengajar itu adalah pekerjaan yang pelbagai rupa, dengan pelbagai kemuncak kecemerlangan.
Sekolah juga diberikan autonomi yang lebih besar untuk menggunakan sumber mereka dengan sebaik mungkin bagi memenuhi keperluan pendidik dan pelajar mereka.
Baru-baru ini, kita meneruskan langkah mengukuhkan pendidikan holistik dan laluan yang pelbagai.
Kecekapan Abad Ke-21 (21CC) Yang Dipertingkatkan telah dilancarkan pada 2023 untuk meletakkan penekanan yang lebih besar kepada pemikiran mudah suai dan berdaya cipta, komunikasi dan kecelikan sivik.
Sistem skor T Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) digantikan dengan sistem Tahap Pencapaian pada 2021.
Hanya tahun lalu (2024), kita melaksanakan sepenuhnya Pengumpulan Berdasarkan Subjek (SBB), menggantikan sistem penyaluran lama.
Kita sedang menyemak Program Pendidikan Bijak dan Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA).
Bilangan sekolah pendidikan khas yang dibiayai pemerintah dan masyarakat juga telah berkembang.
Kita mengambil pendekatan kitaran hayat untuk pelaburan kita dalam pendidikan dengan memperkukuh kedua-dua asas prasekolah dan pembelajaran sepanjang hayat.
Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda), yang bersama-sama diselia oleh MOE dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), ditubuhkan pada 2013, untuk menyelia sektor prasekolah.
Pergerakan SkillsFuture dilancarkan pada 2015, usaha pertama di seluruh negara untuk mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat.
Ia membezakan kita dari negara lain, yang secara tradisional tertumpu kepada pembelajaran dalam tahun-tahun asas.
Dalam kita melihat ke hadapan untuk masa depan, kita mesti jelas tentang peluang daripada asas pendidikan tinggi kita, dan kemungkinan perangkap yang akan datang.
Pertama, percambahan media sosial menimbulkan cabaran bias pengesahan, ruang gema, dan penyebaran maklumat yang salah – yang mengancam untuk memecahbelahkan masyarakat.
Di samping kemampuan menyaring maklumat, juga kritikal bagi kita untuk belajar membezakan kebenaran, mutu dan kerelevanan.
Kedua, Kecerdasan Buatan (AI) kini telah menjadi mudah diakses.
Jika orang kita boleh memanfaatkan teknologi ini, kita boleh mencapai di luar apa yang dianggap kemampuan kita.
Tetapi jika kita gagal mengikut gelombang ini, kita akan ketinggalan.
Ketiga, langkah perlindungan terus meningkat di peringkat global.
Sebagai negara bandar kecil, kita mesti bekerja dua kali ganda sukar untuk menjangkau dan membina perkongsian merentasi dunia.
Pada satu pihak, kita mesti mengelak daripada mudah berpuas hati, di pihak lain, kita tidak harus terlalu menekan pelajar kita.
Ujian seperti yang dijalankan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mengukur kebolehan yang berharga hari ini.
Tetapi mereka tidak boleh mengukur kemahiran baru yang diperlukan pada masa hadapan.
Walaupun kita berusaha untuk membantu pelajar kita menyedari sepenuhnya potensi mereka, kita mesti mengelak daripada memberi tumpuan keterlaluan kepada markah sahaja, yang akan menghilangkan rasa ingin tahu dan minat belajar.
Kita juga perlu menjauh daripada fokus kepada kepentingan dalaman.
Ujian sebenar bukanlah sama ada pelajar kita dapat mendahului pelajar lain dalam 15 tahun pertama persekolahan mereka, tetapi sama ada mereka akan dapat terus mengatasi keupayaan diri mereka sendiri dalam 50 tahun akan datang.
Golongan terdahulu telah menyampaikan tanggungjawab kepada kita.
Kita tidak boleh berehat tanpa terus berusaha. Kami mesti selalu memikirkan dan memberi tumpuan pada masa depan, dan apa yang akan dituntut daripada kita.
Kita akan membuat dua perubahan struktur, yang telah berjalan selama bertahun-tahun.
Pertama, kita akan teruskan menyokong penyesuaian yang lebih besar dalam pendidikan untuk memenuhi pelbagai kebolehan, keperluan, minat dan aspirasi.
Kedua, sebagai masyarakat, kita mesti menerima pembelajaran di luar sekolah dan buku.
Sebagai satu sistem, kita mesti menahan keinginan untuk terlebih menyediakan, terlalu melindungi dan terlampau berstruktur.
Sekolah tidak boleh menjadi dunia kita; sebaliknya, dunia sepatutnya sekolah kita.
Kita mesti terus memupuk semangat pembelajaran sepanjang hayat.
Peralihan ini mestilah dilengkapi dengan usaha berterusan untuk meningkatkan kemahiran dan menyokong tenaga pengajar kita, untuk membantu mereka memenuhi tuntutan yang lebih kompleks ini.
Pengajaran bukan sahaja penghantaran pengetahuan secara didaktik.
Walaupun kita membuat anjakan berstruktur, dwibahasa mesti kekal sebagai asas sistem pendidikan kita.
Syukurlah, kita tidak bermula dari awal. Saya mempunyai renungan yang berikut renungan untuk kita terus berjaya:
Pertama, kita mesti terus kekal mengejar kecemerlangan sambil menegakkan meritokrasi yang terbuka, berterusan dan penuh belas kasihan.
Kita tidak boleh berpuas hati dengan “cukup baik”.
Setiap daripada kita mesti berusaha untuk memenuhi potensi kita sepenuhnya – sama ada dalam akademik, atau bidang lain.
Kita mesti membezakan pengejaran kecemerlangan dalam konteks, daripada mengejar kesempurnaan tanpa konteks, yang berisiko tidak relevan.
Dalam dunia yang tidak menentu, kita mesti lakukan perkara yang betul dengan baik – bukan sekadar perkara yang sama dengan baik.
Dalam mengejar kecemerlangan melalui meritokrasi, kita mesti berjaga-jaga daripada menjadi sekadar “pewarisan” keistimewaan.
Dasar kita mesti sentiasa berkembang untuk mengimbangkan matlamat kita bagi mobiliti dan perpaduan masyarakat.
Kita mesti memupuk keterangkuman dan percampuran dalam dasar pendidikan kita.
Kedua, masa adalah segala-galanya. Kita mesti bijak untuk mengetahui bila harus memimpin dengan keyakinan, dan bila kita perlu mengikut perubahan masyarakat.
Minda dan budaya mesti berubah seiring dengan perubahan sistem untuk kesan yang berkekalan.
Jika kita tidak meluaskan definisi kejayaan di luar nisbah dalaman, tiada bentuk perubahan dalam sistem pemarkahan PSLE yang akan mengurangkan tekanan dan membantu kita menghargai kepelbagaian bakat kita.
Begitu juga, meniadakan peperiksaan pertengahan tahun sahaja tidak cukup untuk mengurangkan tekanan ke atas pelajar jika kita, sebagai ibu bapa, menambah semula apa yang MOE telah kurangkan.
Semua dasar akan mempunyai tukar ganti, terutamanya dalam jangka masa pendek.
Ketetapan dasar dan komitmen dalam pelaksanaan dalam setiap generasi juga akan menjadi kunci.
Kita mesti mempunyai keyakinan untuk melakukan perkara yang betul untuk rakyat kita, walaupun ia tidak popular atau menyusahkan.
Ketiga, kita hanya lebih kuat bersama-sama.
Pendidik di seluruh MOE, institusi profesional, dan sekolah mesti kekal sebagai satu persaudaraan bersatu.
Kita tidak boleh menganggap bahawa “guru yang baik hanya pergi ke sekolah yang baik”.
Kita juga tidak boleh membenarkan perpecahan antara mereka yang membuat dasar dan pendidik yang melaksanakan dasar di barisan hadapan sekolah kita.
Kita mesti terus memupuk rasa saling mempercayai, serta memudahkan aliran orang, idea dan amalan terbaik di seluruh sistem pendidikan kita.
Ini memastikan bahawa kita tidak akan menjadi basi dan terasing, dan apabila kita naik tahap, kita melakukannya bersama.
Keempat, penghormatan masyarakat terhadap pendidik menentukan mutu pendidik kita, yang seterusnya membentuk mutu sistem pendidikan kita.
Pendidikan pada asasnya adalah usaha manusia. Ia membimbing penduduk sebuah negara; ia menyemai nilai, kemahiran hidup, identiti kebangsaan dan rasa perpaduan dalam rakyat kita.
Oleh itu, tiada pembiayaan atau teknologi yang boleh menggantikan bimbingan dan sentuhan peribadi yang dibuat oleh pendidik kita.
Sikap dan tingkah laku kita terhadap pendidik akan menentukan mutu orang yang akan menyertai kita dalam mendidik generasi seterusnya.
Akhir sekali, pelajar adalah dan sentiasa akan berada di tengah-tengah sistem pendidikan kita.
Apabila saya melihat ke dalam wajah penuh harapan pelajar kita, yang penuh dengan harapan dan kemungkinan, saya lihat kemajuan yang telah kita capai. Namun yang lebih penting ialah cabaran yang masih ada dan kerja yang menanti.
Usaha untuk memastikan setiap pelajar mempunyai akses kepada pendidikan, mengikut keperluan mereka; usaha menyemai kekuatan watak; dan usaha untuk mencipta sebuah persekitaran di mana mereka boleh memenuhi aspirasi mereka.
Selama 60 tahun, Singapura telah dapat bertahan dan malah berjaya berkembang walaupun menghadapi pelbagai cabaran.
Dipimpin oleh perintis yang membayangkan satu masa depan yang dikongsi walaupun mereka tidak berkongsi masa lalu yang sama – disatukan oleh cita-cita bersama ke arah meritokrasi, ketahanan dari dicemar, kepelbagaian budaya dan pada asasnya komitmen untuk pulau ini dan penduduknya.
Sistem pendidikan yang kita bina mesti bukan sahaja berusaha untuk merealisasikan potensi penuh setiap pelajar, tetapi juga menyemai rasa tujuan yang memberi inspirasi kepada mereka untuk menyumbang kepada Singapura, dan kegigihan untuk terus menentang sebarang kemungkinan.
Banyak yang telah kita lakukan.
Banyak yang dipertaruhkan.
Namun banyak lagi yang perlu dilakukan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg