Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perlu tekal, komited laksana dasar pendidikan berkesan

Feb 11, 2025 | 8:24 PM
Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing (dua dari kiri), menyertai perbincangan panel dengan (dari kiri) Pengarah Institut Pendidikan Nasional (NIE), Profesor Liu Woon Chia; Presiden Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Tan Tai Yong; dan Profesor Madya Elmie Nekmat daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) semasa Kuliah Kementerian Pendidikan (MOE) x Institut Pengajian Dasar (IPS) x NIE: ‘Dari Asas ke Sempadan – Perjalanan Pendidikan 60 Tahun’.
Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing (dua dari kiri), menyertai perbincangan panel dengan (dari kiri) Pengarah Institut Pendidikan Nasional (NIE), Profesor Liu Woon Chia; Presiden Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Tan Tai Yong; dan Profesor Madya Elmie Nekmat daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) semasa Kuliah Kementerian Pendidikan (MOE) x Institut Pengajian Dasar (IPS) x NIE: ‘Dari Asas ke Sempadan – Perjalanan Pendidikan 60 Tahun’. - Foto ST

Dasar yang konsisten dan keyakinan dalam pelaksanaan akan menjadi kunci untuk mewujudkan kesan yang berkekalan dalam pendidikan, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.

Banyak negara telah gagal dalam aspek ini bukan kerana mereka tidak mempunyai idea yang baik untuk melakukan sesuatu, tetapi kerana mereka tidak mempunyai kestabilan dalam pemerintahan untuk memastikan dasar dapat dilaksana dengan sempurna, ujar beliau.

Bercakap semasa Kuliah Kementerian Pendidikan (MOE) x Institut Pengajian Dasar (IPS) x Institut Pendidikan Nasional (NIE): ‘Dari Asas ke Sempadan – Perjalanan Pendidikan 60 Tahun’ di Maktab Rendah Anglo Chinese pada 11 Februari, Encik Chan menjelaskan:

“Banyak negara mungkin mempunyai idea yang lebih baik daripada Singapura tetapi mereka tidak semestinya mempunyai kesinambungan atau kestabilan politik untuk memberi ruang kepada pemerintah mereka untuk memastikan dasar-dasar yang sukar tapi penting dapat dilaksana.”

Memberi contoh penyaluran pelajar (streaming) dan kedwibahasaan dalam sistem pendidikan Singapura, Encik Chan berkata keputusan untuk melaksanakan dasar-dasar sedemikian bukan selalunya mudah atau popular.

“Dr Goh (Keng Swee) dan pemimpin perintis kita membuat keputusan untuk teruskan dengan pelaksanaan penyaluran pelajar pada 1979 walaupun ia tidak diterima secara meluas oleh masyarakat.

“Bahkan, adalah lebih baik dari segi politik untuk tidak berbuat demikian – tetapi ini akan bermakna tahap keciciran sekolah dan buta huruf yang tinggi. Akhirnya, seluruh sistem pendidikan dan Singapura akan menderita.

“Jadi, kami menerima tukar ganti jangka pendek bagi keuntungan jangka panjang,” jelas Encik Chan.

Bagi dasar dwibahasa pula, pendekatan yang diambil pada waktu itu lebih kepada “pendekatan secara bertahap-tahap”.

Ia mengambil masa hampir dua dekad selepas memperkenalkan dasar dwibahasa sebelum pemerintah akhirnya melaksanakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara utama di sekolah.

“Apabila kita cuba mengubah sistem, kita juga mesti menyedari bahawa pemikiran dan budaya mesti berubah seiringan bagi kesan yang berkekalan,” kata Encik Chan.

“Semua dasar akan ada tukar ganti apatah lagi dalam jangka pendek. Tiada dasar yang akan kekal relevan selamanya, tiada dasar yang boleh memuaskan semua orang.

“Namun, kita mesti mempunyai keyakinan untuk melakukan perkara yang betul bagi warga kita, walaupun ia tidak popular atau menyusahkan.

“Ketekalan dan komitmen dalam pelaksanaan merentas generasi adalah penting untuk merealisasikan keuntungan (daripada dasar tersebut),” tambahnya.

Sekitar 500 peserta termasuk guru pelajar, bekas pendidik dan tetamu dari MOE, NIE dan IPS turut hadir dalam kuliah tersebut.

“Apabila kita cuba mengubah sistem, kita juga mesti menyedari bahawa pemikiran dan budaya mesti berubah seiringan bagi kesan yang berkekalan.”
Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg