Menggapai harapan, melangkah ke lembaran baru di Aidilfitri

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menggapai harapan, melangkah ke lembaran baru di Aidilfitri

Menggapai harapan, melangkah ke lembaran baru di Aidilfitri

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Berita Harian memaparkan kisah enam individu dan keluarga yang menyambut Syawal ini dengan sinar harapan yang lebih mendalam sebagai tanda bermulanya lembaran baharu yang lebih bererti buat mereka.
Berita Harian memaparkan kisah enam individu dan keluarga yang menyambut Syawal ini dengan sinar harapan yang lebih mendalam sebagai tanda bermulanya lembaran baharu yang lebih bererti buat mereka. - Grafik oleh MOHD SAMAD AFANDIE

Menganyam impian nan murni, merintis jalan kehidupan baharu di fajar Aidilfitri.

Hari Raya kali ini bukan sekadar sambutan kemenangan setahun sekali, malah menjadi simbol lembaran hidup yang lebih bermakna bagi enam individu dan keluarga ini.

Selepas 11 bulan menganggur dan sebanyak 30 permohonan kerja ditolak, Encik Muhammad Amir Asa’ad Fadzali, 32 tahun, akhirnya berjaya mendapat pekerjaan sebagai Penolong Pengurus di salah satu cawangan makanan segera McDonald’s di Singapura.
Selepas 11 bulan menganggur dan sebanyak 30 permohonan kerja ditolak, Encik Muhammad Amir Asa’ad Fadzali, 32 tahun, akhirnya berjaya mendapat pekerjaan sebagai Penolong Pengurus di salah satu cawangan makanan segera McDonald’s di Singapura. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bekas banduan temui rezeki selepas 30 kali ditolak kerja

Amirul Ibrahim
amirulh@sph.com.sg

Setelah 11 bulan menganggur dan ditolak 30 permohonan kerja, Encik Muhammad Amir Asa’ad Fadzali, 32 tahun, akhirnya mendapat pekerjaan tetap di sebuah cawangan McDonald’s di Singapura.

Setelah dibebaskan dari penjara pada Januari 2025, Encik Amir, atau mesra disapa ‘Ash’, nekad mencari kerja tetap demi membina kehidupan baharu.

Namun, langkah meninggalkan kehidupan lama dan memulakan lembaran baharu bukanlah semudah yang disangka.

Sebagai contoh, tempoh 18 bulan di sebalik tirai besi menyukarkan beliau mencari majikan yang sudi menerima latar belakangnya.

Menyingkap fasa kehidupannya yang memeritkan setelah dibebaskan dari penjara, beliau berkata:

“Saya telah menghantar permohonan kepada 30 syarikat. Mengikut kelayakan, saya menepati segala syarat permohonan setiap syarikat itu.

“Namun, dalam sekelip mata, 10 syarikat menolak permohonan saya serta-merta. Saya mengagak, ini disebabkan saya mempunyai rekod jenayah dan status sebagai bekas banduan,” jelas beliau.

Daripada baki 20 syarikat itu, beberapa daripadanya memanggil beliau untuk temu duga.

Dengan semangat menggunung, Encik Amir pun mempersiapkan diri untuk hadir ke sesi temu duga, sebagai sebahagian proses permohonan kerja.

Tidak lama selepas temu duga bermula, Encik Amir disoal mengenai tempoh jeda yang panjang dalam resumenya.

Malah, alat pengesan elektronik (tagging) pada kakinya – petanda beliau baru keluar dari penjara– turut disedari oleh penemu duga.

“Apabila mereka mula bertanya tentang masa saya di dalam (penjara) dan ternampak tagging saya, saya sudah menjangka tiada harapan untuk mendapat jawatan itu.

“Lebih-lebih lagi, temu duga itu dihentikan serta-merta. Malah, sebelum berakhir, saya ditanya mengapa tidak berterus terang dari awal.

“Saya kemudian membalas, jika saya jujur, adakah itu menjamin saya akan diterima bekerja di syarikat ini,” jelas beliau dengan nada kekecewaan.

Meskipun kecewa, Encik Amir tetap nekad mencari pekerjaan yang halal.

Walaupun dibebani oleh kesilapan lalu, Encik Amir tidak membiarkan hal itu menghalangnya daripada mencari jalan untuk mengubah nasibnya.

Justeru, beliau mendaftar diri dalam skim Sokongan Pencari Kerja SkillsFuture untuk mencari peluang pekerjaan yang sesuai.

Skim ini bertujuan menyokong individu dalam mencari pekerjaan yang dapat memanfaatkan kemahiran dan pengalaman mereka.

Mengenai pengalamannya, Encik Amir bersyukur kerana mendapat pekerjaan sebagai Pembantu Pengurus di McDonald’s melalui skim ini.

Beliau turut menghargai syarikat makanan segera itu yang menerimanya tanpa prejudis terhadap sejarah hitam dalam hidupnya.

Dahulu bekerja sebagai penghantar bagi syarikat logistik, beliau telah diberkas beberapa kali sejak 2017 atas kesalahan memandu tanpa lesen dan melanggar undang-undang jalan raya.

Beliau berkongsi:

“Selepas keluar penjara, saya menerima panggilan daripada seorang teman lama. Beliau mengajak saya kembali bekerja di syarikat logistik sebagai penghantar, walaupun lesen sudah ditarik.

“Gajinya memang lumayan, tetapi saya fikir cukuplah membiarkan diri terjerumus dalam gejala sebegini. Saya ingin mencari kerja yang lebih baik dan tak menyalahi undang-undang,” kata beliau penuh keinsafan.

Hari Raya tahun ini (2026) merupakan yang pertama buat Encik Amir sejak dikurniakan pekerjaan dan pendapatan tetap.

Setelah lapan tahun, beliau ditahan dan dipenjarakan setiap tahun secara kebetulan pada musim perayaan sejak berusia 23 tahun, Hari Raya kali ini terasa lebih manis.

Kini, dengan rezeki yang lebih, beliau dapat membeli sepasang baju raya baru setelah sekian lama tidak berkesempatan.

Malah, kini beliau turut memikul tanggungjawab untuk menanggung persiapan raya bagi rumahnya.

“Buat pertama kali juga, saya menanggung kos persiapan raya seperti membeli air dan sebagainya.

“Ibu saya terkejut kerana saya sudah membeli dan membuat persiapan raya dari awal lagi,” jelas satu-satunya anak lelaki bongsu dalam tiga beradik itu.

Menurutnya, walaupun tanggungjawab menyara keluarga sebagai anak lelaki ini terasa baru, beliau tekad untuk berbakti balik kepada ibunya.

“Saya bersyukur dengan rezeki yang ada sekarang. Walaupun tidak banyak, sekurang-kurangnya, saya dapat menebus balik kekecewaan yang ibu saya rasakan terhadap saya dulu,” jelas beliau sambil menahan sebak.

Setelah melalui rawatan terapi radiasi dan pembedahan bagi membuang tumor serta tempoh pemulihan yang panjang, Encik Faisal Sulaiman, mengalu-alukan sambutan Hari Raya yang lebih bermakna kerana dapat menunaikan Ramadan dengan sempurna dan menandakan lembaran baru dalam kehidupannya bersama keluarga di sisi.
Setelah melalui rawatan terapi radiasi dan pembedahan bagi membuang tumor serta tempoh pemulihan yang panjang, Encik Faisal Sulaiman, mengalu-alukan sambutan Hari Raya yang lebih bermakna kerana dapat menunaikan Ramadan dengan sempurna dan menandakan lembaran baru dalam kehidupannya bersama keluarga di sisi. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sambutan Lebaran lebih bermakna setelah bebas barah

Syed Muhammad Firdaus
smfirdaus@sph.com.sg

Apa yang bermula sebagai hari kerja biasa berubah menjadi detik cemas yang tidak akan dilupakan oleh Encik Faisal Sulaiman.

Ejen hartanah itu tiba-tiba menggigil teruk secara tidak terkawal di pejabatnya, sekitar waktu makan tengah hari pada pertengahan Jun 2024.

Serangan yang berlanjutan kira-kira 20 hingga 25 minit itu membuatkan beliau terasa seperti nyawa di hujung tanduk.

Rakan sekerja kemudian bergegas membantu membawanya ke Hospital Universiti Nasional (NUH).

“Rakan sekerja saya menyelimutkan saya untuk memanaskan badan dan memberi saya ubat. Selepas menggigil itu berhenti, saya mula berpeluh dengan banyak.

“Lewat petang itu, selepas waktu asar, mereka membawa saya ke NUH untuk menjalani pemeriksaan.

“Ketika saya mengalami serangan menggigil yang teruk itu, fikiran saya melayang kepada kematian. Saya benar-benar menyangka saya akan mati.

“Bukan kerana saya takut mati, tetapi saya rasa saya belum bersedia,” kongsi Encik Faisal kepada Berita Harian (BH).

Pemeriksaan lanjut di hospital mendedahkan sesuatu yang tidak disangka.

“Pada mulanya, doktor berkata keadaan saya kelihatan baik dan meminta saya pulang dengan beberapa ubat.

“Namun, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena lalu meminta supaya dimasukkan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut,” katanya.

Imbasan menunjukkan terdapat tumor sebesar limau pada bahagian pinggulnya.

Sekitar seminggu kemudian, doktor mengesahkan tumor tersebut adalah barah sarkoma pada peringkat awal.

“Sejujurnya, apabila diberitahu saya menghidap barah, saya tidak terlalu terkejut kerana penyakit itu memang ada dalam keluarga saya.

“Arwah ayah saya meninggal dunia akibat barah hati, ibu saya pula pernah menghidap barah usus tetapi sembuh.

“Pengalaman (serangan menggigil itu) telah mengubah pandangan hidup saya. Saya rasa seolah-olah Allah telah memberi saya peluang kedua,” kata beliau, yang kini berusia 47 tahun.

Barah sarkoma boleh menyerang tisu penghubung di mana-mana bahagian badan, sama ada tulang mahupun tisu lembut.

Jenis barah ini jarang berlaku dalam kalangan orang dewasa.

Perangkaan perubatan menunjukkan ia hanya membentuk sekitar 1 peratus daripada semua diagnosis barah dalam kalangan pesakit dewasa.

Encik Faisal memulakan rawatan di NUH pada Julai 2024 dengan menjalani terapi radiasi hampir setiap hari selama lima minggu.

Rawatan itu menuntut beliau, yang menetap di Bedok North Avenue 2, berulang-alik ke hospital hampir setiap hari.

Kemudian, beliau menjalani pembedahan pada Oktober 2024 untuk membuang tumor dari pinggulnya.

Selepas pembedahan, beliau mendapati dirinya ‘terikat’ dengan tiub yang disambung ke pinggulnya bagi mengalirkan darah dari luka pembedahan.

“Saya mempunyai tiub dan wayar yang disambungkan pada bahagian pinggul, dan saya juga perlu membawa sebotol bekas untuk menampung darah yang keluar dari luka pembedahan.

“Ia agak tidak selesa dan saya tidak dapat bergerak dengan bebas.

“Disebabkan itu, saya lebih banyak berada di rumah dan jarang keluar,” ujarnya, yang telah mendirikan rumah tangga sejak 2002.

Akibatnya, Encik Faisal terpaksa berhenti kerja selama kira-kira tujuh hingga lapan bulan.

“Tiada pendapatan sepanjang tempoh saya berhenti kerja. Ia amat mencabar, memaksa saya menggunakan wang simpanan.

“Untuk kembali bekerja selepas berehat lama juga sukar, kerana pasaran kerja sangat kompetitif,” luahnya.

Dari segi emosi pula, beliau mengakui dirinya berubah sepanjang tempoh rawatan.

Beliau menjadi lebih murung, mudah marah dan lebih suka menyendiri.

Dalam tempoh itu juga, Encik Faisal mula mencari kekuatan dengan menonton video ceramah dan perkongsian di YouTube yang banyak menyentuh tentang hikmah di sebalik ujian kehidupan.

“Saya mula faham kenapa kadang-kadang Allah menguji kita dengan sakit, dan bagaimana kita harus menghadapinya.

“Ujian ini bukan bermakna Dia memberi beban yang tidak mampu kita tangani. Sebenarnya, ini tanda kasih sayang-Nya… kita hanya perlu bersabar dan reda,” jelasnya.

Kini, selepas melalui rawatan dan proses pemulihan, Encik Faisal berkata pandangannya terhadap kehidupan juga berubah.

Semasa janji temu susulan di hospital pada Julai 2025, doktor memaklumkan kepada Encik Faisal bahawa imbasan menunjukkan beliau kini bebas barah.

Bercakap dengan BH, beliau berkata Hari Raya 2026 amat bermakna kerana kini beliau dapat menunaikan Ramadan dengan sempurna, sambil menyambut lembaran baru itu dengan penuh kesyukuran.

Pada Hari Raya 2025, Encik Faisal masih dalam proses pemulihan dan hanya mampu mengunjungi kurang daripada enam rumah saudara-mara kerana keadaan fizikalnya yang masih lemah.

“Alhamdullilah, saya dapat berpuasa dan solat seperti biasa. Pada tahun lalu (2025), saya terpaksa solat duduk kerana sakit untuk sujud.

“Sekarang, saya boleh menunaikan solat secara normal termasuk solat tarawih.

“Oleh itu, saya mengambil peluang kedua ini dengan sebaik mungkin untuk memastikan saya menjadi seorang Muslim yang lebih baik dan berharap agar saya sentiasa berada di dalam rahmat-Nya,” ujarnya.

Cik Nadira Abdullah bersama anak-anaknya, (dari kiri) Leona Medina, Layla Sofya dan Ryden Israfel, sudah bersiap menyambut Aidilfitri buat kali pertama sebagai keluarga empat beranak, menandakan permulaan babak baru dalam hidup mereka.
Cik Nadira Abdullah bersama anak-anaknya, (dari kiri) Leona Medina, Layla Sofya dan Ryden Israfel, sudah bersiap menyambut Aidilfitri buat kali pertama sebagai keluarga empat beranak, menandakan permulaan babak baru dalam hidup mereka. - Foto BH oleh KHALID BABA

Ibu tunggal tabah mula hidup baru, aktif kerja sukarela demi bantu orang lain

Sharlin Nasyiroh Azmi
sharlin@sph.com.sg

Meskipun Hari Raya membawa harapan ketenangan akan menyelinap di jiwanya, sekelumit kesedihan yang merentap tangkai hati masih dirasakan Cik Nadira Abdullah.

Setelah bertahun-tahun lamanya berdepan dengan pergolakan rumah tangga yang menggores jiwa, Cik Nadira, 40 tahun, sudah menguatkan semangat bagi melangkah ke babak baru dalam hidupnya, iaitu menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal kepada tiga anaknya yang berusia tiga, lima dan 11 tahun.

Ini menyusuli bekas suaminya dimasukkan ke penjara kini kerana kesalahan dadah.

Dalam mengharungi proses perceraian dengan suaminya, Cik Nadira yang berumah tangga selama 13 tahun, perlahan-lahan mula menerima realiti membesarkan anak-anaknya seorang diri.

Namun, kekuatan untuk akhirnya bergerak ke hadapan dan meninggalkan kisah silam datang daripada orang yang paling tidak disangka iaitu anak sulungnya, Ryden Israfel.

“Ryden sangat rapat dengan ayahnya. Tapi ketika saya berbual dengannya tentang keputusan untuk berpisah, dia memeluk saya dan berkata, ‘Kalau ibu gembira, Ryden pun gembira,’” ujar Cik Nadira dengan genangan air mata.

“Apabila anak saya memberitahu dia faham, ia memudahkan segala-galanya,” tambahnya.

Walaupun ini Aidilfitri pertama diraikan dengan mereka hanya empat beranak, Cik Nadira berusaha menjadikan musim perayaan ini bermakna untuk anak-anaknya.

Perlahan-lahan, beliau mula mengetepikan segala peristiwa yang mengusik pilu jiwanya bagi menyediakan baju Raya baru buat dirinya dan anak-anak.

Ini sahaja merupakan satu pencapaian kecil bagi fasa baru yang sedang dilalui sebagai ibu tunggal yang harus gigih dan gagah berdikari.

Dengan masa yang terluang kini, beliau rajin menghadiri kegiatan kemasyarakatan, bengkel dan mesyuarat sambil bekerja sambilan dengan pertubuhan tidak mengaut untung, Beyond Social Services sebagai penggerak masyarakat yang menjadi pemangkin buat orang ramai menyumbang idea dan tenaga dalam kerja kemasyarakatan.

Cik Nadira aktif dalam kerja sukarela di kawasan kejiranannya di Ang Mo Kio sejak tempoh wabak Covid-19 melanda pada 2020.

“Tolong orang lain agar rasa gembira beri saya erti kehidupan.

“Saya sentiasa bersyukur dengan apa yang saya ada apabila menyedari ada orang lain dalam keadaan lebih susah daripada saya,” katanya, dengan anak bongsunya memeluk erat dirinya.

Sebelum ini, beliau pernah membantu mengedarkan makanan harian kepada penduduk warga emas melalui penglibatannya dengan pertubuhan tidak mengaut untung, Willing Hearts.

Beliau mengasihani mereka yang lebih memencilkan diri, hidup terasing dan kurang berinteraksi secara sosial dengan penduduk lain.

Satu inisiatif yang menyatukan warga emas agar membina persahabatan dan sokongan sosial agar tidak terasa diri mereka dilupakan turut dibangunkannya menerusi projek Golden Years Together pada 2024.

Cik Nadira turut membuat dan menjual lilin buatan tangan di bawah jenama Candell, dengan dua huruf ‘L’ adalah gabungan nama anak perempuannya, Layla dan Leona.

Dalam tempoh setahun bergelar ibu tunggal, beliau benar-benar dapat merasakan dirinya lebih tenang dan jelas merenung tentang kehidupan yang diinginkan untuk dirinya dan anak-anak.

Dalam tempoh tersebut, beliau mula menyedari betapa berertinya ketenangan yang perlahan-lahan menyusup masuk ke rumah mereka.

“Rasanya sangat aman. Betul-betul aman,” katanya.

Perubahan kecil, seperti mengurangkan haiwan peliharaan di rumah, yang sebelum ini dipelihara oleh bekas suaminya, membolehkan anak perempuannya rasa lebih selamat.

“Untuk anak-anak perempuan, mereka rasa lebih selamat sekarang. Dulu kadang-kadang kita tak boleh tinggal di rumah itu. Kita perlu turun dulu ke bawah,” tambah beliau, menjelaskan tentang bekas suaminya yang membawa pulang haiwan tanpa berbincang dengannya.

Haiwan ini termasuk gagak dan ular sehingga rumah mereka jadi sesak dan menakutkan anak-anak.

“Pihak berkuasa pernah datang dan mengambil ular yang bekas suami pelihara. Pernah dalam sesuatu masa, lapan burung dipeliharanya,” jelas Cik Nadira.

Kini, tumpuan Cik Nadira adalah menyemai cita-cita meneruskan pengajian baginya memperkasa minat menjadi pekerja sosial.

“Fokus saya sekarang juga ialah pendidikan dan rutin harian anak-anak dengan memastikan mereka tidur awal, pergi sekolah tepat pada waktunya dan berasa selamat,” katanya.

Keprihatinan turut diberi kepada dirinya sendiri.

Beliau berkongsi walaupun bekerja sambilan dan menerima bantuan kewangan, menampung kehidupan setiap hari masih mencabar.

“Dekat hujung bulan memang tersekat-sekat sedikit, tapi masih boleh diuruskan, Alhamdulillah,” katanya.

Apabila tidak menawarkan bakti sukarela atau menghadiri mesyuarat, beliau menumpukan masa menjaga keperluan anak-anak di rumah, seperti membantu mereka menyiapkan kerja sekolah dan menguruskan kerja rumah.

“Awak tahu, saya ibu dan bapa kepada tiga anak sekarang,” katanya dengan deraian ketawa yang jelas wujud nada keletihan.

“Kadang-kadang saya duduk rehat sebentar. Perlu bersabar, jaga anak-anak, kadang-kadang rasa tertekan,” ujarnya.

Melalui sekumpulan wanita di kejiranannya yang menamakan kumpulan mereka sebagai ‘Her Space’, beliau menemui sistem sokongan peribadi.

“Beberapa wanita di situ jiran saya. Kalau saya ada mesyuarat malam, mereka tolong jaga anak-anak. Kalau saya perlukan sokongan, mereka sentiasa ada dan saya rasa bersyukur,” katanya.

Hari Raya tahun ini disambut dengan penuh kesederhanaan.

Baju Raya baru untuk dirinya dan anak-anak, hasil daripada usahanya menabung pendapatan yang diperolehi.

“Saya mahu anak-anak membesar dalam rumah yang penuh kasih sayang, menghormati satu sama lain dan positif.

“Saya percaya ini adalah permulaan era baru yang lebih baik untuk kami,” jelasnya.

Dawn Prima Ria bersama suaminya, Faizal Rahman dan puteri sulung mereka, Donna Ferdella (dua dari kiri), menatap penuh kasih cahaya mata perempuan kedua yang baru dilahirkan pada Februari 2026.
Dawn Prima Ria bersama suaminya, Faizal Rahman dan puteri sulung mereka, Donna Ferdella (dua dari kiri), menatap penuh kasih cahaya mata perempuan kedua yang baru dilahirkan pada Februari 2026. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Lebaran lebih bererti dengan kelahiran ‘bayi pelangi’

Insyirah Mohd Shukor
insyirahms@sph.com.sg

Selepas hampir sedekad melalui rawatan kesuburan, sembilan kitaran persenyawaan in vitro (IVF) dan dua keguguran, pelakon Dawn Prima Ria, pasrah dan hampir percaya peluang untuk hamil secara semula jadi sudah tiada lagi.

Puteri sulungnya, Donna Ferdella, yang kini berusia tujuh tahun juga merupakan bayi IVF.

Namun pada Jun 2025, kepercayaan itu berubah sekelip mata.

Dalam sinaran mentari pagi, dua garis jelas terpampang pada alat ujian kehamilan, menandakan beliau berbadan dua.

Ketika itu, wanita berusia 41 tahun itu hanya mengambil ujian kehamilan kerana haidnya lewat beberapa hari.

Pada awalnya beliau menyangka dirinya mungkin sedang mengalami simptom awal putus haid.

“Saya langsung tidak menjangkakan saya hamil ketika itu.

“Haid saya sudah lewat selama lapan hari, tetapi pada fikiran saya, mungkin saya sedang mengalami tanda-tanda pramenopaus memandangkan usia saya sudah mencecah 40 tahun.

“Apabila saya lihat simptom yang dialami, semuanya seolah-olah menjurus kepada keadaan pramenopaus.

“Memang langsung tidak terlintas di fikiran saya bahawa saya boleh hamil secara semula jadi.

“Sebaliknya, saya lebih bimbang memikirkan sama ada itu petanda saya mungkin tidak lagi berpeluang untuk hamil,” kata Dawn, yang merupakan pelakon drama Anak Metropolitan (Musim Kedua).

Namun, apabila keputusan ujian itu menunjukkan dua garis, beliau terdiam seketika.

Kehamilan itu berlaku secara semula jadi – sesuatu yang hampir mustahil dalam fikirannya selepas lebih 12 tahun membina rumah tangga bersama suaminya, Faizal Rahman, 43 tahun, juga seorang pelakon.

Sejak awal perkahwinan pada 2011, pasangan selebriti tempatan itu telah lama mengimpikan sebuah keluarga dengan sekurang-kurangnya dua anak.

“Saya sendiri pernah membesar sebagai anak tunggal untuk satu tempoh yang lama, jadi saya tahu bagaimana rasanya.

“Sebab itu, kami sangat berharap dapat beri anak kami seorang adik sebagai teman yang dapat dewasa bersama-sama,” kata Dawn.

Adalah nyata, Ramadan kali ini mengundang rahmah yang tidak diduga bagi keluarga itu.

Pada 18 Februari, mereka menyambut kelahiran Dionna Ferdella, anak yang disifatkan sebagai ‘bayi pelangi’ (frasa yang digunakan bagi anak yang lahir selepas ibunya keguguran).

Disebabkan itu, kehadiran ‘anak pelangi’ yang dinanti-nantikan ini akhirnya membawa sinar baharu buat keluarga tersebut.

“Selepas bertahun-tahun kami berdepan masalah kesuburan, memang langsung tidak terfikir saya boleh hamil secara semula jadi. Saya ingatkan mungkin saya bermimpi,” katanya.

Bayi perempuan itu akhirnya dilahirkan pada Februari 2026 dan kini berusia hanya beberapa minggu.

Dengan kehadiran si kecil itu, sambutan Hari Raya tahun ini – yang juga bertepatan dengan ulang tahun Donna – terasa lebih istimewa.

Namun, perjalanan Dawn dan Faizal untuk menimang cahaya mata kedua dirundung cabaran demi cabaran pada awalnya.

Pada 2024, ketika mereka menyangka impian itu akhirnya bakal menjadi kenyataan, Dawn mengalami keguguran pada usia kandungan sekitar 20 minggu.

“Masa itu rasa seperti dunia kami runtuh. Kami sudah menunggu lama dan sangat berharap kehamilan itu akan berjaya. Jadi apabila ia berlaku, memang sangat payah dan menyakitkan jiwa nurani untuk kami terima,” kata Dawn.

Berita tersebut turut meninggalkan kesan mendalam terhadap Faizal, seorang eksekutif hartanah yang antara lain menguruskan sistem kejuruteraan dan bangunan.

Ketika berkongsi kepada Berita Harian (BH) di kediaman mereka, pelakon Nenek Ku Super Spy itu masih mengingati detik beliau berdiri sendirian di kolong blok berhampiran rumah mereka, cuba menenangkan perasaan sebelum pulang menemui isterinya.

Beberapa jam sebelum itu, Dawn telah menghubunginya untuk memaklumkan tentang keguguran yang dialaminya.

Menurut beliau, saat itu amat sukar untuk diterima, namun beliau sedar dirinya perlu menguatkan hati demi keluarganya.

“Sebagai ketua keluarga, saya rasa saya perlu menjadi sumber kekuatan untuk keluarga. Kalau kedua-dua kami menangis, susah untuk kami bangkit dan teruskan kehidupan,” kata Faizal.

Anak sulung mereka turut terkesan dengan kehilangan itu. Menurut Dawn, selepas keguguran tersebut, anaknya itu kadangkala meluahkan perasaan melalui lukisan di sekolah.

Dalam salah satu lukisan itu, Donna melukis dirinya bersama ibunya dan seorang bayi.

“Bila saya tanya siapa bayi itu, dia kata, ‘Ini bayi saya… bayi saya ada di syurga.’ Masa itu saya sedar dia sebenarnya faham dan turut rasa kehilangan itu,” ujar Dawn.

“Dia selalu tertanya-tanya mengapa kawan-kawannya ada adik-beradik, tetapi dia seorang diri. Jadi apabila saya beritahu saya hamil, dia menangis kegembiraan kerana akhirnya dapat menjadi seorang kakak,” kata Dawn.

Buat masa ini, beliau dan suami berkata rasa syukur yang dirasai jauh mengatasi kemeriahan persiapan Raya tahun ini.

“Kami tidak merancang untuk menyambut Raya secara besar-besaran kerana bayi masih kecil dan saya juga masih dalam tempoh pantang,” kata Dawn.

Meskipun sambutan kali ini lebih sederhana, mereka tetap bersyukur dapat meraikannya bersama keluarga tersayang.

“Selepas semua yang kami lalui selama ini, saya hanya bersyukur kerana akhirnya kami dapat menyambut Raya tahun ini (2026) dengan bayi kami,” katanya.

Dua beradik, Encik Muhammad Syafiq Jafni Jasmani (kiri) dan Encik Aniq Nazirul Hasri, akan memulakan sambutan Hari Raya pertama sebagai pemilik gerai makanan di pusat penjaja.
Dua beradik, Encik Muhammad Syafiq Jafni Jasmani (kiri) dan Encik Aniq Nazirul Hasri, akan memulakan sambutan Hari Raya pertama sebagai pemilik gerai makanan di pusat penjaja. - Foto BH oleh KHALID BABA

Langkah berani dua beradik buka gerai makanan jalanan di bulan mulia

Khairul Akmal Ali
khrla@sph.com.sg

Di tengah-tengah suasana meriah bazar Ramadan di Johor Bahru, kedengaran hiruk-pikuk pengunjung yang singgah di deretan gerai penuh warna-warni.

Aroma aneka makanan menyusup masuk ke hidung lantas membuka selera sesiapa yang singgah di bazar tersebut.

Encik Aniq Nazirul Hasri pula memerhatikan isterinya begitu seronok memilih satu demi satu lidi lok lok atau makanan jalanan yang terdiri daripada bebola ikan, daging dan sayur yang dicucuk pada lidi dan dicelup dalam periuk air mendidih.

Makanan ini biasanya disajikan bersama pelbagai jenis sos pedas, manis atau kacang.

Dalam Encik Aniq, 27 tahun, memerhatikan keadaan sekeliling semasa berbelanja di seberang Tambak yang bermandikan hiasan suasana perayaan, satu idea terlintas di fikiran.

Makanan bazar kegemarannya dan isteri, iaitu lok lok akhirnya menjadi barangan jualan di gerai pusat makanan miliknya sendiri.

Sempena Hari Raya ini, beliau berdiri di balik kaunter gerai LIDI – yang terletak di Pusat Makanan Berseh di Jalan Besar – menghidangkan lok lok kepada pelanggan, sebagai permulaan lembaran baharu dalam perjalanan perniagaannya.

Langkah itu menandakan perubahan besar bagi Encik Aniq, yang sebelum itu hanya mengendalikan perniagaan cuci motosikal, Bike Frenzie.

Abangnya, Encik Muhammad Syafiq Jafni Jasmani, 33 tahun, lebih dikenali sebagai Finn, mengendalikan perniagaan cuci kereta pula, Finn’s Auto Detailing.

Kededua perniagaan cuci kenderaan dua beradik itu diusahakan di Safra Tampines.

Menurut Encik Aniq, minatnya terhadap makanan sudah lama wujud, namun yang paling mendorongnya untuk membuka gerai ialah peluang berinteraksi dengan pelanggan.

“Dari kecil memang saya suka makanan. Tapi yang paling saya suka sebenarnya ialah khidmat yang boleh diberi dan peluang berinteraksi dengan pelanggan dan buat orang gembira melalui produk atau perkhidmatan yang kita salurkan,” katanya.

Kini beliau mengusahakan gerai bernama LIDI yang menjual lok lok sebagai hidangan sampingan bersama menu Barat seperti burger dan chicken chop.

Berbeza dengan Encik Aniq, abangnya mempunyai pengalaman dalam bidang makanan dan minuman, khususnya dalam masakan Barat.

“Dari dulu pengalaman saya dalam sektor F&B memang dalam masakan Barat.

“Kita perlu ada hidangan utama, dan kita mahu ia cepat dan mudah – bukan mudah untuk kami, tetapi mudah untuk pelanggan makan dan senang dibawa pulang,” katanya.

Menurut Encik Syafiq, semua menu di gerai tersebut dihasilkan sendiri dari awal.

“Kami yakin dengan makanan kami. Semuanya dibuat sendiri... dari sos ke pati daging burgernya,” katanya.

Bagi Encik Syafiq, keputusan membuka gerai penjaja juga didorong oleh keinginan menyediakan makanan yang mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Dalam F&B, kami percaya kami boleh sediakan makanan untuk semua orang. Sebab itu kami pilih konsep penjaja supaya harganya lebih mampu milik untuk semua,” jelasnya.

Perjalanan membuka gerai itu bermula sekitar Jun tahun lalu (2025) dan mereka mengambil masa beberapa bulan dalam menentukan konsep makanan, menjalankan penyelidikan serta membeli peralatan dapur yang diperlukan.

Encik Aniq turut terkejut apabila mendapati kos memulakan perniagaan penjaja tidak serendah yang disangkakan.

“Saya ingatkan buka gerai penjaja tidak banyak kos. Rupanya banyak juga, beli peralatan dapur, pinggan mangkuk, minyak masak gred komersial dan macam-macam lagi,” katanya.

Gerai mereka akhirnya dibuka pada 1 Mac lalu, secara kebetulan pada awal Ramadan.

Menurut Encik Aniq, pembukaan pada bulan puasa sebenarnya tidak dirancang.

“Kami dah bayar sewa sejak Januari tetapi belum buka. Bila fikir-fikir, kalau asyik tangguh saja, sampai bila pun tak mula. Jadi kami kata, teruskan saja,” katanya.

Buat masa ini, kedua-dua beradik itu mengendalikan gerai tersebut tanpa pekerja tetap, dengan bantuan isteri masing-masing pada waktu tertentu.

Hari mereka biasanya bermula sekitar 9 pagi demi membuat persiapan sebelum memulakan jualan bagi waktu makan tengah hari hingga malam.

Namun seperti kebanyakan perniagaan baharu, permulaan perjalanan itu tidak selalunya mudah.

Menurut Encik Aniq, jumlah pelanggan boleh berubah-ubah setiap hari dan faktor seperti cuaca juga memberi kesan kepada jualan di pusat penjaja.

“Hari pertama ramai datang, tapi hari kedua agak sunyi. Itu memang boleh buat kita rasa patah semangat,” katanya.

Walaupun begitu, beliau melihatnya sebagai sebahagian proses membangun perniagaan.

Encik Syafiq pula percaya cabaran adalah perkara biasa dalam mana-mana perniagaan.

“Setiap perniagaan yang kita buat akan ada cabaran baharu. Apa pun yang berlaku, kami bersedia untuk melaluinya bersama,” katanya.

Bagi keluarga mereka pula, langkah menceburi bidang makanan bukan sesuatu yang mengejutkan.

“Keluarga sudah biasa dengan kami yang suka cuba perniagaan baharu. Biasanya bila Hari Raya dan jumpa anggota keluarga, itulah yang jadi topik perbualan kami,” katanya.

Encik Muhammad Hafizzudin Sinin teruja dapat bersama anaknya, Khalid Muhammad Hizan, menyambut Hari Raya di kediaman mereka di Sembawang
Encik Muhammad Hafizzudin Sinin teruja dapat bersama anaknya, Khalid Muhammad Hizan, menyambut Hari Raya di kediaman mereka di Sembawang - Foto BH oleh MUHAIMIN SUZAINI

Bapa tunggal sambut Raya pertama bebas tatu demi anak

Muhaimin Suzaini
msuzaini@sph.com.sg

Lebih sedekad lalu, tubuh Encik Muhammad Hafizzudin Sinin, 31 tahun, sarat dengan tatu.

Tatu sedemikian dipertontonkan dengan bangga kerana menurutnya, proses mencacah tatu memerlukan beliau ditusuk jarum halus di permukaan kulit, sekali gus melambangkan daya kekuatan dan kekuasaan.

Namun, sangkaannya itu ternyata meleset selepas beliau melalui proses membuang tatu.

Anak tunggal itu berkata ia lebih mahal daripada proses mencacah tatu dan lebih memedihkan – seakan dikenakan renjatan elektrik oleh panahan laser pada lapisan kulit.

Malah, kuasa laser itu dinaikkan secara beransur bagi setiap sesi susulan, sekali gus membuatkan kulit rasa sebal dan sensasinya lebih teruk daripada terkena percikan api, ujar beliau.

Ketika ditemui di kediamannya di Sembawang baru-baru ini, beliau menunjukkan kepada Berita Harian (BH) anggota badan yang mempunyai bekas tatu, ada daripadanya masih kelihatan kesan parut.

Beliau mempunyai lima tatu secara keseluruhan iaitu di sekitar pergelangan tangan kiri, kedua-dua lengan dan di badan.

Justeru, pegawai pemantauan di salah satu syarikat perisian itu, berkata jika beliau dapat memutarkan waktu kepada detik apabila mula berjinak-jinak mencacah tatu pada usia 15 tahun, beliau akan “mengubah banyak perkara”.

Bapa tunggal seorang anak lelaki berusia tiga tahun itu, yang telah bercerai sejak Ogos 2025, berkata:

“Bayangkan, anda letak tangan di ekzos panas motosikal. Kepedihannya lebih teruk daripada itu.

“Rasanya seperti kulit anda dibakar oleh elektrik. Sukar untuk jelaskan kepedihan proses membuang tatu.”

Encik Hafizzudin berkata proses membuang tatu tersebut sebahagiannya didorong oleh penglibatan beliau dalam program Mudik Ke Hulu pada 2015.

Ketika itu, beliau berusia 19 tahun.

Program tersebut dikelolakan Masjid Tentera Diraja di Clementi bagi membantu individu bertatu untuk kembali ke pangkal jalan, sambil menyediakan subsidi membuang tatu.

Usaha menyokong golongan rentan seperti belia bermasalah dan bekas banduan turut digerakkan dalam program itu.

Beliau turut menyifatkan penglibatan dalam program itu membuka matanya kepada nilai keagamaan dan kesedaran mengenai kesan tatu pada tubuh.

Dorongan terbesar untuk membuang tatu, katanya, adalah disebabkan keluarga dan anak tersayang.

Beliau telah melalui sekurang-kurangnya empat sesi pembuangan tatu – setiap satu menelan belanja antara $40 dengan $240, bergantung pada saiz tatu – dengan keinginan menyambut Hari Raya pertama pada 2026 dengan bebas tatu.

Daripada pemeriksaan BH, pembuangan tatu boleh menelan belanja lebih $1,000 bagi membuang tatu yang merangkumi seluruh lengan, sebagai contoh.

Secara keseluruhan, beliau mengambil tempoh sekitar 10 tahun untuk membuang semua tatu secara jelas, katanya.

Dengan nada penuh keinsafan, Encik Hafizzudin berkata: “Sedang saya meningkat usia, saya mula sedar apa yang saya lakukan ini menyakitkan hati ibu bapa (dan orang tersayang).

“Apabila saya tatap wajah mereka dan menyedari tindakan saya, terdetik kekesalan dalam diri dan saya bertanyakan pada diri ‘Nak buat apa dengan kehidupan macam ni?’.

“Saya tidak mahu lagi rasa kesal. Saya buang semua tatu, jadi anak saya pun tak tahu sejarah silam saya dan saya dapat menjadi teladan baik kepadanya.

“Ibu bapa saya juga perasan perubahan yang berlaku kepada diri saya – saya lebih cenderung kepada melaksanakan tuntutan agama, jadi mereka teruja.”

Menurutnya beliau mempunyai tatu kerana ketika itu, beliau pelajar yang amat pendiam di sekolah menengah dan ada kalanya dibuli.

Oleh itu, tatu dicacah dengan harapan beliau digeruni orang lain dan tidak dikacau lagi.

Beliau akur rakan-rakan pada waktu itu juga tidak banyak memberikan pengaruh yang baik, memandangkan mereka lebih terjerumus dalam kancah keburukan seperti kegiatan kongsi gelap.

Walaupun menyifatkan dirinya sebagai seorang yang nakal ketika itu, beliau tidak pernah mendekati perkara yang menyalahi undang-undang.

Encik Hafizzudin berkata: “Pengalaman membesar dalam persekitaran dan melalui fasa-fasa sedemikian mengajar saya erti kecekalan.

“Saya juga sedar saya tidak boleh bersikap naif atau lurus bendul kerana ini membawa pada kelemahan diri kerana termakan pengaruh tidak baik.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg