Sebuah kedai dobi 24 jam yang terletak di Blok 801 West Coast dilaporkan kerap diganggu oleh sekumpulan belia yang membuang sampah dan menimbulkan kekecohan.
Cleanpro Express Self-Service Laundry, yang dibuka pada Ogos 2024, berkata golongan remaja telah menjadikan kedai tersebut sasaran vandalisme sejak ia dibuka.
Pekerja kedai itu berkata kumpulan budak lelaki yang sama, sekitar lapan orang kesemuanya, sering mengunjungi kedai itu antara 1:30 pagi dengan 5 pagi.
Gambar dan video menunjukkan kumpulan remaja itu berkeliaran di sekitar kedai dobi itu dan duduk santai di atas bangku.
Remaja lelaki itu akan duduk di bangku dan berbual sesama sendiri, kadangkala membawa makanan dan minuman.
Mereka juga kerap menunggang basikal masuk ke dalam kedai, dan beberapa remaja itu menggunakan wayar sambungan kedai untuk mengecas peranti mobiliti peribadi (PMD) mereka.
Pada satu ketika, salah seorang daripada mereka dilihat memanjat masuk ke dalam mesin pengering.
“Selepas budak lelaki itu panjat masuk ke dalam mesin pengering, engsel pengering itu longgar dan terpaksa diketatkan semula seperti sediakala,” kata seorang kakitangan.
Mereka turut mengimbas kejadian remaja terbabit memecahkan penutup mesin layan diri menjual minuman dan mengeluarkan sampel tin minuman yang dipamerkan.
Kesan tayar basikal dan sampah boleh dilihat di atas lantai kedai dobi selepas remaja-remaja itu meninggalkan kedai dobi.
Sisa melekit juga dikesan, dengan kakitangan kedai itu berkata kumpulan remaja itu sering membeli makanan dan minuman ringan dari kedai serbaneka berhampiran dan memakannya di kedai dobi mereka.
Sisa yang sama ditemui di atas meja dan kerusi kedai, bertujuan untuk pelanggan duduk atau melipat pakaian mereka.
Kakitangan kedai itu menambah kumpulan remaja itu akan membuang bungkusan makanan ringan dan botol air yang kosong di kedai dobi itu.
Vandalisme itu menyebabkan “kerosakan yang ketara” pada “mesin, wayar internet dan infrastruktur kemudahan keseluruhan” kedai itu, yang membawa kepada “kerugian kewangan yang besar akibat kos pembaikan yang kerap dan gangguan operasi,” kata kakitangan dobi.
“Gangguan ini telah menghindar pelanggan kami untuk datang ke sini, kerana tidak lagi boleh bergantung pada keselamatan dan fungsi perkhidmatan kami,” tambah mereka.
Cleanpro Express Self-Service Laundry berkata mereka telah menghubungi polis mengenai situasi itu, tetapi hanya “ada sedikit kemajuan” dan berkata “kurangnya tindakan” telah menyebabkan mereka berasa “terabai dan kecewa.”
“Perniagaan tidak sepatutnya menderita akibat kelakuan tidak bertanggungjawab, dan perbuatan vandalisme seperti itu tidak boleh dibiarkan dalam komuniti kita,” kata mereka.
Pasukan Polis Singapura (SPF) memberitahu akhbar Mothership, “Polis mengesahkan bahawa laporan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg