Polis sedang menyiasat kes khianat selepas beberapa kenderaan didakwa jadi sasaran vandalisme di tempat letak kereta terbuka di Teck Whye Lane pada 31 Januari.
Menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times, polis berkata mereka menerima panggilan bantuan sekitar 7.05 pagi di tempat letak kereta terbuka di Blok 103 Teck Whye Lane.
Hasil daripada perbuatan itu boleh dilihat dalam video TikTok yang disiarkan pada 31 Januari.
Antara kenderaan yang disasar ialah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard, sebuah sedan mewah Mercedes-Benz dan sebuah kereta lumba Ferrari, semuanya diletakkan bersebelahan satu sama lain.
Cecair putih kelihatan disimbah pada cermin depan kenderaan terjejas. Simbahan cecair juga kelihatan pada sisi kereta.
Sebahagian daripada cermin depan kereta sedan Mercedes-Benz itu juga kelihatan telah retak.
Dalam video itu, seorang lelaki kelihatan keluar daripada kereta Ferarri itu sambil membuat panggilan telefon.
Tidak lama kemudian, pegawai polis sampai untuk menyiasat kejadian itu.
Pada 2 Februari, kejadian itu berulang lagi, dan pengguna TikTok @engrunclekiko telah merakam video yang menunjukkan kereta Mercedes yang sama, menjadi mangsa vandalisme dan kali ini, keretakan pada cermin depannya kelihatan lebih teruk.
“Pemilik kereta yang meletak kenderaan di sini pasti merasa kurang senang, saya amat berharap pihak berkuasa dapat menangkap pihak yang bertanggungjawab supaya penduduk dan pemilik kereta tenang…” kata pengguna TikTok itu.
Polis berkata siasatan sedang dijalankan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg