Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SFA: Ikan ternakan tempatan selamat dimakan, ujian dijalankan dua kali sehari

Jun 24, 2024 | 9:21 PM
Agensi Makanan Singapura (SFA) memberi bantuan kepada penternak ikan di ladang ternakan ikan setempat, termasuk menyediakan helaian kanvas untuk melindungi ternakan.
Agensi Makanan Singapura (SFA) memberi bantuan kepada penternak ikan di ladang ternakan ikan setempat, termasuk menyediakan helaian kanvas untuk melindungi ternakan. - Foto FACEBOOK SFA

Ladang ternakan ikan tempatan tidak terjejas oleh limpahan minyak di perairan Singapura dan ikan yang diternak di ladang-ladang itu selamat dimakan, kata Agensi Makanan Singapura (SFA).

Namun, agensi itu berkata ia masih mengambil contoh ikan dua kali sehari dari ladang-ladang ternakan ikan di Selat Johor Timur untuk diuji sebagai langkah pencegahan.

“Hasil ujian yang diperoleh menunjukkan ikan yang ternakan tempatan selamat dimakan,” kata SFA dalam satu kenyataan media bersama pada 24 Jun.

Dalam kenyataan tersebut, SFA berkata ia sedang berurusan rapat dengan penternak ikan tempatan untuk melaksanakan langkah pencegahan demi melindungi kawasan ternakan.

Ini termasuk menyediakan helaian kanvas besar dan bahan untuk meresap minyak kepada ladang-ladang tersebut serta memberi nasihat, termasuk membantu penternak memasang peralatan itu.

Kenyataan bersama itu diedarkan oleh SFA dan agensi pemerintah terlibat, seperti Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Taman Negara (NParks), agensi air negara PUB; dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) serta Sentosa.

Limpahan minyak pada 14 Jun itu berlaku selepas sebuah bot pengorek Belanda, Vox Maxima, melanggar sebuah kapal tangki minyak Singapura, Marine Honor, yang berlabuh dan tidak bergerak di Terminal Pasir Panjang, menyebabkan 400 tan minyak melimpah ke dalam laut.

Beberapa pantai, seperti pantai Siloso di Sentosa dan pantai di Taman East Coast terjejas, dengan dua kawasan, pantai Tanjong dan pantai Palawan di Sentosa, terjejas lebih teruk.

Usaha membersihkan kawasan terjejas sedang beralih ke fasa kedua dan memerlukan peralatan dan kepakaran lebih khusus, kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, mutu udara di kawasan terjejas di Taman East Coast, Hutan Simpanan Labrador dan Sentosa kekal pada paras selamat, kata NEA menerusi kenyataan tersebut.

PUB pula berkata bekalan air minum di Singapura kekal tidak terganggu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg