Bagi memenuhi permintaan semakin meningkat bagi produk roti, kek dan pastri halal, kedai roti Paris Baguette telah membuka hab makanan halal serantau pertamanya secara rasmi di Taman Teknologi Nusajaya, Iskandar Puteri, Johor pada 25 Februari.
Diasaskan di Korea Selatan pada 1988, Paris Baguette adalah kedai roti dan francais antarabangsa yang kini mengkhusus dalam barangan berinspirasikan Perancis.
Dengan keupayaan mengeluarkan 100 juta produk roti yang disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) setahun, kemudahan itu akan mengukuhkan peranan Johor dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Berucap pada majlis perasmian hab itu, Datuk Onn berkata: “Kami baru sahaja menandatangani perjanjian Zon Ekonomi Khas antara kerajaan Malaysia dan pemerintah Singapura pada awal Januari 2025.
“Ia satu pencapaian penting. Melalui Zon Ekonomi Khas antara Singapura dan Johor, kami berada dalam kedudukan yang sangat unik. Setakat ini, apa yang kami tahu, tidak ada negara lain di dunia di mana dua pemerintah bersatu untuk mempromosikan satu zon ekonomi istimewa.”
JS-SEZ dijangka dapat mewujudkan 20,000 pekerjaan mahir untuk penduduk Singapura dan Malaysia pada masa hadapan.
Zon bagi perniagaan dan pelaburan itu, yang meliputi sempadan Iskandar Malaysia dan Pengerang, juga menyasarkan menyokong pengembangan 50 projek dalam lima tahun pertamanya dan 100 projek secara keseluruhan dalam 10 tahun.
Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Pengerusi SPC Group, Encik Hur Young In; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Encik Lee Ting Han; Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Encik Yeo Seung-bae; dan Ketua Pegawai Eksekutif Paris Baguette bagi Pasaran Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika, Cik Hana Lee.
Hab makanan halal serantau Paris Baguette, yang dimiliki oleh syarikat gergasi makanan dan minuman Korea Selatan, SPC Group, merupakan satu pelaburan RM260 juta ($79 juta) dengan tujuh barisan pengeluaran produk.
Kemudahan itu terletak di tapak tanah seluas 16,000 meter persegi kurang 30 minit dari pusat pemeriksaan Tuas.
Bercakap kepada wartawan dakam satu sidang media, Cik Lee berkata strategi jangka panjang global Paris Baguette ialah membawa jenama mereka kepada masyarakat di seluruh dunia.
“Pada masa ini, terdapat cawangan Paris Baguette di enam negara Asia Tenggara, iaitu Singapura, Vietnam, Cambodia, Indonesia, Malaysia dan Filipina. Dengan pembukaan hab tersebut, kami akan mengembangkan cawangan kepada tiga lagi negara di Asia Tenggara, iaitu Brunei, Laos dan Thailand,” katanya.
Beliau menambah bahawa produk yang dihasilkan di hab itu akan dieksport ke semua cawangan Paris Baguette di Singapura dan negara Asia Tenggara yang lain apabila ia beroperasi sepenuhnya mulai Mei.
Cik Lee menjelaskan bahawa produk-produk Paris Baguette di Singapura selama ini adalah ‘mesra halal’ namun kini pelanggan Muslim akan mendapat jaminan lebih diyakini dengan pensijilan Jakim.
“Di Singapura, produk kami sentiasa ‘mesra halal’ dan daging yang kami gunakan juga disahkan halal.
“Namun, dengan hab makanan halal ini, pelanggan akan dapatkan jaminan sepenuhnya,” ujar Cik Lee.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg