Topik diikuti
Pergi ke BHkuKedutaan S’pura nafi dakwaan pertemuan dengan tokoh Indonesia, sifatkan sebagai ‘maklumat palsu’
Kedutaan S’pura nafi dakwaan pertemuan dengan tokoh Indonesia, sifatkan sebagai ‘maklumat palsu’
Kedutaan S’pura nafi dakwaan pertemuan dengan tokoh Indonesia, sifatkan sebagai ‘maklumat palsu’
JAKARTA: Kedutaan Singapura di Jakarta menafikan dakwaan media sosial bahawa bekas Timbalan Menteri Luar Indonesia, Dr Dino Patti Djalal, dan penyelidik politik Profesor Saiful Mujani, mengunjungi kediaman Duta Besar Singapura, sambil menyifatkannya sebagai “maklumat palsu”.
Dalam satu kenyataan pada 25 Oktober, kedutaan itu menyatakan pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perhubungan dan Hal Ehwal Digital Indonesia bagi menangani dakwaan palsu mengenai lawatan pada 18 Oktober itu.
“Kedutaan maklum mengenai hantaran media sosial yang mendakwa secara palsu bahawa Profesor Saiful Mujani dan Dr Dino Patti Djalal mengunjungi kediaman Duta Besar Singapura ke Indonesia pada 18 Oktober 2026,” menurut kenyataan itu.
“Tiada lawatan sedemikian berlaku. Ini jelas merupakan maklumat palsu,” menurut kenyataan itu.
Dakwaan itu muncul selepas Dr Dino mempersoalkan tuduhan bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Encik Muhammad Lutfi, bahawa entiti pelaburan Singapura, Perbadanan Pelaburan Pemerintah Singapura (GIC) dan Temasek, telah memberi tekanan kepada penyedia indeks antarabangsa Morgan Stanley Capital International (MSCI) supaya menurunkan taraf pasaran saham Indonesia agar pelabur asing dapat membeli aset negara itu pada harga murah.
Hantaran media sosial mendakwa kedua-duanya mengunjungi kediaman Duta Besar Singapura ke Indonesia, Encik Kwok Fook Seng, pada malam 18 Oktober.
Sebahagian hantaran turut memaparkan rakaman kawasan di luar Kedutaan Singapura di Jakarta, sambil membayangkan mereka bertemu pegawai Singapura.
Kedua-duanya menafikan dakwaan tersebut secara berasingan.
Dr Dino, bekas Duta Besar Indonesia ke Amerika Syarikat, berkata beliau berada di Perth, Australia, dari 18 hingga 20 Oktober bagi menghadiri acara perubahan iklim anjuran badan bukan pemerintah (NGO) Global Citizen.
Beliau berucap mengenai perubahan iklim dan bertemu Presiden Timor-Leste, Encik Jose Ramos-Horta, sebelum pulang pada malam 20 Oktober.
“Berita itu 100 peratus rekaan,” katanya menerusi Instagram pada 25 Oktober.
Dr Dino berkata beliau sudah bertahun-tahun tidak mengunjungi kediaman duta tersebut, walaupun hubungan mereka baik.
Pengasas Foreign Policy Community of Indonesia itu turut menafikan pernah bertemu Profesor Saiful, sambil berkata beliau tidak mempunyai sebarang urusan dengan penyelidik politik itu.
Dalam video Instagram pada 22 Oktober, Dr Dino menyifatkan dakwaan bahawa Singapura cuba melemahkan ekonomi Indonesia sebagai tidak berasas, memandangkan hubungan ekonomi erat kedua-dua negara.
Beliau percaya hantaran media sosial tersebut bertujuan menggambarkan beliau sebagai tidak patriotik dan mempunyai hubungan tidak wajar dengan Singapura.
Dr Dino mengesyaki penyebaran dakwaan itu diselaraskan melalui beberapa akaun media sosial, namun tidak dapat mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Beliau bercadang membangkitkannya dengan Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital, Cik Meutya Hafid, kerana bimbang maklumat palsu digunakan untuk menakut-nakutkan mereka yang bersuara.
Sementara itu, Professor Saiful, pengasas Saiful Mujani Research and Consulting, memberitahu Metro TV pada 25 Oktober bahawa beliau tidak pernah bercakap atau bertemu Dr Dino mahupun Duta Besar Singapura.
Beliau terkejut dengan penyebaran dakwaan tersebut dan mungkin menyiasat asal usulnya serta mengambil tindakan undang-undang jika perlu.