Orang ramai kini boleh menikmati semula pelbagai kegiatan air di Pantai Eagle Bay di Pulau Lazarus atau dikenali sebagai Pulau Sekijang Pelepah, dua bulan selepas kawasan itu ditutup untuk kerja pembersihan, menyusuli kejadian tumpahan minyak besar.
Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) dalam satu kenyataan pada 13 Ogos, berkata kegiatan renang dan semua kegiatan air kini dibenarkan.
Perniagaan tepi pantai termasuk kegiatan air juga kembali beroperasi.
Pengunjung boleh menikmati perjalanan bot percuma antara Sentosa Cove dengan Pulau Lazarus yang akan disediakan pada hujung minggu dari 17 Ogos hingga 1 September, sebagai meraikan pembukaan semula pantai itu selepas kerja-kerja pembersihan selesai.
Khidmat perjalanan bot itu diadakan setiap 20 minit dari 9 pagi hingga 11 pagi, dan setiap 40 minit dari 2 petang hingga 6 petang.
Kegiatan yang disediakan sepanjang tiga hujung minggu itu termasuk kelas dayung berdiri berharga $5 seorang, dan jalan berpandu serta pengembaraan kayak selama tiga jam yang melalui Pulau St John’s atau dikenali sebagai Pulau Sekijang Bendera dan Pulau Lazarus, lapor The Straits Times (ST).
Pada 3 Ogos, Pantai Siloso di Sentosa dibuka semula kepada orang ramai selepas insiden tumpahan minyak pada Jun.
Pantai Siloso adalah yang pertama daripada tiga pantai di Sentosa yang dibuka semula kepada pengunjung.
Dua lagi pantai, Pantai Palawan dan Pantai Tanjong dijangka akan dibuka semula pada Ogos selepas kerja pembersihan perairan dan pantainya selesai.
Pada 14 Jun, kapal berbendera Belanda, Vox Maxima, melanggar kapal tangki minyak berdaftar di Singapura, Marine Honour, yang berlabuh di Terminal Pasir Panjang, mengakibatkan 400 tan tumpahan minyak.
Disebabkan oleh arus air pasang, minyak merebak dan mengotorkan sebilangan pantai, termasuk pantai di Sentosa, Hutan Simpanan Labrador, Marina South Pier, Taman East Coast dan Keppel Bay.
Selepas insiden itu, tumpahan minyak turut dikesan di habitat sensitif di sebahagian kawasan Kepulauan Selatan, termasuk perairan Pulau St John’s dan Pulau Lazarus.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg