Dengan mendirikan beberapa khemah besar dilengkapi tilam angin, dapur mudah alih, serta meja dan kerusi untuk bersantai, keluarga Cik Norbaizura Abdullah menjadikan perkhemahan satu pengalaman yang serba lengkap dan selesa.
Keluarga besarnya, terdiri daripada sekitar 40 anggota, membelanjakan hingga $4,000 termasuk membeli peralatan perkhemahan berjenama seperti Blackdog, untuk memastikan pengalaman perkhemahan bermutu tinggi.
“Kami ingin berkhemah tanpa mengorbankan keselesaan. Dengan peralatan sesuai, perkhemahan menjadi kegiatan yang lebih menyeronokkan,” jelas Cik Norbaizura, 34 tahun, seorang suri rumah.
Ibu lima anak – tiga anak perempuan berusia 18 tahun, 14 tahun, dan setahun; dan dua anak lelaki berusia 16 tahun dan 10 tahun – itu juga memastikan terdapat kegiatan untuk anak-anaknya.
Cik Norbaizura memberitahu Berita Minggu (BM) bahawa keluarganya kali pertama melakukan kegiatan perkhemahan pada 2023 selepas menonton beberapa video berkhemah yang tular di TikTok dan YouTube.
Trend video berkhemah seiring dengan peningkatan populariti perkhemahan di negara ini, dengan semakin ramai memilih untuk menikmati keindahan alam secara lebih dekat.
Menjawab pertanyaan BM, Lembaga Taman Negara (NParks) berkata sejauh ini lebih 42,000 permit perkhemahan telah diluluskan untuk Taman East Coast, Taman West Coast, Taman Pasir Ris dan Pulau Ubin hingga 18 September 2024.
Ini berbanding jumlah gabungan 50,000 hingga 70,000 permit pada 2022 dan 2023, lantas mencerminkan minat yang stabil terhadap kegiatan rekreasi itu.
Namun, tidak semua yang sanggup atau sedia mendirikan khemah sendiri.
Mereka yang ingin berkhemah boleh memanfaatkan penyedia perkhidmatan perkhemahan yang menawarkan khidmat menyedia dan memasang khemah.
Antaranya ialah Tonnmalam yang diasaskan Encik Noor Azmi Omar pada 2015.
Encik Noor berkata: “Kami menyediakan dan memasangkan peralatan perkhemahan agar ia tidak merumitkan bagi mereka yang ingin berkhemah.”
Bagi sesetengah penggemar perkhemahan yang mahukan kemewahan tambahan, pilihan glamping, iaitu perkhemahan selesa dan mewah, menjadi pilihan.
Dengan khemah yang telah siap dipasang, tilam empuk dan hiasan dalaman yang estetik, glamping menyediakan pengalaman perkhemahan tanpa mengabaikan keselesaan.
Ia menjadi pilihan ideal bagi mereka yang ingin beristirahat dikelilingi alam semula jadi dalam suasana selesa dan mewah.
Lokasi popular seperti Taman East Coast dan Pulau Ubin menarik ribuan pengunjung, terutama semasa cuti sekolah, menjadikan perkhemahan sebagai kegiatan keluarga yang semakin popular.
Menurut NParks, Taman East Coast mencatatkan lebih separuh daripada jumlah permit yang diluluskan setiap tahun, menunjukkan ia destinasi pilihan bagi kebanyakan keluarga yang mahukan kegiatan bersantai.
Dengan pelbagai pilihan peralatan dan kemudahan yang kini disediakan, perkhemahan di Singapura terus berkembang sebagai cara popular untuk melarikan diri daripada kesibukan kota sambil berhubung dengan alam semula jadi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg