Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RRG: Kes bukti ancaman radikalisasi dalam talian meningkat

Oct 18, 2024 | 7:30 PM
Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) berkata bahawa penangkapan seorang remaja berusia 17 tahun, selepas merancang untuk melakukan pengganasan di kawasan berdekatan Kelab Masyarakat Tampines West pada September adalah satu isu yang amat membimbangkan.
Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) berkata bahawa penangkapan seorang remaja berusia 17 tahun, selepas merancang untuk melakukan pengganasan di kawasan berdekatan Kelab Masyarakat Tampines West pada September adalah satu isu yang amat membimbangkan. - Foto ST

Kes radikalisasi melibatkan seorang remaja berusia 17 tahun yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), amat membimbangkan kerana dia telah membuat perancangan untuk ke Syria bagi menyertai jihad bersenjata, selain melakukan pengganasan terhadap orang awam di Singapura, kata Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Dalam satu hantaran di Facebooknya pada 18 Oktober, RRG berkata bahawa kes ini membuktikan ancaman radikalisasi dalam talian yang semakin meningkat, khususnya melalui pendedahan kepada ideologi ekstremis ganas daripada pendakwah asing.

“RRG amat prihatin terhadap kes radikalisasi seorang remaja berusia 17 tahun yang telah ditahan di bawah ISA dan menjadi penyokong tegar ISIS.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana dia telah membuat rancangan untuk pergi ke Syria bagi menyertai jihad bersenjata, dan juga melakukan pengganasan terhadap orang awam di Singapura,” menurut hantaran tersebut.

Dalam satu kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 18 Oktober, belia itu dikatakan telah menyertai pelbagai kumpulan dalam talian yang menyediakan maklumat terkini mengenai aktiviti ISIS.

Dia turut menerima kata-kata ISIS yang mempromosikan penggunaan senjata untuk pengganasan dan menubuhkan sebuah khalifah Islam.

Lantas RRG menggesa anggota masyarakat supaya berwaspada dan mencari ilmu agama yang tepat daripada sumber yang boleh dipercayai.

RRG juga menggalakkan orang ramai agar mengesahkan pembelajaran agama mereka melalui pihak berkuasa keagamaan yang diiktiraf seperti RRG, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), atau di masjid tempatan.

“Dalam masa yang mencabar ini, adalah penting untuk mencegah penyebaran fahaman menyimpang yang boleh menyesatkan individu,” tambah RRG.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg