Topik diikuti
Pergi ke BHkuKegiatan udara dilarang di beberapa kawasan S’pura sempena F1 dari 8 hingga 12 Okt
Kegiatan udara dilarang di beberapa kawasan S’pura sempena F1 dari 8 hingga 12 Okt
Mereka yang bercadang menerbangkan dron atau layang-layang semasa hujung minggu Formula Satu (F1) harus berfikir dua kali, kerana kegiatan udara akan dilarang di beberapa kawasan Singapura sempena Grand Prix Singapura dari 8 hingga 12 Oktober.
Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata dalam satu kenyataan pada 6 Oktober bahawa larangan itu bertujuan menjamin keselamatan orang ramai, serta keselamatan helikopter yang membuat rakaman dari udara semasa acara tersebut.
Kawasan terhad sementara (TRA) itu merangkumi Marina Bay Sands, Gardens by the Bay, Katong dan hab sukan The Kallang. Kawasan lain yang turut dilindungi ialah Little India, Orchard Road, Chinatown dan Tanjong Pagar.
Larangan itu meliputi dari paras bumi hingga 4,000 kaki (kira-kira 1.2 kilometer) di atas paras laut.
Semua kegiatan udara ke dalam dan di dalam kawasan larangan itu tidak dibenarkan dari 2 petang pada 8 Oktober hingga 1 pagi pada 9 Oktober; 3 petang pada 9 Oktober hingga 3 pagi pada 10 Oktober; 2 petang pada 10 Oktober hingga 3 pagi pada 11 Oktober; dan 2 petang pada 11 Oktober hingga 3 pagi pada 12 Oktober.
Kegiatan yang dilarang termasuk menerbangkan layang-layang, menaikkan belon tertambat dan menerbangkan pesawat tanpa pemandu (UA) seperti dron.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas jika melihat helikopter yang terbang rendah di kawasan itu pada tarikh dan waktu tersebut,” kata CAAS.
Kegiatan udara tanpa kebenaran di dalam kawasan larangan sementara tanpa permit yang diperlukan adalah satu kesalahan di bawah Peraturan Navigasi Udara, kata CAAS.
Mereka yang didapati bersalah boleh didenda sehingga $50,000 atau dipenjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya.
Bagi pesalah berulang, mereka boleh didenda sehingga $100,000 atau dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.
Sekatan sedia ada terhadap kegiatan udara dan pesawat tanpa pemandu dalam lingkungan lima kilometer dari aerodrom, kawasan bahaya, kawasan larangan, kawasan terhad dan kawasan dilindungi masih berkuat kuasa, tambah CAAS.
Orang ramai boleh menyemak pautan, OneMap.sg atau aplikasi OneMap, untuk maklumat tentang kawasan yang melarang kegiatan udara atau memerlukan permit.