Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kehilangan bapa tidak halang tuntut ilmu hingga menara gading

Sep 12, 2024 | 4:46 PM
Cik Irysa Nasha Abdul Malek (kanan) bersama ibunya, Cik Nor Azean Ibrahim, pada upacara penyampaian diplomanya. Cik Irysa Nasha meraih diploma dalam perakaunan dan kewangan daripada Politeknik Temasek pada Mei 2024.
Cik Irysa Nasha Abdul Malek (kanan) bersama ibunya, Cik Nor Azean Ibrahim, pada upacara penyampaian diplomanya. Cik Irysa Nasha meraih diploma dalam perakaunan dan kewangan daripada Politeknik Temasek pada Mei 2024. - Foto ihsan IRYSA NASHA ABDUL MALEK

Emosi dan fikiran Cik Irysa Nasha Abdul Malek terganggu tatkala kehilangan bapanya secara mendadak akibat serangan jantung, seminggu sebelum beliau sepatutnya menduduki peperiksaan. Ketika itu, beliau berusia 14 tahun dan sedang menuntut di Sekolah Menengah Ngee Ann.

Untuk mengatasi rasa terkejut dan sedih, beliau terpaksa memohon izin daripada pihak sekolah untuk tidak menghadiri kelas selama seminggu.

Mujurlah, beliau menerima sokongan padu daripada ahli keluarga, guru dan teman sekolah yang banyak memberi kata-kata perangsang supaya beliau kembali bersemangat untuk belajar dan meneruskan kehidupan.

Cik Irysa Nasha, kini 21 tahun, mempunyai tiga beradik iaitu dua kakak berusia 26 thun dan 23 tahun dan seorang adik lelaki berusia 14 tahun. Ibunya, Cik Nor Azean Ibrahim, 49 tahun, merupakan seorang penyelia perkhidmatan pelanggan di Lapangan Terbang Changi.

“Walaupun saya rindu arwah bapa saya ketika itu, saya sedar saya juga mahu membuat ibu dan arwah bapa saya bangga dengan saya. Maka, saya bertekad mahu belajar dan mencapai kecemerlangan supaya saya boleh mempunyai masa depan yang cerah,” kata Cik Irysa Nasha.

Kini, Cik Irysa Nasha, baru memulakan pengajian sarjana muda dalam jurusan perakauanan di Institut Teknologi Singapura (SIT) setelah berjaya meraih diploma dalam jurusan perakaunan dan kewangan daripada Politeknik Temasek pada Mei tahun ini.

Menurutnya, beliau berjaya memasuki program asas politeknik (PFP) pada 2021, dengan pelajar menengah empat daripada peringkat normal (akademik) boleh langsung ke politeknik sebagai alternatif kepada peringkat menengah lima.

“Bayangkan, betapa gembiranya saya apabila mendapat tahu bahawa saya layak memasuki program asas politeknik. Tetapi, pada masa yang sama, saya juga berasa tertekan, memikirkan soal yuran politeknik kerana kakak kedua saya juga memasuki Politeknik Republic pada 2021 selepas tamat peperiksaan GCE Peringkat ‘O’. Mampukah ibu saya membayar yuran tuisyen politeknik kami?” kata Cik Irysa Nasha.

Memandangkan kakak sulungnya, Cik Izzah Nameera Abdul Malek, pernah menerima skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) yang ditawarkan Yayasan Mendaki untuk pengajiannya di politeknik, Cik Irysa Nasha dan kakak keduanya, Cik Irrin Nazura Abdul Malek, cuba membuat permohonan untuk skim TTFS bagi pengajian mereka.

Permohonan mereka diluluskan dan Cik Irysa Nasha dan Cik Irrin Nazura menerima sokongan skim TTFS yang menawarkan mereka subsidi penuh bagi yuran tuisyen politeknik mereka.

“Saya berasa lega apabila permohonan mendapatkan subsidi TTFS diluluskan kerana ia membolehkan saya memberi tumpuan penuh terhadap pengajian saya,” kata Cik Irysa Nasha, yang berminat dalam bidang pencukaian dan perakaunan perniagaan.

Semasa di politeknik, beliau turut serta dalam pelbagai kegiatan luar darjah seperti mengikuti lawatan ke syarikat perakaunan besar seperti Deloitte dan KPMG; serta mengajar program celik kewangan menerusi permainan kepada sekumpulan pelajar Institusi Raffles (RI) dan Sekolah Menengah Riverside; serta menyertai pertandingan Cabaran Cukai Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Mengulas tentang bantuan subsidi daripada Yayasan Mendaki, ibu Cik Irysa Nasha, Cik Nor Azean berkata:

“Saya bersyukur mendapat bantuan subsidi sepenuhnya bagi ketiga-tiga anak perempuan saya supaya mereka dapat meneruskan pelajaran dan mengejar impian masing-masing. Sejujurnya, sebelum ini, saya bimbang tentang yuran tuisyen politeknik mereka kerana saya masih bayar untuk pinjaman rumah saya. Jadi, tanpa bantuan Mendaki, saya tidak tahu adakah saya mampu menanggung pengajian mereka di politeknik.”

Sejak suaminya meninggal dunia, Cik Nor Azean merupakan pencari nafkah utama keluarganya dan akan bekerja lebih masa pada setiap minggu untuk menanggung keperluan anak-anaknya. Beliau juga bersyukur kerana Cik Irysa Nasha dan adik-beradiknya menerima Skim Bantuan Kewangan MOE semasa mereka berada di sekolah rendah dan menengah dan diberikan sokongan seperti subsidi makanan, buku teks dan pakaian seragam percuma.

“Sebenarnya, saya juga bersyukur kerana Irysa Nasha dan adik-beradiknya semua pandai berdikari dan menjaga satu sama lain. Selepas kehilangan suami saya, mereka bersilih ganti menghantar anak bongsu saya ke sekolah yang ketika itu baru berada di darjah satu dan sama-sama melakukan kerja rumah. Jika saya perlu bantuan tambahan, ibu bapa saya akan tolong juga. Dengan sokongan anak-anak dan ibu bapa saya, saya dapat bekerja syif dengan tenang,” kata Cik Nor Azean.

Bagi menambah wang perbelanjaan sendiri, Cik Irysa Nasha, bekerja sambilan sebanyak empat kali seminggu di sebuah kafe sepanjang pengajiannya di politeknik.

“Walaupun sibuk dengan pelbagai projek dan tugasan di politeknik, saya cuba mengimbangi masa saya untuk bekerja. Mujurlah, majikan saya sangat memahami – mereka okay jika saya datang lambat kerana kuliah saya habis lewat atau membolehkan saya melakukan tugasan jika kafe tidak sibuk. Dengan bekerja, saya juga belajar mengatur masa dan dapat menimba pengalaman,” katanya.

Dalam kesibukan mengimbangi pengajian dan bekerja sambilan, Cik Irysa Nasha juga mengambil peluang turut serta dalam kegiatan anjuran Yayasan Mendaki pada tahun ini.

Beliau menyertai acara Sesi Rangkaian YOUth@M3, di mana beliau berinteraksi bersama pakar profesional daripada pelbagai industri dan belia daripada pelbagai latar belakang. Sesi itu telah meluaskan mindanya dan menggalak beliau mengejar cita-citanya.

Memandang ke depan, Cik Irysa Nasha mahu menimba pengalaman dalam bidang pencukaian dan berharap dapat menjadi pendidik kepada kanak-kanak pada suatu hari.

SEKILAS

Skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS)

􀀁 TTFS bertujuan membiayai yuran pengajian pelajar Melayu di institut pengajian tinggi setempat. TTFS adalah perlembagaan pemerintah untuk melindungi dan memupuk kepentingan Pendidikan masyarakat Melayu Singapura.

􀀁 Pelajar daripada keluarga berpendapatan kurang daripada $2,000 per kapita (PCI), layak menerima bantuan TTFS.

􀀁 Untuk maklumat lanjut mengenai TTFS, lungsuri https://www.mendaki.org.sg/.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg