Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeinginan cipta perubahan dalam kehidupan insan jadi pendorong dua aktivis PAP
Keinginan cipta perubahan dalam kehidupan insan jadi pendorong dua aktivis PAP
Meskipun berbeza usia dan tempoh perkhidmatan sebagai anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP), persamaan yang dikongsi Encik Yusof Abdul Lateef dan Cik Nur Wildani Juraimi ialah semangat menyumbang kembali yang begitu kuat.
Kedua-dua individu ini menyifatkan keinginan untuk mengorak perubahan dalam kehidupan seberapa ramai insan sebagai sebab utama mereka menabur bakti secara sukarela dengan parti itu.
Ini tanpa mengira sejauh besar atau kecil tindakan yang diambil bagi membantu kehidupan seseorang itu, tambah mereka, ketika ditemui Berita Harian selepas menerima anugerah masing-masing sempena Persidangan dan Anugerah PAP 2026 di Ekspo Singapura pada 25 Oktober.
Encik Yusof, 57 tahun, menerima Pingat Pujian selepas lebih 30 tahun berbakti bersama parti manakala Cik Wildani, 27 tahun, menerima Pingat Belia, selepas 11 tahun menjadi sukarelawan dengan PAP.
Encik Yusof, perunding perniagaan dalam pengurusan krisis, berkata: “Sebagai individu yang berkhidmat, saya dapat melakukannya dengan penuh wibawa kerana pengalaman yang diperolehi amat luas dan mematangkan seseorang.
“Malah, falsafah saya dalam menaburkan bakti adalah ‘walk the talk’ atau kotakan apa yang saya katakan (kepada penduduk).
“Sama ada kami dapat menyelesaikan isu (yang dibangkitkan penduduk) serta-merta atau ia mengambil tempoh agak lama, kami akan selesaikannya bersama.”
Bagi Cik Nur Wildani pula, yang merupakan penerima anugerah paling muda di acara itu, falsafahnya untuk menyumbang adalah melihat sejauh mana bantuan yang diberinya memberi kesan kepada individu tersebut.
Beliau yang kini sedang menuntut Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Sumber Manusia di Universiti Murdoch itu berkata:
“Saya tidak melihat pada berapa ramai yang saya dapat bantu atau acara PAP yang saya terlibat sama.
“Tetapi saya melihatnya dari segi berapa ramai kehidupan yang dapat saya memberi kesan (melalui usaha saya).”
Lantaran itu,Cik Nur Wildani berkata usaha untuk berkhidmat kepada masyarakat sebenarnya dapat berputik daripada perkara paling mudah, seperti menjadi sukarelawan dalam Sesi Bertemu Rakyat (MPS) bagi mendengar keluhan penduduk atau jiran.
Beliau menukil contoh salah satu sesi MPS di Punggol North melibatkan individu yang disyaki mencuri serbuk susu daripada salah satu pasar raya di sini kerana terdesak untuk diberikan kepada cucu lelakinya.
Ini memandangkan ayah dan ibu kepada cucu itu sering keluar masuk penjara.
Cik Nur Wildani berkata beberapa sukarelawan memberikan baucar membeli-belah atas ihsan sendiri, sedikit sebanyak dapat meringankan beban individu tersebut.
Pengalaman semasa MPS ini turut dikongsi Encik Yusof, yang berkata ia menjadi satu dorongan bagi beliau mencari jalan penyelesaian tatkala penduduk berkongsi kisah masing-masing.
“Berkhidmat untuk orang ramai sebenarnya adalah satu rahmat. Jika kita boleh membuat seseorang itu tersenyum (dengan sumbangan kita), ia sedikit sebanyak membuat kehidupan individu itu lebih baik jadi mengapa tidak (kita lakukannya)?,” ujar beliau.