Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kejayaan tidak datang bergolek, perlu terus fikir cara lebih baik perbaiki dasar

Aug 23, 2024 | 7:20 PM
Rakyat Singapura harus terus meneliti setiap isu yang berlaku serta memikirkan sama ada terdapat cara untuk terus menambah baik dasar negara, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa sidang media di Pusat Akhbar Nasional di Hill Street pada 23 Ogos.
Rakyat Singapura harus terus meneliti setiap isu yang berlaku serta memikirkan sama ada terdapat cara untuk terus menambah baik dasar negara, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa sidang media di Pusat Akhbar Nasional di Hill Street pada 23 Ogos. - Foto ZAOBAO

Rakyat Singapura tidak boleh mengandaikan kejayaan akan selalu datang bergolek dan harus terus meneliti setiap isu yang berlaku serta memikirkan sama ada terdapat cara untuk terus menambah baik dasar-dasar negara, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Bagaimanapun, beliau berkata perubahan tidak harus dilakukan demi menginginkan perubahan, tetapi dengan perspektif untuk memperbaiki keadaan.

Encik Wong berkata demikian dalam sidang media di Pusat Akhbar Nasional di Hill Street pada 23 Ogos, yang pertama sejak beliau menyandang jawatan Perdana Menteri pada Mei.

“Saya fikir andaian terbesar adalah kita tidak boleh menganggap bahawa keadaan baik dalam hidup akan datang bergolek dan jatuh ke riba kita, serta keadaan berfungsi di tempatnya dan semuanya baik di Singapura.

“Kita perlu terus bertanya, bukan menganggap bahawa kita boleh terus bergerak dengan status quo.

“Oleh itu, sentiasa meneliti setiap isu dan maklum balas yang diterima, namun juga melihat pada dasar-dasar dan bertanya pada diri kita, bolehkah kita melakukannya dengan lebih baik? Adakah terdapat cara lebih baik untuk melakukan sesuatu?” ujar beliau.

Misalnya, Encik Wong berkata keadaan mungkin berubah atau teknologi baru mungkin muncul, sambil menambah bahawa rakyat Singapura juga mungkin melihat pada keseimbangan secara berbeza daripada yang mereka lakukan dahulu.

“Mungkin pandangan rakyat Singapura mengenai keseimbangan berbeza hari ini dan mungkin terdapat teknologi baru, huraian baru.

“Oleh itu, dalam setiap bidang ini, dalam semua dasar kami, (kami harus) sentiasa melakukan dengan lebih baik lagi buat Singapura dan rakyat Singapura,” katanya.

Ini dapat dilihat dalam peraturan cuti ibu bapa baru yang diumumkan Encik Wong semasa ucapan Rapat Hari Kebangsaan pada 18 Ogos.

Encik Wong mengumumkan 10 minggu tambahan bagi Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa (SPL), bersama empat minggu cuti paterniti wajib yang berkuat kuasa 1 April 2026.

Di sidang media itu, Encik Wong menjelaskan bahawa pemerintah telah memberikan tumpuan kepada mewujudkan sebuah persekitaran yang mesra keluarga di Singapura, berbeza dengan pendekatan sebelum ini yang memberi insentif kepada pasangan yang melahirkan anak.

“Namun, daripada memberikan insentif langsung untuk menggalak pasangan mempunyai anak itu sendiri, (pemerintah) mengambil sumber dan melihat bagaimana kami boleh menggunakan sumber ini untuk mewujudkan persekitaran lebih mesra keluarga secara umumnya di Singapura.

“Dan ini bermakna melihat pada isu-isu yang menjadi keprihatinan bagi ramai ibu bapa muda dan keluarga, seperti prasekolah dan pendidikan.

“Ini bermakna melihat pada aturan cuti kerana ramai ibu bapa muda mahu meluangkan masa dengan anak mereka, terutamanya ketika mereka masih bayi.

“Ia juga bermakna melihat pada bidang seperti kos sara hidup kerana kami tahu soal perbelanjaan bagi ramai ibu bapa dengan anak, terutamanya apabila mereka mempunyai tiga atau lebih anak, akan bertambah,” katanya.

Dengan memberi tumpuan kepada memanfaatkan sumber dalam perkara yang menjadi keprihatinan rakyat Singapura itu, Encik Wong berharap ia akan mewujudkan satu budaya dan penghargaan bahawa terdapat persekitaran yang mesra buat keluarga di Singapura.

“Pada akhirnya, kita mesti membiarkan rakyat Singapura membuat keputusan, tetapi diharapkan, dengan persekitaran lebih luas itu, lebih ramai orang akan terdorong untuk berkahwin dan mempunyai anak,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg