Pemerintah akan memberi tumpuan kepada menangani keprihatinan kos kehidupan dan menjaga warga emas dengan lebih baik, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Ini termasuk menghulurkan lebih banyak bantuan untuk golongan warga Singapura yang tertentu, seperti keluarga lebih besar dan mempunyai anak-anak kecil.
Encik Wong berkata demikian semasa menggariskan dua bidang keutamaannya dalam sidang media pertama selepas beliau menjadi Perdana Menteri pada Mei, di Pusat Media Nasional di Hill Street.
Encik Wong menjelaskan pemerintah sudah pun menawarkan pelbagai skim untuk menolong rakyat menangani kos sara hidup yang tinggi seperti skim lebih luas, Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan skim lebih khusus seperti Rebat U-Save untuk golongan berpendapatan rendah dan pertengahan.
“Tetapi seperti yang saya sebutkan semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR), kami kini sedang meneliti golongan masyarakat yang khusus dan bagaimana menyediakan lebih banyak bantuan.
“Misalnya, mereka yang mempunyai keluarga lebih besar, lebih ramai anak kecil. Ini bermakna kos untuk mereka akan meningkat dengan cepat, justeru, kami sedang melihat bagaimana untuk menyediakan lebih sokongan untuk mereka,” ujar Encik Wong.
Berhubung bantuan untuk warga emas, Encik Wong berkata pemerintah sedang meneliti bantuan penjagaan jangka panjang dan keperluan perumahan mereka.
Ini merupakan satu isu utama yang akan berterusan sedang lebih ramai warga menua.
“Dan ini bukan sahaja membantu mereka yang lebih berusia seperti dalam umur 70-an dan 80-an tahun, tetapi dalam kita lebih menjaga mereka, kita juga akan menolong anak-anak mereka yang juga tidak semakin muda, mereka kini berumur 50-an tahun – warga emas muda dan ramai daripada mereka merasa terhimpit kerana harus menjaga ibu bapa yang lanjut usia tetapi juga perlu menjaga anak-anak sendiri,” terang beliau.
Dalam sidang media itu, Encik Wong turut menggariskan apa yang boleh dijangkakan warga Singapura bagi bulan-bulan mendatang di samping gagasan di sebalik ucapan NDR.
Antara lain dalam ucapan NDR pada 18 Ogos, Encik Wong membentangkan rancangan menyemak semula dasar yang termasuk memberi lebih banyak cuti dikongsi ibu bapa dan bantuan kewangan sementara bagi pekerja berpendapatan rendah dan sederhana.
Menurut Encik Wong, dalam ucapan tersebut, beliau telah bermatlamat untuk memberikan lebih banyak butiran mengenai aspirasi dan harapan rakyat yang dikongsi semasa inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward Singapore.
Kata beliau, aspirasi dan harapan baru rakyat Singapura berteraskan dua tonggak utama – kompak sosial yang diperbaharui dan impian Singapura yang disegarkan semula.
“Tonggak pertama, kompak sosial diperbaharui ialah satu kompak yang mana setiap warga akan mendapatkan sokongan untuk mengharungi cabaran dalam hidup dan mendapat peluang saksama dalam kehidupan mereka.
“Tetapi pada masa sama, semua orang harus memainkan peranan untuk bekerja keras, berusaha untuk cemerlang dan meningkatkan kehidupan keluarga dan jika mereka lakukan itu, pemerintah akan bersama mereka dan menyokong setiap langkah mereka dan membantu mereka untuk berjaya,” jelas Encik Wong.
Bagi tonggak kedua, dalam mencapai impian Singapura yang disegarkan semula, rakyat boleh mencari laluan sendiri dan tidak perlu membandingkan diri dengan orang lain.
Selain daripada isu yang disebutkan, Encik Wong berkata akan ada juga isu baru yang timbul semasa berinteraksi dengan rakyat Singapura.
“Ini sebabnya saya menganggap pertemuan tetap dengan warga sebagai aspek penting dalam tugasan saya,” ujar Encik Wong yang sudah menamatkan 100 hari selaku Perdana Menteri pada 22 Ogos.
Beliau berkongsi yang beliau sudah membuat lawatan ke beberapa daerah negara ini sejak memegang jawatan seperti ke Tampines dan West Coast, serta menyifatkan kunjungan itu sebagai peluang baik bertemu penduduk dan mendengar secara langsung pandangan dan maklum balas mereka.
Lantaran itu, Encik Wong komited untuk meneruskan perbincangan dan mengadakan dialog dengan semua lapisan masyarakat Singapura.
“Ini adalah komitmen saya dan pasukan saya: kami ada di sini untuk mendengar hujah anda; memahami secara langsung kebimbangan anda, harapan dan impian anda; dan untuk membina hubungan lebih kukuh, lebih bermakna dengan setiap warga Singapura,” kata beliau lagi.
“
“Ini adalah komitmen saya dan pasukan saya: kami ada di sini untuk mendengar hujah anda; memahami secara langsung kebimbangan anda, harapan dan impian anda; dan untuk membina hubungan lebih kukuh, lebih bermakna dengan setiap warga Singapura.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg