Masyarakat Melayu/Islam Singapura bercita-cita untuk maju dan bergerak ke hadapan bersama dengan seluruh negara, namun pada masa yang sama, terus menjunjung nilai tradisi dan budaya masyarakat mereka, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Usaha menjunjung budaya, tradisi dan nilai yang dimiliki sebagai sebuah masyarakat itu adalah sesuatu yang “sangat berharga”, kata Encik Wong, sambil menambah pemerintah akan terus mencari cara menyokong masyarakat itu melakukan demikian.
Satu inisiatif ke arah usaha itu adalah penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura, yang akan menyediakan lebih banyak laluan kepada pelajar Melayu/Islam yang berminat dalam jurusan pengajian Islam melanjutkan pelajaran di Singapura, tambah Encik Wong dalam sidang media sulung beliau pada 23 Ogos sejak menyandang jawatan perdana menteri pada Mei.
Semasa ucapan sulung Rapat Hari Kebangsaan (NDR) beliau dalam bahasa Melayu pada 18 Ogos, Encik Wong mengumumkan bahawa negara ini akan menubuhkan Kolej Pengajian Islam Singapura yang bakal memupuk dan melahirkan pemimpin Islam setempat pada masa depan.
Dalam ucapannya itu, beliau berkata pembinaan kolej tersebut merupakan projek terbaru di bawah kerjasama erat antara pemerintah dengan masyarakat Melayu/Islam.
Beliau turut memberi komitmen untuk meneruskan kerjasama kukuh antara pemerintah dengan masyarakat Melayu/Islam serta menghargai semua maklum balas dan pandangan masyarakat itu.
Di sidang media pada 23 Ogos, Encik Wong berkata beliau terus mendekati masyarakat Melayu/Islam melalui pelbagai kegiatan seperti menerusi M Kuasa Tiga (M³), di acara perayaan dan sesi bersama pemimpin muda, bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan serta mendengar keprihatinan mereka.
Beliau berkata sebahagian besar keprihatinan, harapan and cita-cita masyarakat Melayu/Islam serupa dengan yang di peringkat nasional.
Bagaimanapun, tentu sekali terdapat isu khusus yang unik kepada masyarakat itu seperti yang dihadapi masyarakat etnik lain, termasuk dalam isu budaya dan bahasa.
“Saya fikir bagi masyarakat Melayu/Islam khususnya, dalam pendekatan saya dengan mereka, ramai daripada mereka bercita-cita untuk maju dalam kehidupan, melakukan dengan lebih baik dan maju bersama dengan negara.
“Tetapi pada masa yang sama, (mereka mahu) menjunjung tradisi, budaya, kepercayaan dan nilai yang mereka miliki sebagai sebuah masyarakat. Saya fikir ini adalah sangat berharga dan kami akan terus mencari cara menyokong masyarakat melakukan demikian,” kata beliau.
Mengulas tentang Kolej Pengajian Islam Singapura, beliau berkata institusi pengajian itu akan menyediakan laluan bagi cendekiawan Islam tempatan mempunyai pilihan untuk menimba ilmu di Singapura.
Kolej Pengajian Islam itu pertama kali diusulkan oleh mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Yaacob Ibrahim, pada 2016.
Ia kemudian digerakkan dan diusahakan pengganti beliau, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Pelbagai usaha telah dijalankan untuk menjadikan impian membina kolej itu satu kenyataan sejak ia diusulkan.
Ini termasuk lawatan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) ke negara seperti Mesir, Jordan dan Turkey untuk meninjau program kolej Islam di sana.
Encik Wong berkata butiran lanjut mengenai kolej itu akan dikongsi kelak.
“... akan ada peluang bagi saya nanti (untuk kongsi butiran lanjut) sedang kami mengumpulkan butiran tentang kolej baru ini dan bagaimana kami akan menyediakan lebih banyak laluan untuk pelajar Melayu/Islam yang berminat dalam pengajian Islam melanjutkan pelajaran, tidak semestinya di luar negara, tetapi di Singapura,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg