Satu kejiranan baharu dengan gabungan rumah awam dan privet akan dibina di sebuah tapak berhutan di sepanjang Pasir Ris Drive 4, memandangkan permintaan perumahan yang tinggi di kawasan tersebut, kata Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 23 November.

Ia telah mencadangkan untuk memelihara kira-kira 13 hektar kawasan semula jadi sedia ada, termasuk kawasan pesisir dan tumbuh-tumbuhan, susulan satu Penilaian Kesan Sekitaran (EIA) yang meliputi tanah seluas 36 hektar.

Dalam satu hantaran di Facebook, HDB berkata pihaknya turut meneliti tapak ‘brownfield’ iaitu tapak yang pernah dibangunkan sebelum ini, termasuk kawasan berhampiran seperti Sekolah Menengah Siglap dan tapak perindustrian di Lorong Halus, bagi merancang pembinaan rumah baharu di kawasan tersebut. 

“Namun, tapak-tapak itu sudah dirancang untuk bekalan perumahan masa hadapan, diperlukan untuk kegunaan nasional lain, atau tidak dapat disediakan dalam tempoh masa yang diperlukan,” katanya.

HDB berkata tiada tapak ‘brownfield’ yang boleh menyediakan jumlah rumah setanding dengan tapak Pasir Ris Drive 4 dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Tapak itu telah dikhaskan untuk pembangunan perumahan sejak 1980. 

Seorang jurucakap HDB berkata tapak itu akan memenuhi permintaan perumahan dalam dekad akan datang, dan pembangunan dijangka bermula secara berperingkat dalam beberapa tahun akan datang.

Selain EIA, HDB berkata ia telah melibatkan kumpulan-kumpulan alam semula jadi untuk lebih memahami nilai ekologi tapak tersebut dan cara mengurangkan kesan terhadap alam sekitar. 

Daripada 13 hektar kawasan semula jadi sedia ada yang dirancang untuk dikekalkan, kira-kira 8 hektar di kawasan pesisir terdiri daripada habitat di kawasan pasang surut, rumput laut dan paya bakau.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Ini akan dikekalkan bagi melindungi habitat pesisir dan biodiversiti paling penting di tapak tersebut, katanya.

Bersebelahan dengannya, sekitar 5 hektar tumbuh-tumbuhan akan dikekalkan untuk berfungsi sebagai penampan daripada kawasan paya bakau dan sungai sedia ada. 

Ia juga akan menjadi habitat persinggahan bagi hidupan liar dan mengekalkan rangkaian ekologi di sepanjang pesisir pantai.

Kira-kira 1 hektar di tenggara kawasan itu mungkin diperlukan bagi langkah perlindungan pesisir, tetapi tidak akan dibangunkan dalam jangka masa sederhana.

HDB turut merancang pembinaan taman selebar 15 meter di sepanjang Sungei Loyang. Kawasan itu akan ditanam dengan pelbagai tumbuhan bagi menyokong kepelbagaian biodiversiti. 

Ia turut akan menyediakan ruang hijau di sebahagian tapak tersebut sebagai laluan pejalan kaki bagi penduduk.

HDB berkata pihaknya akan melaksanakan pelan pemantauan dan pengurusan alam sekitar bagi memastikan kerja pembinaan berjalan dengan baik serta mengurangkan kesannya terhadap habitat sekitar. 

“Langkah-langkah ini membolehkan kami merancang pembangunan dengan lebih teliti bagi melindungi kawasan ekologi penting, di samping memenuhi keperluan perumahan rakyat Singapura,” tambah HDB.