Topik diikuti
Pergi ke BHkuKek lapis bakar semangat pelajar atasi cabaran hidup
Penerima Pingat Emas Tay Eng Soon antara 20 pelajar cemerlang yang diiktiraf di Majlis Tamat Pengajian ITE
Bau harum kek lapis yang memenuhi ruang dapur Encik Afiq Anaqi Ramlan, menjelang Hari Raya enam tahun lalu, menjadi titik permulaan yang mendorong beliau berjinak-jinak dalam dunia pembuatan pastri.
Ketika itu, beliau masih Menengah 2 dan hanya merujuk kepada resipi arwah neneknya.
Tanpa disangka, ahli keluarganya berkata kek tersebut mengingatkan mereka kepada air tangan arwah neneknya itu.
Dari situlah minat beliau terhadap pembuatan kek dan pastri berkembang.
Sejak itu, kegiatan membakar pastri dan kek menjadi tempat beliau mencari ketenangan dek memikul pelbagai tanggungjawab.
“Apabila saya rasa tertekan, pembuatan pastri dan kek menjadi salah satu cara saya melegakan tekanan kerana ia merupakan minat saya,” kongsi beliau yang berusia 20 tahun.
Encik Afiq merupakan antara 20 pelajar cemerlang daripada tiga kolej Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang menerima anugerah semasa Majlis Tamat Pengajian ITE di ibu pejabat ITE di Kolej Central pada 22 Julai.
Beliau telah menamatkan pengajian Nitec dalam Pastri dan Membuat Kek baru-baru ini dan kini merupakan pelajar tahun pertama Nitec Lanjutan dalam jurusan yang sama di ITE Kolej Barat.
Kecemerlangan akademik, kepimpinan dan sumbangan beliau kepada masyarakat semasa pengajian Nitec diiktiraf dengan Pingat Emas Tay Eng Soon di majlis tersebut.
Di sebalik pencapaian itu, beliau menggalas tanggungjawab sebagai pencari nafkah utama keluarganya dengan bekerja sambilan di sebuah restoran sambil mengekalkan Gred Purata Mata (GPA) sempurna 4.0.
Anak sulung tiga beradik itu terpaksa memikul tanggungjawab keluarga kerana ibu dan bapa tirinya tidak dapat bekerja dek masalah kesihatan.
Kedua-dua adiknya pula berkeperluan khas.
“Disebabkan jadual saya yang sangat padat, masa dalam kelas adalah satu-satunya masa untuk saya tumpukan perhatian kepada pelajaran.
“Saya tidak boleh leka dalam kelas kerana saya tidak mempunyai banyak masa untuk mengulangkaji semula apa yang telah diajar.
“Semasa waktu rehat pula, saya akan menghabiskan tugasan sekolah kerana selepas sekolah saya perlu kerja atau hadiri sesi CCA (kegiatan kokurikulum),” kata anak muda itu.
Walaupun sibuk mengimbangi pelbagai tanggungjawab, beliau bersyukur kerana ibunya selalu memastikan kebajikan beliau tidak terabai.
“Ibu saya adalah penyokong dan pengaruh yang paling penting dalam hidup saya. Beliau selalu mengambil peduli tentang saya dan memberikan nasihat agar saya mengimbangi tanggungjawab saya sebagai seorang pelajar dengan baik,” katanya.
Bagi Encik Afiq, pembuatan pastri dan kek juga bukan sekadar pencuci mulut kerana beliau percaya ia boleh membawa manfaat kepada masyarakat.
Pada 2024, beliau pernah terlibat dalam pertandingan, ‘NKF-ITE Makan Power Snacks’ untuk menghasilkan makanan rendah sodium dan kandungan air, sesuai dengan keperluan pesakit dialisis.
Bagi Encik Afiq, pertandingan itu membuka mata beliau tentang bagaimana makanan boleh disesuaikan mengikut keperluan kesihatan seseorang tanpa mengorbankan rasa.
Justeru, detik itu telah mengukuhkan keyakinan beliau bahawa bidang pembuatan pastri dan kek penting untuk memanfaatkan dan memenuhi keperluan masyarakat.
Selepas menamatkan pengajian Nitec Lanjutan kelak, beliau berharap dapat menyambung pengajian Diploma Teknikal dalam Hospitaliti dan Pengurusan Hotel.
Encik Afiq berharap satu hari nanti beliau juga dapat membuka sebuah bakeri yang membawa manfaat kepada masyarakat.

