Topik diikuti
Pergi ke BHkuKekurangan asatizah Al-Quran Braille dorong dua beradik tabur bakti
Kekurangan asatizah Al-Quran Braille dorong dua beradik tabur bakti
Kekurangan asatizah Al-Quran Braille dorong dua beradik tabur bakti
Ustazah Siti Nur Qurratu’ain Mohamad Noh tidak pernah menyangka bahawa suatu hari nanti beliau akan mengambil alih peranan seorang ustazah yang amat dikaguminya.
Bagi beliau, Allahyarhamha Ustazah Zaleha Maksum bukan sekadar guru kelas Al-Quran Braille di Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD), bahkan figura ibu yang sentiasa berkongsi pengajaran hidup.
Namun, selepas pemergian arwah dalam satu kemalangan pada 2024, Ustazah Qurratu’ain bertekad untuk meneruskan kelas mingguan tersebut agar pelajar kurang daya penglihatan tidak kehilangan peluang mempelajari Al-Quran.
“Saya rasa seolah-olah ini adalah satu panggilan,” jelas Ustazah Qurratu’ain, 27 tahun, seorang kakitangan pentadbiran BYSD.
“Saya memang seorang kakitangan BYSD, tetapi saya juga seorang ustazah jadi saya menganggapnya sebagai satu amanah yang perlu dilaksanakan.”
Kini, beliau salah seorang daripada dua ustazah di BYSD yang berkemahiran untuk mengajar Al-Quran Braille kepada golongan kurang daya penglihatan.
Seorang lagi ialah kakaknya, Ustazah Siti Nur Izzati Mohamad Noh, yang merupakan sukarelawan BYSD.
“Tidak ramai asatizah di Singapura yang tahu cara untuk mengajar Al-Quran menggunakan Braille.
“Itulah yang mendorong saya untuk menyumbang masa demi mengajar golongan yang kurang penglihatan,” terang Ustazah Izzati, 32 tahun.
Sebelum menggalas tanggungjawab tersebut, pasangan adik-beradik itu menjalani latihan secara dalam talian pada 2023 selama hampir setahun dengan Ustaz Mohammad Haafiz Aminuddin Mohd Azmi, seorang pakar Al-Quran Braille dari Malaysia.
Ustaz Haafiz, seorang pensyarah di Jabatan Quran dan Sunnah di Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (Uniqsaas), mempunyai 10 tahun pengalaman dalam bidang Al-Quran Braille.
Pada 6 Jun, Ustaz Haafiz dijemput BYSD untuk mengendali bengkel khas untuk asatizah di Masjid Kassim.
Bengkel itu memperkenalkan asas pembacaan dan pengajaran Al-Quran Braille kepada sekitar 40 asatizah, dengan harapan sebahagian daripada mereka akan tampil mengajar golongan kurang daya penglihatan pada masa hadapan.
Bagi Ustazah Izzati dan Ustazah Qurratu’ain, proses pembelajaran itu bukan sekadar memahami cara membaca, malah mereka perlu menghafal susunan titik Braille dan mengulang kaji secara tekal.
“Kami perlu ingat setiap susunan titik untuk setiap huruf. Kalau tak ulang kaji, memang mudah lupa,” kata Ustazah Izzati.
Walaupun kedua-duanya sudah biasa mengajar Al-Quran kepada pelajar celik, mereka berkata pengalaman mengajar golongan kurang daya penglihatan memerlukan pendekatan berbeza.
Sebelum ini, mereka banyak menggunakan isyarat tangan dan tunjuk ajar visual, tetapi kini hampir setiap perkara perlu diterangkan melalui sentuhan jari dan penerangan lisan.
Menurut mereka, antara cabaran paling besar adalah memahami bagaimana pelajar mereka memahami bentuk dan huruf tanpa penglihatan.
“Kami berdua boleh melihat, tetapi pelajar kami belajar melalui sentuhan.
“Kadang-kadang saya cuba membaca Braille sambil menutup mata di rumah untuk rasa bagaimana mereka belajar,” ujar Ustazah Qurratu’ain.
Daripada mengajar secara berkumpulan, kedua-dua beradik itu memilih untuk mendekati pelajar satu persatu kerana setiap pelajar mempunyai tahap pemahaman dan cara pembelajaran yang berbeza.
Ustazah Izzati dan Ustazah Qurratu’ain kini mengajar Al-Quran Braille kepada sekitar 15 pelajar setiap Ahad pagi di Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris.
Selain kelas Al-Quran, pelajar turut mengikuti kelas fardu ain, makan bersama dan meluangkan masa dengan rakan-rakan.
Menurut Ustazah Qurratu’ain, permintaan untuk kelas Al-Quran Braille kendalian BYSD telah meningkat kira-kira 30 peratus sejak 2023.
“Kami terpaksa menolak pelajar baharu kerana kami berdua tidak mempunyai masa.
“Kami memang perlukan lebih ramai asatizah, terutamanya ustaz.
“Permintaan untuk kelas memang ada, tetapi jumlah asatizah yang boleh mengajar Al-Quran Braille terhad,” kongsinya.
Beliau menambah bahawa keperluan itu menjadi lebih mendesak kerana terdapat juga pelajar lelaki yang memerlukan pendekatan pengajaran berbeza.
Oleh kerana tidak boleh menyentuh jari pelajar lelaki, Ustazah Izzati dan Ustazah Qurratu’ain menggunakan pena sebagai alat panduan bagi menggerakkan jari mereka semasa pembelajaran Al-Quran Braille.
Bagi mereka, segala penat lelah terbayar setiap kali melihat pelajar yang dahulunya tidak mempunyai kemahiran asas akhirnya mampu membaca sendiri.
“Ada pelajar yang datang tanpa asas langsung. Tetapi apabila nampak mereka perlahan-lahan boleh membaca, kami rasa seperti semua usaha kami tidak sia-sia,” kata Ustazah Qurratu’ain.
