Topik diikuti
Pergi ke BHkuAl-Quran Braille ibarat cahaya bagi pasangan kurang daya penglihatan
Al-Quran Braille ibarat cahaya bagi pasangan kurang daya penglihatan
Sertai kelas Al-Quran Braille pada 2021, kini mahir dan lebih yakin tanpa bergantung pada orang lain
Al-Quran Braille ibarat cahaya bagi pasangan kurang daya penglihatan
Jari jemari Cik Nuraziana Mohamed Said dan Encik Mohammad Iskandar Misran bergerak perlahan, menyentuh satu titik timbul demi satu titik timbul pada halaman Al-Quran di hadapan mereka.
Halaman itu, yang merupakan kertas putih polos, tidak mempunyai dakwat atau huruf yang dapat dilihat mata, hanya tanda braille yang dirasai melalui sentuhan jari.
Digelar Al-Quran Braille, demikian cara kitab suci dibaca pasangan suami isteri tersebut yang masing-masing hidup dengan masalah penglihatan sejak kecil lagi.
Cik Nuraziana, 42 tahun, disahkan menghidap glaukoma ketika berusia sembilan tahun yang mengecilkan ruang penglihatannya kepada kurang lima peratus.
Encik Iskandar, 46 tahun, pula menghidap retinitis pigmentosa sejak berusia 10 tahun, yang menyebabkan sel di matanya semakin rosak.
Sebelum mengenali Al-Quran Braille, mereka mendengar dan menghafal bacaan surah melalui pita kaset, rancangan televisyen dan saluran radio.
Namun, mereka tidak benar-benar tahu bagaimana sesuatu ayat dibaca kerana mereka hanya bergantung kepada apa yang didengar.
“Sebutan, makhraj dan tajwid huruf… ini semua kami kurang pasti kerana suara orang berbeza.
“Oleh itu, kami banyak meneka bagaimana sesuatu ayat sepatutnya bunyi.
“Kita ambil surah Al-Fatihah sebagai contoh, (ayat) ihdinas siratal mustaqim... (kalimah) mustaqim itu kami tak tahu sama ada ia berakhir dengan huruf nun atau mim,” jelas Cik Nuraziana.
Keraguan itu berkurang apabila mereka menyertai kelas Al-Quran Braille anjuran Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD) pada 2021.
Di bawah bimbingan Ustazah Siti Nur Qurratu’ain Mohamad Noh dan Ustazah Siti Nur Izzati Mohamad Noh, mereka mula belajar mengenal huruf, mengeja, memahami hukum tajwid dan menguasai makhraj secara sistematik.
Buat kali pertama juga, mereka tidak lagi perlu meneka bagaimana sesuatu ayat itu berbunyi kerana sudah mempunyai kemahiran membacanya sendiri.
“Perubahan paling besar bukan pada kemahiran membaca semata-mata, tetapi pada keyakinan dan rasa berdikari apabila tidak lagi perlu bergantung kepada orang lain untuk membaca Al-Quran,” ujar Cik Nuraziana.
Encik Iskandar menambah bahawa tahap berdikari itu memberinya keyakinan yang sebelum ini beliau tidak pernah merasai.
Baginya, salah satu detik yang paling membanggakan adalah apabila beliau dapat mengimamkan solat di rumah dengan lebih yakin.
“Bila kawan datang rumah dan saya jadi imam, saya rasa lebih yakin sebab dah tahu bacaan yang betul.
“Selain itu, saya juga gembira kerana dapat mengetuai solat tanpa rasa ragu-ragu di rumah,” kongsi Encik Iskandar.
Dengan harapan lebih ramai golongan kurang daya penglihatan dapat mempelajari Al-Quran Braille, BYSD menganjurkan bengkel khas untuk asatizah di Masjid Kassim pada 6 Jun.
Bengkel yang dihadiri sekitar 40 asatizah tempatan itu bertujuan memperkenalkan asas pembacaan dan pengajaran Al-Quran Braille, dengan harapan sebahagian daripada mereka akan tampil mengajar golongan kurang daya penglihatan pada masa hadapan.
Keyakinan membaca kitab suci turut membuka peluang lebih besar untuk Cik Nuraziana apabila beliau mewakili BYSD dalam Pertandingan Majlis Tilawah Al-Quran Braille di Kuala Lumpur.
Pertandingan itu dianjurkan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) dan berlangsung dari 4 hingga 7 Disember 2025.
Cik Nuraziana, yang menyertai pertandingan seumpama itu buat kali pertama, berjaya meraih gelaran naib johan bagi Kategori Murottal (Wanita).
Menurutnya, sepanjang perjalanan pembelajaran Al-Quran, beliau dan Encik Iskandar sentiasa berkongsi pengetahuan baharu dan saling bertanya apabila terlupa susunan titik Braille atau cara sebutan yang betul.
Malah, mereka turut saling mengingatkan untuk terus berlatih membaca sebelum menghadiri kelas.
Cik Nuraziana menambah bahawa perkongsian pengetahuan itu membuat hubungan mereka sebagai suami isteri “lebih mesra”, kerana mempunyai peluang untuk berbincang sesuatu selain daripada perkara harian atau pekerjaan.
Bagi Encik Iskandar, yang gemar membaca Surah An-Nas, mengenali Al-Quran Braille umpama menemui “cahaya di hujung terowong”.
“Saya bersyukur kerana diberi peluang membaca Al-Quran seperti orang lain,” katanya.
Cik Nuraziana pula, yang suka membaca Surah Yasin, menggambarkan hubungannya dengan Al-Quran Braille sebagai sesuatu yang amat peribadi.
“Surah Yasin adalah penawar, penenang hati dan pelindung buat saya.
“Saya rasa tiada nikmat yang lebih besar daripada diberi peluang untuk menyebut dan melafazkan kalimah Allah,” luah beliau.
“
Perubahan paling besar bukan pada kemahiran membaca semata-mata, tetapi pada keyakinan dan rasa berdikari apabila tidak lagi perlu bergantung kepada orang lain untuk membaca Al-Quran.“
Bila kawan datang rumah dan saya jadi imam, saya rasa lebih yakin sebab dah tahu bacaan yang betul. Selain itu, saya juga gembira kerana dapat mengetuai solat tanpa rasa ragu-ragu di rumah.