Setiap dua minggu, sekitar 120 anggota Kumpulan Orang Cacat Muslim Singapura (KCMS) berkumpul bagi mengikuti kelas Iqra’ dan Fardu Ain yang diadakan pada petang Sabtu di Masjid Sallim Mattar yang terletak di Mattar Road.

Bagi sebahagian daripada mereka yang mengalami ketidakupayaan fizikal, intelektual, Sindrom Down dan masalah penglihatan, kelas itu menjadi antara peluang yang ada untuk mendalami ilmu agama.

Namun, penganjur akur menghadapi cabaran memastikan kelas itu dapat diteruskan.

Menurut Bendahari KCMS, Encik Yacob Mokti, antara cabaran terbesar yang dihadapi adalah mendapatkan tenaga pengajar yang sanggup dan mampu mengendalikan pelajar yang mempunyai pelbagai keperluan pembelajaran.

“Tidak ramai ustaz dan ustazah yang dilatih untuk mengendalikan golongan ini,” katanya.

Beliau berkata sejak kelas tersebut dimulakan pada 1997, seramai lapan ustaz dan ustazah telah silih berganti mengajar kerana cabaran mengendalikan pelajar yang memerlukan pendekatan berbeza.

“Siapa yang mengajar perlu mempunyai kesabaran yang sangat tinggi. Setiap pelajar mempunyai keperluan berbeza dan pendekatan yang digunakan juga tidak sama seperti kelas agama biasa,” ujarnya.

Namun, Encik Yacob mengakui KCMS tidak dapat memenuhi keperluan semua individu kurang upaya yang ingin mengikuti pembelajaran agama.

“Kami biasanya mengambil mereka yang boleh membaca dan berkomunikasi dengan lebih mudah supaya proses pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih berkesan,” kongsi beliau.

KURANG TENAGA PENGAJAR

Menurut Encik Yacob, kekurangan tenaga pengajar yang mempunyai kemahiran khusus bukan sahaja dirasai oleh KCMS, malah menjadi cabaran lebih luas dalam usaha memperluaskan pendidikan Islam terangkum.

“Pada pendapat saya, tidak semua masjid bersedia untuk mengendalikan golongan kurang upaya kerana keperluan mereka yang berbeza.

“Apa yang penting adalah sikap terbuka dan kesabaran. Jika lebih ramai sanggup belajar dan memahami keperluan mereka, lebih banyak ruang boleh diwujudkan,” jelasnya.

Menyedari keperluan yang semakin meningkat itu, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) kini memperkukuh usaha untuk membangunkan ekosistem pendidikan Islam yang lebih terangkum.

Ketua Pegawai Eksekutif Pergas, Ustazah Nurdiana Hanim Abdul Rahman, berkata pendidikan agama yang boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat bukan sekadar keperluan sosial tetapi hak setiap Muslim.

“Pergas melihat pendidikan agama yang terangkum bukan sahaja sebagai satu keperluan struktur masyarakat, bahkan hak rohani setiap Muslim.

“Kami percaya tiada sesiapa yang sepatutnya terhalang daripada perkembangan rohani mereka hanya kerana halangan fizikal, sensori atau perkembangan diri,” tegasnya.

Ustazah Nurdiana menambah bahawa perkara itu turut dibincangkan secara mendalam semasa Muktamar Pergas 2025, yang menghimpunkan penjaga, aktivis golongan kurang upaya, asatizah dan pemimpin masyarakat.

“Hasil perbincangan tersebut menunjukkan terdapat keperluan agama dan kerohanian dalam kalangan golongan kurang upaya yang masih belum dipenuhi sepenuhnya.

“Penjaga dan aktivis semakin menyuarakan keperluan terhadap pelan pembelajaran yang khusus, kaunseling agama dan laluan pembelajaran yang disesuaikan mengikut kemampuan individu,” katanya.

TINGKAT LATIHAN DALAM KALANGAN ASATIZAH

Menurut Ustazah Nurdiana, antara langkah penting yang perlu diberikan perhatian adalah meningkatkan latihan dan kemahiran dalam kalangan asatizah.

“Untuk membina ekosistem yang terangkum, para pendidik perlu mempunyai peralatan dan kemahiran yang sesuai.

“Ini termasuk latihan dalam Al-Quran Braille, bahasa isyarat, teknologi bantuan dan kaedah pengajaran yang disesuaikan untuk pelajar berkeperluan khas,” terangnya.

Selain kemahiran teknikal, Ustazah Nurdiana turut menekankan kepentingan aspek empati dan komunikasi.

“Kami mahu para asatizah mempunyai keyakinan untuk berinteraksi dengan golongan kurang upaya secara hormat dan penuh empati.

“Ini dapat membantu mengurangkan stigma serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan bebas daripada pertimbangan negatif,” katanya.

Tambahnya, Pergas juga merancang untuk memanfaatkan rangkaian asatizah yang luas menerusi kerjasama dengan pertubuhan keperluan khas, lawatan pembelajaran dan usaha advokasi bagi memperkukuh budaya terangkum dalam masyarakat.

PROGRAM KHAS DI PERINGKAT MASJID

Di peringkat masjid pula, usaha tersebut dilihat menerusi program seperti Madrasah Anak Istimewa (Madanis) di Masjid Al-Istighfar yang terletak di Pasir Ris.

Ditubuhkan pada Julai 2003, program yang dijalankan seminggu sekali itu diwujudkan bagi menyediakan ruang pembelajaran agama untuk kanak-kanak dan belia yang mempunyai perbezaan pembelajaran.

Menurut Pengurus Masjid Al-Istighfar, Ustazah Latifah Yusoff, pihaknya turut melihat peningkatan permintaan terhadap pendidikan Islam terangkum dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Salah satu sebabnya adalah kesedaran dan pemahaman mengenai perbezaan pembelajaran kini semakin meningkat.

“Lebih ramai ibu bapa mencari peluang pembelajaran agama yang sesuai dengan keperluan dan kemampuan anak-anak mereka,” kongsinya.

Setakat ini, program Madanis mempunyai 33 pelajar yang terdiri daripada individu yang mempunyai gangguan spektrum autisme (ASD), gangguan hiperaktif kurang tumpuan (ADHD), Sindrom Down, ketidakupayaan intelektual, serta pelbagai ketidakupayaan lain.

“Pada masa ini, ruang kelas dan kapasiti pengajaran kami hanya mampu menampung 33 pelajar.

“Kami juga mempunyai 10 individu dalam senarai menunggu, yang menunjukkan permintaan terhadap program ini masih berterusan,” jelas Ustazah Latifah.

“Objektif Madanis adalah untuk menyediakan persekitaran selamat, menyokong dan terangkum, di mana pelajar boleh mempelajari asas pengetahuan Islam, mengamalkan ibadah, serta membina rasa kebersamaan dalam masyarakat Islam.

“Kami percaya setiap kanak-kanak berhak mempelajari agama dan mengukuhkan hubungan mereka dengan Allah tanpa mengira kebolehan mereka.”

Menurut Ustazah Latifah, guru menggunakan pendekatan yang berbeza mengikut keperluan individu bagi memastikan setiap pelajar dapat mengikuti pembelajaran dengan berkesan.

Ini termasuk menggunakan bahan visual, kegiatan praktikal, penceritaan, nyanyian dan kaedah pembelajaran interaktif untuk menyampaikan pembelajaran.

Tambah Ustazah Latifah, antara cabaran utama adalah menerangkan konsep agama yang abstrak kepada pelajar dengan tahap pemahaman berbeza.

“Pelajar mempunyai tahap pemahaman, kemahiran komunikasi, tumpuan dan keperluan sensori yang berbeza.

“Satu lagi cabaran adalah bagaimana untuk menjelaskan konsep agama yang kadangkala abstrak supaya lebih mudah difahami dan dikaitkan dengan kehidupan harian mereka,” katanya.

Walaupun begitu, beliau berkata hasil dilihat sepanjang dua dekad program itu dijalankan memberi kepuasan kepada para pendidik.

“Kami melihat pelajar yang pada awalnya pemalu atau enggan mengambil bahagian akhirnya menjadi lebih yakin untuk membaca surah pendek, menunaikan solat dan berinteraksi dengan rakan serta guru mereka.

“Bagi ramai ibu bapa, melihat anak mereka memahami Islam dan berasa selesa berada di persekitaran masjid adalah sesuatu yang amat menggalakkan dan melegakan,” tambah Ustazah Latifah.

Selain program pendidikan khas, Masjid Al-Istighfar juga berusaha memastikan kemudahan masjid lebih mudah diakses oleh golongan kurang upaya dengan adanya kemudahan seperti tanjakan, lif dan kemudahan mesra kerusi roda.

Usaha yang sama turut dilaksanakan di Masjid Haji Yusoff di Serangoon menerusi program SYAMS Madrasah, yang diperkenalkan selepas beberapa siri perbincangan bersama kakitangan masjid, anggota lembaga pentadbir dan sukarelawan daripada pelbagai bidang, termasuk pendidikan keperluan khas.

Menurut Pegawai Pemasaran dan Pendidikan Masjid Haji Yusoff, Ustaz Nashruddeen Khalis Mohamed Nizam, program yang bermula sebagai projek perintis pada 2014 itu diwujudkan bagi mengisi jurang pembelajaran agama yang lebih tersusun untuk kanak-kanak dan belia dengan perbezaan pembelajaran.

“Permintaan terhadap pendidikan Islam terangkum semakin meningkat kerana kesedaran ibu bapa juga semakin tinggi, selain bilangan institusi yang menawarkan program sedemikian masih terhad.

“Ada ibu bapa yang sedar anak mereka memerlukan persekitaran pembelajaran yang lebih disesuaikan berbanding kelas biasa,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan pelajar terdiri daripada individu dalam spektrum autisme dan pembelajaran disesuaikan mengikut keupayaan setiap pelajar menerusi penggunaan bahan visual, kegiatan interaktif dan kandungan yang dipermudahkan.

Usaha memperluaskan pendidikan agama terangkum turut meliputi golongan pekak dan kurang pendengaran.

Di Masjid Kampung Siglap yang terletak di Marine Parade, kelas Al-Quran menggunakan bahasa isyarat diperkenalkan buat julung-julung kalinya dari penghujung Ogos hingga awal September 2025.

Menurut Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Kampung Siglap, Encik Azman Mohd Ariffin, kelas tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan apabila disertai 15 individu pekak serta tiga pengasuh mereka.

Beliau berkata pembelajaran Al-Quran menggunakan bahasa isyarat masih jarang ditawarkan di Singapura dan Masjid Kampung Siglap merancang menganjurkan lebih banyak sesi kelas Al-Quran Bahasa Isyarat pada masa hadapan.

Kelas tersebut dikendalikan Ustazah Suhaila Sulaiman, antara segelintir asatizah di Singapura yang mempunyai pensijilan Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) Peringkat 1, serta berpengalaman mengajar Al-Quran menggunakan Isyarat Kod Tangan Quran kepada golongan kurang pendengaran.

KEPERLUAN KEMAHIRAN KHUSUS

Keperluan terhadap lebih ramai tenaga pengajar yang mempunyai kemahiran khusus turut mendorong beberapa tampil menyumbang.

Antaranya ialah dua beradik, Ustazah Siti Nur Izzati Mohamad Noh dan adiknya, Ustazah Siti Nur Qurratu’ain Mohamad Noh, yang kini mengendalikan kelas Al-Quran Braille di Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD).

Bagi Ustazah Qurratu’ain, beliau tidak pernah menyangka suatu hari nanti akan mengambil alih peranan Allahyarhamha Ustazah Zaleha Maksum, yang sebelum ini mengendalikan kelas tersebut.

Selepas pemergian Allahyarhamha pada 2024, beliau bertekad meneruskan kelas mingguan itu agar pelajar kurang daya penglihatan tidak kehilangan peluang mempelajari Al-Quran.

Sementara itu, Ustazah Izzati berkata kekurangan asatizah yang mampu mengajar Al-Quran Braille menjadi antara faktor utama beliau terus berkhidmat sebagai sukarelawan.

“Tidak ramai asatizah di Singapura yang tahu bagaimana untuk mengajar Al-Quran menerusi Braille.

“Itulah yang mendorong saya untuk menyumbang masa demi mengajar golongan yang kurang penglihatan,” katanya.

Menurut beliau, proses mempelajari sistem Braille bukan sesuatu yang mudah kerana setiap huruf perlu dikenal pasti melalui susunan titik tertentu.

“Kami perlu ingat setiap susunan titik untuk setiap huruf. Kalau tidak ulang kaji, memang mudah lupa,” katanya.

Di samping itu, BYSD menganjurkan bengkel Al-Quran Braille untuk sekitar 40 asatizah tempatan di Masjid Kassim pada 6 Jun sebagai usaha menangani kekurangan tenaga pengajar.

Bengkel itu bertujuan melengkapkan peserta dengan kemahiran asas membaca dan mengajar Al-Quran Braille supaya lebih ramai golongan kurang daya penglihatan berpotensi mengikuti pembelajaran tersebut pada masa hadapan.