Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kelab Masyarakat Marsiling baru dibina di bekas tapak terminal bas

Ia bakal jadi hab kebudayaan dan kemasyarakatan apabila siap pada 2026
Sep 1, 2024 | 6:59 PM
Kelab Masyarakat Marsiling akan dipindahkan dari Admiralty Road ke Marsiling Lane berhampiran Pasar dan Pusat Penjaja Marsiling Lane.
Kelab Masyarakat Marsiling akan dipindahkan dari Admiralty Road ke Marsiling Lane berhampiran Pasar dan Pusat Penjaja Marsiling Lane. - Foto PA

Sebuah Kelab Masyarakat (CC) empat tingkat lengkap dengan kemudahan moden dan ciri mesra pengguna kurang upaya akan dibina di bekas tapak Terminal Bas Marsiling bagi menggantikan Marsiling CC sedia ada di Admiralty Road.

Terletak berhampiran Pasar dan Pusat Penjaja Marsiling Lane, Marsiling CC baru itu yang bakal menjadi sebuah hab kebudayaan dan kemasyarakatan, dijangka selesai pada suku keempat 2026.

Ia bermatlamat menjadi Hab Seni Persembahan kawasan utara Singapura dan, antara lain, akan dilengkapi dengan auditorium canggih bagi membina bakat seni tempatan.

Berucap semasa majlis pecah tanah pada 1 September, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia) Encik Zaqy Mohamad menyifatkan rancangan itu bukan sekadar membina sebuah bangunan baru tetapi sebagai membina masa depan yang cerah dan inklusif bagi kejiranan Marsiling.

Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, memberi ucapan pada majlis pecah tanah pada 1 September 2024.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, memberi ucapan pada majlis pecah tanah pada 1 September 2024. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA 

Beliau turut meluahkan penghargaannya kepada peranan penting dimainkan Marsiling CC yang sedia ada di 100 Admiralty Road, berhampiran pusat bandar Woodlands lama.

Namun beliau juga menyatakan peranan itu semakin pudar sejak pusat bandar itu dikosongkan sedekad lalu untuk memberi laluan kepada kerja-kerja meluaskan Pusat Pemeriksaan Woodlands.

“Marsiling telah menerima banyak sokongan daripada masyarakat, rakan-rakan kepentingan kami serta ramai relawan yang telah menyumbang kepada sejarah Marsiling selama lebih 40 tahun lalu,” kata Encik Zaqy.

Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (empat dari kiri) pada majlis pecah tanah pembinaan Marsiling CC di Marsiling Lane pada 1 September 2024. 
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (empat dari kiri) pada majlis pecah tanah pembinaan Marsiling CC di Marsiling Lane pada 1 September 2024.  - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA

“Apabila hab bandar Woodlands lama dikosongkan sejak sekitar sedekad lalu, kepentingan Marsiling CC lama juga semakin pudar.

Encik Zaqy berkata adalah lebih wajar dari segi lokasi dan lebih jimat penggunaan dana rakyat, untuk membina semula kelab masyarakat itu daripada dinaik taraf di lokasi baru itu kerana ia lebih sibuk dengan adanya sebuah pasar dan pusat penjaja serta projek rumah Bina Ikut Tempahan (BTO) yang dibangunkan dekat kawasan tersebut.

“Kami mahu memberi nafas baru dan merancakkan semula nadi Marsiling seperti sinergi yang wujud dahulu,” ujar Encik Zaqy lagi.

Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, kelihatan meninjau pameran sejarah Marsiling di majlis pecah tanah pembinaan Marsiling CC di Marsiling Lane pada 1 September 2024.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, kelihatan meninjau pameran sejarah Marsiling di majlis pecah tanah pembinaan Marsiling CC di Marsiling Lane pada 1 September 2024. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA

Marsiling CC, sebelum ini merupakan sebuah balai rakyat dibina pada 1962 yang menawarkan khidmat veterinar dan pertanian serta kegiatan kemasyarakatan dan rekreasi bagi penduduk.

Ia kemudian menjalani kerja naik taraf dan dibuka semula pada 1980.

Pusat Bandar Woodlands Town yang lama telah dikosongkan sejak 2017 bagi kerja memperluas Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Salah satu badan kebudayaan terkemuka di sini, Orkestra Cina Marsiling merupakan antara golongan yang bakal menerima manfaat daripada kemudahan baru Marsiling CC.

Kemudahan lain yang boleh dijangkakan termasuk sebuah dapur bagi kegiatan memasak bagi penduduk, sebuah pasar raya, pelbagai cawangan makanan dan minuman, sebuah gimnasium dan dewan serba guna yang boleh diguna bagi pelbagai aktiviti daripada badminton kepada sepak takraw.

Sebagai sebahagian usaha mencapai kemampanan, bangunan baru itu akan mempunyai sebuah taman atas bumbung dilengkapi panel mata suria.

Sementara itu, pihak akar umbi Marsiling akan mengundang warga tempatan untuk menyumbang memento kepada sebuah kapsul masa yang akan dipamerkan antara 1 September 2024 hingga 31 Disember 2025 bagi memperingati sejarah Marsiling.

Penduduk lama Encik Abdullah Ali, 75 tahun berkata beliau mengalu-alukan usaha pembinaan CC baru itu, tetapi merenung kembali nostalgia di terminal bas lama di tapak itu.

Pesara Encik Abdullah Ali, seorang penduduk Marsiling sejak lewat 1970-an.
Pesara Encik Abdullah Ali, seorang penduduk Marsiling sejak lewat 1970-an. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA

“Dulu anak-anak saya semua membesar di sini dan ia sebuah kemudahan penting bagi penduduk di sini,” kata pesara itu yang turut menyumbang sekeping gambar terminal bas itu diambil dengan kamera filem pada zaman mudanya, kepada pihak Persatuan Rakyat (PA) bagi memperingati sejarah tapak itu.

“Kawasan di sini (Marsiling Lane) lebih sibuk dengan ramai penduduk sebab ia dekat dengan pasar dan pusat penjaja, jadi lebih baik CC itu dipindahkan ke sini.

“Jadi lebih ramai orang akan dapat nikmati sajian dan khidmatnya berbanding yang sedia ada,” katanya yang pernah menjadi Pengerusi Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Marsiling CC pada tahun 1980-an.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg