Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kelas agama hujung minggu bina generasi muda yang berbakti

Program aLIVE tempat remaja bina keperibadian Muslim berilmu
Nov 14, 2025 | 5:30 AM
aLIVE, MUIS, madrasah hujung minggu
Suasana pembelajaran interaktif di kelas aLIVE yang diadakan di masjid-masjid Singapura bertujuan membina generasi muda yang berilmu dan berakhlak mulia. - Foto MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA (MUIS)

Bagi sesetengah pelajar, hujung minggu membawa makna berbeza.

Bukan masa berehat atau bermain semata-mata, tetapi peluang menuntut ilmu agama menerusi program madrasah aLIVE, yang diadakan di masjid-masjid serata Singapura.

Di sinilah tempat remaja membina keperibadian Muslim berilmu dan memupuk semangat berbakti kepada masyarakat ketika muda.

KONGSI BACAAN AL-QURAN DI YOUTUBE

Salah seorang pelajar aLIVE, Mohammad Ibrahim Abdullah, 18 tahun, membuktikan bahawa pembelajaran agama boleh mendatangkan inspirasi lebih luas.

Pelajar valediktorian daripada Masjid Darul Ghufran itu cemerlang dalam kursus aLIVE dan menyalurkan ilmunya ke platform digital.

Di luar kelas, Ibrahim menubuhkan DivineRevelationsProductions, sebuah saluran YouTube, di mana beliau berkongsi bacaan Al-Quran sebagai memberi inspirasi kepada orang lain, dan memperbaiki bacaannya sendiri.

Saluran beliau kini menarik lebih 13,000 pengikut, kebanyakannya merupakan golongan belia yang ingin mendalami bacaan Al-Quran.

PELAJAR TERBAIK DAN RELAWAN AKTIF

Bagi Aiman Muhammad, 18 tahun, pula, pengalaman pendidikan di madrasah selama 13 tahun telah menyemarakkan semangat berbakti kepada masyarakat sebagai seorang relawan.

Selain aktif menyokong acara Ramadan di masjid tersebut dan pengagihan makanan melalui usaha #ProjekKasiMakan, Aiman menyertai inisiatif seperti kutipan dana bagi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) dan Larian Reben Kuning.

Di samping itu, Valediktorian daripada Masjid Assyafaah itu juga mempromosikan amalan gaya hidup sihat kepada warga emas serta golongan berkeperluan khas.

“Saya berharap dapat terus meraih pengetahuan Islam melalui program berstruktur seperti ADIL, sambil berpeluang berkhidmat kepada masyarakat,” kata Aiman, yang meraih Anugerah Pelajar Terbaik selama dua tahun berturut-turut pada 2024 dan 2025.

SURI TELADAN KEPADA RAKAN

Dedikasi tinggi juga ditunjukkan oleh pelajar Youth aLIVE 2 di Masjid Alkaff Kampung Melayu, Nur Amalina Osman, 18 tahun.

Beliau yang bakal menamatkan pengajian tahun ini, dikenali sebagai rajin, sentiasa hadir awal dan bersikap positif.

Selain aktif dalam kelas, beliau turut memberikan sumbangan bermakna sebagai relawan dengan membantu asatizah dalam acara seperti Kids aLIVE 1 – Hari Sukan.

Pada 30 Ogos lalu, beliau melibatkan diri bersama individu kurang upaya dalam program aLIVE Service Learning, bersama pelajar-pelajar Youth aLIVE 2 dari seluruh Singapura.

Tidak terhad kepada program aLIVE, Amalina turut mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan kemanusiaan bersama rakan-rakan sekelas, termasuk pengurusan bantuan ke Gaza.

Dengan dedikasinya, Amalina terus menjadi sumber inspirasi kepada generasi sebayanya.

AUTISME BUKAN PENGHALANG

Walaupun menghidap autisme, Chairil Luqman Muhammed Yusni, 19 tahun, menunjukkan prestasi luar biasa dalam pembelajaran agama.

Beliau yang menamatkan pembelajaran aLIVE di Masjid Al-Iman, menonjol kerana kecemerlangan akademik serta komitmen terhadap pembangunan diri dan khidmat masyarakat.

Pengetahuan luas Chairil Luqman menerusi pembacaan telah membolehkannya berkongsi pandangan bernas dan memperkayakan pembelajaran rakan-rakannya dalam kelas aLIVE.

“Saya bercita-cita menghasilkan artikel-artikel pendidikan untuk memberi inspirasi kepada orang lain dengan ilmu yang diperolehi.

“Sokongan program aLIVE dan keluarga telah membantu saya mengatasi kesukaran sosial serta memupuk empati dan pemahaman terhadap individu lain, yang mengalami cabaran serupa,” ujar Chairil Luqman.

Kisah Ibrahim, Aiman, Amalina dan Chairil Luqman membuktikan kejayaan program aLIVE.

Mulakan perjalanan pembelajaran Islam anak anda hari ini bersama aLIVE – program yang membina pelajar berilmu, berakhlak mulia, dan berpotensi menjadi inspirasi masyarakat.

SEKILAS

Dapatkan maklumat lengkap tentang aLIVE di https://learnislam.sg/about-alive/

Pendaftaran bagi 2026 sudah pun dibuka. Daftar dan ketahui lebih lanjut di http://learnislam.sg/

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg