Meskipun sudah memiliki perniagaan yang berjaya menjual teh tarik, pemilik Tarik, Sheikh Ali Redha, ingin menawarkan konsep makanan yang baru kepada pengunjung bazar Gemilang Kampung Gelam 2025.
Menyediakan pasta menggunakan roda keju, Sheikh Ali berkata beliau tertarik dengan konsep itu ketika menghadiri satu pesta makanan, Dubai Global Village di Dubai pada awal 2025.
Memandangkan hidangan itu biasanya hanya boleh didapati di restoran mewah, beliau ingin membawa konsep tersebut ke bazar ramadan Kampung Gelam dengan versi lebih berpatutan untuk orang ramai.
“Saya berjalan-jalan di sana dan ternampak sebuah kedai unik menjual pasta. Tetapi bukan pasta biasa, mereka menggunakan roda keju yang besar.
“Saya terus terfikir, ini sesuatu yang menarik dan boleh dibawa ke Singapura,” jelas Sheikh Ali dalam temu bual dengan Berita Harian (BH).
Pasta roda keju itu unik kerana ia tidak hanya menaburkan keju di atas pasta, bahkan pasta itu sendiri dimasukkan ke dalam roda keju yang cair akibat haba.
Proses itu memastikan pasta tersebut diselaputi keju sepenuhnya, sekali gus memberikan rasa yang lebih berkrim. Namun, proses menyediakannya bukan mudah.
“Jika terlalu banyak pasta dalam roda keju, rasanya boleh menjadi terlalu muak. Jadi, teknik mencampur pasta dengan keju juga perlu betul,” tambah Sheikh Ali, yang berasa sudah tiba masa beliau keluar dari zon selesanya dan mencuba sesuatu yang baru.
Gerai nombor K31 di bazar itu diberi nama Gohed Gostan, yang sebenarnya didorong oleh impian Sheikh Ali menyajikan masakan Barat dan pasta serta sebagai mengenang jatuh bangunnya dalam perniagaan makanan.
Mengenai persiapan memulakan gerai itu, Sheikh Ali berkata: “Saya membayar wang pendahuluan dahulu sebelum memikirkan apa yang ingin dijual. Oleh sebab itu, kami hanya dapat menyediakan tiga perisa sebagai permulaan.”
Tiga perisa yang ditawarkan itu adalah ‘Creamy Steak Carbonara’, ‘Tandoori Chicken Pasta’, dan ‘Seafood Arrabiata’.
‘Creamy Steak Carbonara’ kelihatan menjadi pilihan utama pelanggan, manakala ‘Tandoori Chicken Pasta’ menampilkan rasa tempatan yang lebih dekat dengan selera masyarakat Singapura.
‘Seafood Arrabiata’ pula merupakan pasta makanan laut yang menggunakan udang harimau dan kepah bunga.
Melihat sambutan yang menggalakkan, Sheikh Ali merancang untuk memperkenalkan dua lagi perisa baru apabila Ramadan bermula, iaitu pasta Tom Yam dan pasta menggunakan safron.
“Matlamat utama saya adalah untuk memberi peluang kepada semua orang di Singapura merasai sendiri pengalaman menikmati pasta berkeju ini dalam suasana bazar,” katanya dengan penuh semangat.
Setakat ini, gerainya mendapat sambutan yang luar biasa, terutama selepas solat maghrib apabila orang ramai mula memenuhi kawasan bazar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg