Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga bergaji kecil bimbang kos sara hidup terus menekan

Sep 29, 2023 | 8:28 PM
AMALKAN PENJIMATAN: Cik T Mazlina Maridan dan Encik Mohamed Shamsul Ridzuan yang berbelanja di Pusat Beli Belah Fajar pada Khamis (29 Sep) mengamalkan sikap jimat cermat demi mengawal perbelanjaan mereka.
AMALKAN PENJIMATAN: Cik T Mazlina Maridan dan Encik Mohamed Shamsul Ridzuan yang berbelanja di Pusat Beli Belah Fajar pada Khamis (29 Sep) mengamalkan sikap jimat cermat demi mengawal perbelanjaan mereka. - Foto BH oleh KHALID BABA

Tiga tahun lalu, Encik Mohamed Shamsul Ridzuan, 52 tahun, yang merupakan pencari nafkah utama keluarganya, mampu menyimpan kira-kira $200 sebulan.

Kini, beliau hanya dapat menyimpan $10 sahaja setelah memenuhi keperluan keluarganya yang merangkumi isteri dan anaknya yang berumur 21 tahun, dan kedua-dua ibu bapa mentua.

Tidak hairanlah Encik Mohamed Shamsul, seperti ramai yang lain, berasa sangat bimbang dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Apalagi dengan kenaikan harga air dan tambang pengangkutan awam yang akan dilaksanakan mulai April 2024.

Semasa ditemui Berita Harian, pegawai keselamatan itu berkata meskipun beliau masih yakin dapat mengatasi keadaan ini, perasaan risau itu tidak pudar.

“Kami sekeluarga memang mengamalkan sikap jimat cermat dan memastikan kami tidak berhutang kepada sesiapa.

“Bahkan, pada 2010, saya dan isteri, serta mentua memutuskan untuk menjual rumah masing-masing dan membeli rumah baru untuk tinggal bersama supaya dapat mengurangi kos rumah,” kata Encik Mohamed Shamsul.

Kebimbangan berkenaan kenaikan kos sara hidup mungkin berkurang apabila Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan Pakej Bantuan Kos Sara Hidup sebanyak $1 bilion pada Khamis, sebahagian daripada usaha pemerintah membantu rakyat Singapura menangani inflasi yang tinggi dan kebimbangan berkenaan kos sara hidup.

Encik Mohamed Shamsul berkata beliau juga mengurangkan perbelanjaan untuk perkara yang kurang penting seperti membeli makanan dan mengurangkan aktiviti di luar.

Namun, berbekalkan gaji kira-kira $2,500 sebulan, beliau mengakui kesan inflasi yang mendalam dengan kos perbelanjaan bagi keperluan asas harian seperti barang pasar, makanan, pengangkutan dan bil air api semakin meningkat.

“Perbelanjaan untuk barang runcit bagi keluarga kami seramai lima orang kini kira-kira $600, manakala bil utiliti adalah $800,” kata Encik Mohamed Shamsul.

Isterinya, Cik T. Mazlina Maridan, 50 tahun, menambah beliau dan anaknya, Putera Mahadhir Asyraaf Mohammed Shamsul, menghadapi pelbagai penyakit seperti penyakit gangguan tidur dan masalah darah tinggi dan perlu sentiasa ke hospital kira-kira 6 kali sebulan untuk pemeriksaan.

“Kami bersyukur kerana mendapat bantuan MediFund dari pemerintah bagi membiayai kos rawatan. Namun,harga tambang menaiki Grab telah meningkat baru-baru ini dan boleh menyumbang kepada $300 kepada perbelanjaan sebulan,” tambahnya.

Selain itu, Cik Mazlina, seorang peniaga dari rumah yang menjual berbagai jenis kuih, kini tidak begitu aktif kerana masalah kesihatan dan keuntungan yang diraih hasil perniagaannya itu pula tipis.

“Kos telur pun telah naik daripada $5 kepada $8, tetapi susah bagi saya untuk menaikkan harga kuih-muih kerana takut kehilangan pelanggan yang mungkin juga menghadapi cabaran kewangan,” ujar beliau yang meluahkan rasa lega dengan adanya Pakej Bantuan yang dihulurkan pemerintah.

“Kami sekeluarga memang mengamalkan sikap jimat cermat dan memastikan kami tidak berhutang kepada sesiapa. Bahkan, pada 2010, saya dan isteri, serta mentua memutuskan untuk menjual rumah masing-masing dan membeli rumah baru untuk tinggal bersama supaya dapat mengurangi kos rumah.”
Encik Mohamed Shamsul Ridzuan, pegawai keselamatan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg