PM Wong: Belanjawan 2026 tetap asas S’pura kemudi fasa seterusnya, segarkan strategi ekon
PM Wong: Belanjawan 2026 tetap asas S’pura kemudi fasa seterusnya, segarkan strategi ekon
Langkah pertama perbaharui strategi S’pura sahut cabaran dunia pesat berubah, belanjawan bernilai $154.7b terbesar sejauh ini
Perdana Menteri merangkap Menteri kewangan, Encik Lawrence Wong, telah membentangkan Belanjawan 2026 pada 12 Februari, yang menyediakan asas untuk Singapura mengharungi fasa pembangunan seterusnya dengan penuh keyakinan dalam dunia yang sudah berubah.
Ini akan dilakukan sedang negara ini memperkukuhkan komitmen untuk membina masa depan bersama yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat Singapura.
Belanjawan bernilai $154.7 bilion itu – yang tertinggi sejauh ini – termasuk usaha untuk membolehkan rakyat Singapura memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), menyokong keluarga termasuk mereka yang mempunyai keperluan lebih tinggi serta meningkatkan taraf pekerja.
Nilai belanjawan itu adalah sekitar 18.7 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara.
Pada tahun kewangan 2025, belanjawan negara mencapai $143.3 bilion.
Menyampaikan belanjawan yang pertama sejak pilihan raya umum pada tahun lalu, dan yang pertama dalam penggal pemerintahan ini, Encik Wong berkata di Parlimen bahawa Belanjawan 2026 adalah langkah pertama dalam menyegarkan strategi Singapura untuk berdepan dengan dunia yang lebih tidak menentu dan berpecah-belah.
Menurut beliau, negara ini tidak boleh berpeluk tubuh dengan kejayaan yang dibina pada masa lalu.
“Oleh itu, kita mempunyai agenda penuh dalam penggal pemerintah ini untuk memperbaharui strategi kita dan memperkukuh kompak sosial.
“Belanjawan 2026 merupakan langkah pertama dalam usaha ini untuk menjamin masa depan kita dalam dunia yang semakin berubah,” ujar Encik Wong.
Bagi menyokong rakyat, setiap warga dewasa yang layak akan menerima Bayaran Khas Kos Sara Hidup antara $200 hingga $400 secara tunai.
Isi rumah pula akan menerima tambahan $500 dalam bentuk Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) pada Januari 2027, yang separuh daripadanya boleh digunakan di pasar raya manakala separuh lagi boleh digunakan di kedai-kedai dan penjaja kawasan kejiranan.
Sebagai jaminan untuk keluarga pula, semua kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah akan menerima tambahan $500 Kredit LifeSG Anak.
Bermula awal 2027 pula, pemerintah akan memperluas subsidi prasekolah berasaskan ujian kelayakan pendapatan kepada lebih banyak keluarga dengan menaikkan had pendapatan bulanan isi rumah kepada $15,000.
Ini akan memanfaatkan 60,000 keluarga.
Bagi memperkukuhkan sokongan kewangan untuk keluarga lebih memerlukan, keluarga di bawah ComLink+ akan terima bayaran baru $500 setiap suku tahun bagi mereka yang komited bekerjasama dengan jurulatih keluarga.
Bayaran tambahan juga akan dipertingkatkan bagi keluarga yang mencapai matlamat pekerjaan stabil dan kehadiran prasekolah anak yang baik.
Menurut Encik Wong, agihan bantuan kini merangkumi lebih banyak tunai untuk keperluan segera di samping simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) untuk masa hadapan, membolehkan keluarga dengan dua anak menerima sehingga $10,000 setahun.
Sedang penduduk semakin menua, bantuan akan dipergiatkan untuk golongan itu, kata Encik Wong.
Warga berusia 50 tahun dan ke atas dan mempunyai simpanan persaraan CPF di bawah Jumlah Persaraan Asas (BRS), akan menerima tokokan CPF hingga $1,500.
Kenaikan kadar sumbangan CPF yang dirancang untuk pekerja warga emas pada tahun 2027 juga akan diteruskan.
Encik Wong turut mengumumkan satu skim pelaburan baru yang akan diperkenalkan untuk membantu pencarum CPF tambah simpanan sebagai sokongan kecukupan persaraan kelak.
Menyentuh tentang AI pula, beliau menjelaskan sementara ia adalah alat yang berguna, tetapi ia harus memanfaatkan kepentingan nasional dan rakyat kita.
Lantaran itu, sebuah Majlis AI Kebangsaan, yang diterajui Encik Wong, akan ditubuhkan bagi memacu usaha nasional.
Bagi menggalak pekerja mempelajari tentang AI pula, akses percuma selama 6 bulan akan diberikan bagi versi premium alat AI kepada mereka yang menyertai kursus tertentu.
Sementara itu, belanjawan itu juga menyediakan sokongan pekerja bergaji rendah.
Ini termasuk menaikkan Gaji Kelayakan Pekerja Tempatan (LQS) bagi pekerja tempatan sepenuh masa daripada $1,600 kepada $1,800 pada tahun ini.
Dalam ucapannya itu, Encik Wong berkata penyepaduan ekosistem pekerjaan dan kemahiran akan diperkukuhkan dengan penggabungan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan SkillsFuture Singapura (SSG) untuk menjadi sebuah badan berkanun baru.
“Bagi pekerja dan yang mencari kerja, ini bermakna sokongan akan lebih lancar, daripada perancangan kerjaya, pemerolehan kemahiran, padanan kerja dan peralihan.
“Bagi majikan, sokongan akan lebih bersepadu, meliputi perancangan tenaga kerja, mereka semula pekerjaan, pengambilan pekerja dan pembangunan tenaga kerja,” kata Encik Wong.
Dalam ucapannya itu, Encik Wong berkata bahawa kekuatan Singapura bukan sahaja terletak pada dasar dan rancangan yang ada, bahkan dalam semangat rakyat.
Kata beliau, kita tidak boleh membiarkan perpecahan yang semakin meningkat di pentas global, berlaku di negara ini.
“Oleh itu, dalam Belanjawan ini, kita akan terus melabur dalam memperbaharui dan memperkukuhkan ikatan yang menyatukan kita,” tekan Encik Wong.
Dalam usaha membina masyarakat ‘Kita Dahulu’, beliau mengumumkan beberapa inisiatif yang memupuk perpaduan rakyat termasuk pelancaran Dana Kerjasama SG (SGPF) bernilai $50 juta yang menggalak memulakan usaha bantu masyarakat.
Menggulung ucapannya itu, Encik Wong menegaskan bahawa semangat tanggungjawab bersama kini lebih penting berbanding sebelumnya.
“Kita tidak mampu untuk menjadi penonton sahaja. Kita harus menjadi peserta aktif – menjaga satu sama lain, memperkukuh ikatan sosial dan menyumbang kepada Singapura yang dimiliki semua. Inilah keyakinan yang mendasari Belanjawan 2026,” tambahnya.

