Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga ComLink+ bakal terima sokongan kesihatan, perumahan

Pembimbing akan sokong keluarga jalani gaya hidup sihat; bantu rancang pendapatan, simpanan miliki rumah
Mar 10, 2025 | 5:31 PM
Keluarga berpendapatan rendah di bawah skim ComLink+ bakal menerima sokongan kesihatan seperti mengamalkan diet lebih sihat, senaman secara kerap dan menghadiri pemeriksaan kesihatan yang disyorkan.
Keluarga berpendapatan rendah di bawah skim ComLink+ bakal menerima sokongan kesihatan seperti mengamalkan diet lebih sihat, senaman secara kerap dan menghadiri pemeriksaan kesihatan yang disyorkan. - Foto fail

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Kementerian Kesihatan (MOH) akan memperkenal model sokongan baru untuk menangani keperluan kesihatan keluarga ComLink+ pada 2025.

Pembimbing keluarga akan menyokong keluarga dalam menjalani gaya hidup yang lebih sihat, berdasarkan keperluan dan keadaan mereka.

Ini termasuk langkah kesihatan pencegahan seperti mengamalkan diet lebih sihat, senaman secara kerap dan menghadiri pemeriksaan kesihatan yang disyorkan.

Model ini akan dilancarkan secara progresif.

Mengumumkan demikian semasa perbahasan Belanjawan MSF pada 10 Mac, Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Eric Chua, berkata sokongan sosial dan kesihatan akan “ditenun” bersama.

“Dengan kesihatan, ia membolehkan kita hidup, bekerja dan mengejar aspirasi kita. Tetapi keluarga yang cuba mengharungi cabaran kehidupan harian mungkin menghadapi kesukaran mengingati janji temu perubatan atau memerlukan bantuan mengenal pasti perkhidmatan penjagaan kesihatan yang sesuai.

“Oleh itu, kami akan mencuba model sokongan baru untuk menangani keperluan kesihatan keluarga ComLink+ tahun ini (2025),” kata Encik Chua.

Di bawah model sokongan ini, kakitangan yang berdedikasi daripada kelompok penjagaan kesihatan akan membantu keluarga mengakses perkhidmatan yang mereka perlukan.

Bagi keluarga dengan keperluan kesihatan lebih rumit pula, pembimbing keluarga dan kakitangan penjagaan kesihatan akan membantu membangunkan dan melaksanakan rancangan tindakan kesihatan yang mengutamakan keperluan mereka, langkah yang perlu diambil dan perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk diakses.

“Melalui ini, kami berharap dapat meningkatkan kesihatan keseluruhan keluarga, supaya mereka dapat mencapai matlamat hidup mereka yang lain dengan lebih baik.

“Kami akan menggunakan cerapan daripada percubaan ini untuk menyokong lebih ramai keluarga dalam masa terdekat,” tambah Encik Chua.

Beliau juga berkata MSF akan bekerjasama dengan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) untuk membimbing keluarga mencapai impian memiliki rumah mereka sendiri.

Pegawai HDB menyokong keluarga ComLink+ dalam merancang pendapatan dan simpanan yang mereka perlukan untuk pemilikan rumah.

Pembimbing keluarga akan bersama-sama mereka ke arah matlamat ini dan apabila mereka bersedia untuk membeli flat, HDB akan membantu mereka mengemudi proses tersebut.

“Kami telah mengubah sokongan kami dengan ketara bagi keluarga berpendapatan rendah, beralih daripada bantuan kepada pemerkasaan.

“Kami akan terus melaburkan usaha dalam bidang ini, supaya keluarga yang memerlukan dapat mencapai kestabilan, berdikari dan mobiliti sosial,” ujar Encik Chua.

Hampir 1,600 keluarga telah mendaftar untuk pakej sokongan di bawah skim ComLink+, di mana isi rumah berpendapatan rendah mendapat insentif kewangan dan sokongan lain jika mereka mengambil langkah untuk memperbaiki kehidupan mereka, seperti memegang pekerjaan stabil yang membayar Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

ComLink+ pada awalnya ditawarkan kepada keluarga yang mempunyai anak yang tinggal di flat sewa awam, dan kira-kira 10,000 keluarga di flat tersebut kini menggunakan ComLink+.

Sejak Mac 2024, ia diperluas kepada keluarga berpendapatan rendah yang tidak tinggal di rumah sewa awam dan memenuhi kriteria tertentu.

Semasa Belanjawan pada 18 Februari, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, mengumumkan bahawa jumlah penerima skim bantuan kewangan ComCare pemerintah akan dinaikkan mulai April.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg