Keluarga 6 beranak capai impian miliki rumah sendiri

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga 6 beranak capai impian miliki rumah sendiri

Pindah dari flat sewa 2 bilik ke flat 4 bilik dengan sokongan ComLink+
Feb 21, 2026 | 6:11 PM

Keluarga 6 beranak capai impian miliki rumah sendiri

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Dr Syed Harun Alhabsyi, Nurfitrah Yahya, Muhammad Nazri Zakaria, rental flat
Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi (kiri), berkunjung ke rumah pasangan Cik Nurfitrah Yahya dan Encik Muhammad Nazri Zakaria yang berpindah dari flat sewa ke rumah empat bilik sendiri bersama empat anak mereka – (barisan belakang, dari kiri) Muhammad Firash Muhammad Nazri, Nurnaila Humaira Muhammad Nazri, (barisan depan, dari kiri) Nurnaifa Husna Muhammad Nazri dan Muhammad Farish Muhammad Nazri. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Bila kita nak beli rumah baru?”

Soalan itu, walau ditanya dengan tulus oleh anak perempuan mereka yang ketika itu berusia tujuh tahun, sebaliknya membawa beban emosi ke atas pasangan Cik Nurfitrah Yahya dan Encik Muhammad Nazri Zakaria, lebih-lebih lagi apabila kerap ditanya hampir setiap hari.

Manakan tidak, pasangan tersebut ketika itu sedang bergelut dengan keadaan kewangan yang sempit, selain terpaksa membesarkan keluarga dalam rumah sewa dua bilik yang serba kekurangan dan ruang yang terhad.

Soalan tersebut membuat Cik Nurfitrah, seorang suri rumah, dan Encik Nazri, pekerja penghantaran, pada waktu itu rasa gagal sebagai ibu bapa.

“Bayangkan, setiap kali pulang sekolah dan sampai di pintu rumah, dia tanya ‘Bila nak dapat rumah baru? Kawan saya semua ada bilik sendiri. Saya tak ada ruang sendiri... tak ada meja sendiri’.

“Saya faham waktu itu bagaimana perasaan suami saya. Tentunya beliau persoalkan peranannya sebagai bapa,” kata Cik Nurfitrah.

Dengan ruang yang terhad, ruang tamu menjadi tempat sama di mana keempat-empat anaknya tidur, makan, bermain dan menghabiskan tugasan sekolah.

Namun, berkat kesabaran Cik Nurfitrah, 34 tahun, dan Encik Nazri, 35 tahun, pasangan itu berjaya berpindah ke rumah empat bilik milik mereka sendiri pada Oktober lalu, setelah menerima sokongan daripada skim bantuan pemerintah seperti ComLink+.

Ketika ditemui Berita Minggu (BM) dalam flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Yishun, Cik Nurfitrah kerap meluahkan kesyukuran sambil menyifatkan pemilikan rumah itu sebagai “pencapaian terbesar” beliau dan suami sepanjang 10 tahun perkahwinan.

Namun, beliau tidak dapat menahan sebak setiap kali mengenang perjalanan sukar untuk memiliki rumah sendiri.

Menceritakan lanjut, Cik Nurfitrah berkata beliau dan suami sebenarnya sudah berjaya menempah rumah BTO empat bilik pada 2020.

Malangnya, sebulan sebelum berpindah keluar dari rumah ibu bapa mereka, pekerjaan Encik Nazri sebagai pekerja penghantaran terjejas dek pandemik Covid-19 yang melanda, menyebabkan pendapatan bulanan mereka jatuh sebanyak 75 peratus.

Disebabkan masalah kewangan, pasangan itu gagal menerima kunci walaupun sudah mengemas barang untuk berpindah dan membayar deposit bagi kerja ubah suai rumah.

Sebagai ganti, pasangan itu berpindah ke flat sewa dua bilik.

Sejak itu, Cik Nurfitrah mengakui beliau mengalami trauma dan berada di ambang kemurungan.

“Saya kerap nangis, marah anak saya... saya mendapati diri saya selalu menjerit memarahi mereka,” ujarnya.

Bagaimanapun, setelah mendapat bantuan daripada jurulatih keluarga di bawah usaha ComLink+, Cik Nurfitrah berkata beliau “tidak lagi rasa keseorangan”.

Malah, sokongan berterusan dari segi perjalanan memiliki rumah sendiri dan sokongan emosi banyak membantunya keluar daripada ‘kegelapan’ yang dihadapi waktu itu.

Setelah tujuh kali memohon untuk penjualan baki flat (SBF), usaha pasangan tersebut akhirnya membuahkan hasil.

Dalam pada itu, Encik Nazri berjaya bertukar kerjaya sebagai kapten bas, sekali gus memperoleh pendapatan yang lebih stabil.

Dalam proses itu, pegawai Pasukan Sokongan Pemilikan Rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) (HST) menemani mereka bagi janji temu di HDB, membimbing mereka dalam membuat keputusan termasuk merancang kos perumahan.

Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, yang mengunjungi keluarga tersebut pada 21 Februari di rumah baru mereka, berbesar hati melihat pasangan seperti Cik Nurfitrah dan Encik Nazri beransur dari flat sewa ke flat milik sendiri.

“Untuk membantu keluarga ini mengatasi cabaran, kami bekerjasama rapat dengan agensi perkhidmatan sosial dan rakan masyarakat untuk menyediakan sokongan disesuaikan, yang memberikan keluarga kestabilan dan keyakinan untuk berdikari,” ujarnya.

Pada 2025, HDB membantu hampir 700 isi rumah sewa awam dengan perjalanan pemilikan rumah mereka.

Ramadan kali ini sememangnya cukup bermakna buat Cik Nurfitrah dan keluarganya yang berjaya keluar daripada kesempitan hidup yang diharungi.

“Ketika iftar pertama kami di rumah ini, anak-anak saya asyik terkenangkan keadaan kami berbuka di rumah sewa dahulu, membandingkan dengan keadaan sekarang.

“Memori itu cukup segar. Saya pun sentiasa ingatkan mereka agar jangan lupa asal usul kita,” kata Cik Nurfitrah tersenyum.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg