Bagi Cik Nur Ilyana Yusoff, apabila beliau ditawar peluang untuk menjadi relawan program membaca buku bahasa Melayu kepada kanak-kanak, ia satu cara untuknya menjalin semula hubungan dengan bahasa ibunda yang dicintainya itu.
Namun, semangat beliau menyumbang bakti kepada masyarakat menerusi daya usaha M³ itu juga didorong satu realisasi yang menjadi prihatin bagi dirinya.
Selepas bertugas sebagai jururawat dahulu dan kini sebagai seorang guru pembangunan awal kanak-kanak, bahasa Melayu sangat relevan di tempat kerja.
Namun, ramai anak muda Melayu tidak mahir dalam bahasa ibunda mereka itu.
Ibu tiga anak berusia 43 tahun itu merupakan salah seorang daripada pasukan lima orang di balik program bacaan kendalian M³@Pasir Ris-Punggol, ‘Mari Membaca’.
Program itu bermatlamat memupuk semula semangat dan cinta terhadap penggunaan, pembacaan dan pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan anak muda berusia empat tahun hingga lapan tahun.
Pada Sabtu terakhir setiap bulan, pasukan tersebut akan mengadakan sesi sejam yang melibatkan pembacaan satu buku yang dipilih relawan diikuti kegiatan susulan menarik seperti penghasilan kraf tangan, nyanyian, tarian dan lain-lain lagi.
“Ini dilakukan supaya dapat menarik minat kanak-kanak ini,” kata Cik Ilyana.
Malah, apa yang istimewa di balik pengendalian sesi tersebut adalah ia diterajui dan dirancang sendiri oleh relawan.
Setiap relawan juga telah menerima latihan rasmi daripada pihak-pihak tertentu seperti Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) untuk menyampaikan sesi pembacaan yang berkesan.
“Sejujurnya ia satu program yang sangat baik bagi kanak-kanak mahupun relawan,” kata Cik Ilyana lagi.
“Ia juga satu peluang untuk membina semula cinta kita terhadap bahasa kita.”
Setiap sesi secara purata menerima lapan hingga sepuluh kanak-kanak sejak program itu dilancarkan pada April, kata Cik Ilyana.
“Tak banyak, dalam 80 peratus merupakan regulars (peserta tetap), tapi kami lihat kesannya tempias kepada adik-beradik mereka yang turut serta (dalam) program ini,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, Cik Ilyana berharap lebih ramai relawan dapat tampil dan menyertai program tersebut. Dengan itu, beliau juga berharap ia dapat diluaskan ke bandar-bandar M³ lain.
“Dahulu sewaktu saya bekerja sebagai jururawat saya sering menguruskan pesakit mak cik, pak cik yang sudah lanjut usia.
“Pada ketika itu bahasa saya tak berapa bagus jadi sayang sekali, saya tak dapat berinteraksi dengan mereka dengan baik.
“Bahasa Melayu ini, bukan seperti orang muda cakap, tak cool. Sebenarnya manfaatnya besar, selain satu aspek penting dalam diri kita sebagai orang Melayu, ia juga satu kemahiran yang amat berguna dalam dunia pekerjaan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg