Polis telah mengesahkan pada 31 Ogos bahawa mayat budak lelaki yang ditemui di laut East Coast Park pada 30 Ogos merupakan kanak-kanak 11 tahun yang sebelum ini dilaporkan hilang, Muhammad Hairil Muhammad Effendi.
Polis sebelum ini mengeluarkan kenyataan memohon maklumat berhubung keberadaan kanak-kanak itu yang kali terakhir dilihat di kawasan Blok 29 Marine Crescent sekitar 11.05 pagi pada 29 Ogos.
Dalam kenyataan yang berasingan pada awal pagi 31 Ogos, polis berkata mereka menerima panggilan meminta bantuan di East Coast Park pada 9.55 malam.
Tambahnya, apabila polis tiba di tempat kejadian, seorang budak lelaki ditemui terapung di laut.
Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke darat oleh pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik SCDF.
Siasatan awal tidak menunjukkan unsur jenayah.
Siasatan polis sedang dijalankan.
“Atas rasa hormat kepada keluarga, orang ramai dinasihatkan agar tidak berkongsi video atau gambar kanak-kanak itu,” kata polis.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg