Patah tak semestinya tumbuh, hilang pun sukar diganti.
Dunia seni sepi pada pagi 31 Julai dengan kehilangan satu permata gemilang yang pernah mewarnai muzik Tanah Melayu.
Nona Asiah, ataupun digelar Mak Nona bagi yang mengenalinya, ialah nama ikonik yang terkenal dengan sumbangan suara merdunya dalam industri muzik tanah air dari era filem klasik Melayu sekitar 1950-an.
Jenazahnya diiringi keluarga dan teman rapat pada 9.30 pagi, 31 Julai di Masjid Ba’alwie.
Antara yang kelihatan hadir termasuk anak didiknya, Najip Ali; penyanyi pop 1970-an, Kadir A. Rahman, yang juga dikenali sebagai Kadir Lontong; dan juga cucunya, pelakon Imam Shah bertemankan isteri, Hannah Delisha.
“Nenek dah lama sakit, sudah beberapa tahun. Ini adalah kehilangan buat keluarga, negara... terakhir saya jumpa dia sudah mula lupa (demensia) dan kenangan itu terpahat di memori saya,” kata Imam Shah, yang sekarang bermastautin di Kuala Lumpur bersama isterinya.
Mengenang neneknya itu, Imam berkongsi Allahyarhamha seorang yang peramah dan suka bercerita tentang kisah lamanya, dan itulah yang paling beliau rindukan tentang Nenek Nona-nya.
Isterinya, Hannah, berkata Mak Nona telah banyak menyumbang dalam arena seni di sini dan pemergiannya memang dirasakan.
“Saya hanya dapat berjumpa dengannya sekali saja sewaktu Raya. Pada waktu itu, beliau sudah tidak ingat lagi. Tetapi beliau seorang nenek yang baik budi pekerti… Hannah doakan semoga Allahyarhamha dirahmati, mendapat perlindungan Allah dan dosa-dosanya diampunkan.”
Penyanyi dan kawan lama Nona Asiah era 70-an, Kadir Lontong, mengingati beliau sebagai seorang yang baik, rendah hati dan aktif bergiat sebagai pengasuh anak-anak seni dalam bidang nyanyian dan lakonan.
“Apakan daya, setiap insan mesti pergi. Memang kita rasa macam suatu kehilangan,” kata Kadir.
Dalam temubual bersama Berita Harian (BH) sebelum ini di kediamannya, anak bongsu Allahyarhamha, Encik Indra Shahril Ismail, 58 tahun, berkongsi walaupun ibunya mengalami demensia, beliau tidak lupa zaman kegemilangannya.
“Kalau kita tanya sudah makan ubat ke belum? Katanya belum, walaupun sebenarnya sudah. Tetapi kalau kita tanya tentang zamannya bergiat aktif, beliau ingat semuanya dan mula bercerita dengan penuh ghairah,” kata Encik Indra.
Pemergian Allahyarhamha Nona Asiah, ibu lima anak, menyusul pemergian anak sulungnya, pengarah muzik terkenal Allahyarham Iskandar Ismail, yang meninggal pada 2014 akibat barah.
Suami Mak Nona, Allahyarham Ismail Kassim, meninggal dunia pada 1994 akibat kecelakaan jalan raya.
“Kita semua ada orang tua yang akan melalui jalan yang sama. Melihat beliau dalam kesakitan, sangat sukar, melihat beliau pergi, juga tidak mudah. Tapi kini kami reda beliau kini berpulang kepada Pencipta kita,” tambah Encik Indra.
Allahyarhamha Nona Asiah diiktiraf atas sumbangannya dalam bidang seni dan dianugerahkan Pingat Budaya pada 2016 oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan pernah disertakan dalam Dewan Termasyhur Wanita Singapura (SWHF) pada 2022.
“
“Kita semua ada orang tua yang akan melalui jalan yang sama. Melihat beliau dalam kesakitan, sangat sukar, melihat beliau pergi, juga tidak mudah. Tapi kini kami reda beliau kini berpulang kepada Pencipta kita.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg