Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga main peranan cegah salah guna dadah

Episod ketiga dalam siri podcast No Tapis dengan kerjasama Biro Narkotik Pusat (CNB) mengupas antara lain mengapa ibu bapa harus melibatkan diri dalam kehidupan anak-anak dan tindakan boleh diambil oleh keluarga jika mendapati masalah dadah dalam kalangan anak-anak mereka.
Sep 6, 2024 | 2:00 PM
(Dari kiri) Hos undangan No Tapis yang juga pempengaruh, Cik Pamela Lee Nur Shuhadah, bersama tetamunya, Encik Danial Iskandar Azeman, Encik Muhammad Aqil Danish Helmi dan Encik Shaikh Loqman Shaikh Hasan dalam Episod 3 yang mengupas peranan penting keluarga.
(Dari kiri) Hos undangan No Tapis yang juga pempengaruh, Cik Pamela Lee Nur Shuhadah, bersama tetamunya, Encik Danial Iskandar Azeman, Encik Muhammad Aqil Danish Helmi dan Encik Shaikh Loqman Shaikh Hasan dalam Episod 3 yang mengupas peranan penting keluarga. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Watch on YouTube

Keluarga memainkan peranan penting dalam proses pencegahan penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia.

Hal ini bertambah genting memandangkan pengaruh dadah melalui rakan kerap berlaku, kata Kaunselor Kanan AMP Singapura, Encik Shaikh Loqman Shaikh Hasan, dalam episod ketiga siri podcast No Tapis-CNB. 

Menurut Encik Shaikh Loqman, ibu bapa harus melibatkan diri dalam kehidupan anak-anak supaya lebih peka terhadap kegiatan harian mereka. 

Beliau juga berkongsi bahawa ramai belia, yang menyalahgunakan dadah, tidak menganggap rumah mereka sebagai tempat yang selamat. 

Lantaran itu, mereka bergantung kepada rakan-rakan untuk membina persahabatan dan kestabilan sosial, kata Encik Shaikh Loqman dalam episod ketiga yang dihoskan oleh pempengaruh Cik Pamela Lee Nur Shuhadah dan turut disertai dua orang tetamu, Encik Muhammad Aqil Danish Helmi dan Encik Danial Iskandar Azemani atau lebih mesra dengan gelaran Danny Hindari.

Dalam episod ini, Encik Muhammad Aqil dan Encik Danial Iskandar telah berkongsi pengalaman mereka terjebak dalam penyalahgunaan dadah pada usia muda,  yang antara lain berpunca daripada keadaan keluarga yang kurang stabil dan pengaruh teman-teman. 

Encik Muhammad Aqil, yang mula mengambil dadah pada usia 19 tahun melalui kawannya, ditahan ketika sedang menjalankan Perkhidmatan Negara. Dia mengambil dadah lagi kerana tidak tahan menanggung tekanan dan kesedihan akibat kematian neneknya.

Encik  Danial Iskandar pula mengakui bahawa kisah permulaannya mengambil dadah hampir serupa dengan Encik Muhammad Aqil, iaitu melalui pergaulan bersama sekumpulan rakannya. Perasaan ingin tahu membuak-buak dalam dirinya sehingga rakannya memberikannya untuk mencuba.

View post on TikTok

Mengambil contoh daripada pengalaman Encik Aqil dan Encik Danial Iskandar, Encik Shaikh Loqman menekankan bahawa pengetahuan tentang penyalahgunaan dadah sudah wujud, namun para belia mempunyai sikap ingin tahu yang kuat dan hal ini membawa kepada keinginan untuk mencuba.

“Mereka pernah dengar tapi tidak pernah cuba. Jadi nak cuba, nak uji kekuatan badan…,” ujar Encik Shaikh Loqman.

Tambah beliau, faktor tekanan yang dialami belia memainkan peranan mendorong belia mengambil dadah. Masalah berat dan isu yang berbeza-beza dihadapi belia termasuklah putus cinta atau gagal peperiksaan.

Cik Pamela  mengajukan soalan sama ada ibu bapa ialah orang yang terdekat untuk memahami anak-anak mereka dan cara terbaik menangani rasa ingin tahu terhadap pengambilan dadah dalam kalangan belia.

Menjawab, Encik Shaikh Loqman mendedahkan bahawa antara perilaku terawal yang dapat mengesan tabiat ini ialah anak-anak itu mula berbohong.

“Apakah langkah selanjutnya yang kita nak ambil? Ada ibu bapa yang mengambil langkah untuk tengok dahulu dan beri anak-anak peluang untuk berterus-terang. Ada yang kenakan ‘curfew’ atau tidak boleh keluar rumah dan pergaulan anak-anak dipantau dengan ketat. Kau jumpa siapa? Kau berbual dengan siapa? Kau duduk di mana? Anak itu sendiri menjadi rimas,” Encik Shaikh Loqman.

Beliau menambah pada detik ini, ibu bapa akan merasa serba salah tentang hukuman dan langkah yang terbaik yang patut dikenakan kepada anak-anak.

Apatah lagi, jikalau orang lain menegur setiap tindakan yang diambil.

View post on TikTok

Namun, beliau juga menyarankan supaya ibu bapa memberikan mereka peluang kerana bukan mudah untuk anak-anak berterus-terang dengan orang tua.

Encik Syaikh Loqman mengibaratkan keadaan itu seperti “menari dengan anak-anak”.  

“Kita boleh beri mereka peluang. Sebabnya, bukan mudah untuk anak-anak berterus-terang. Dia tahu dia salah. Dia tahu yang orang tua sudah tahu. Bohong kalau kita katakan yang orang tua tak tahu. Setiap kali berjumpa dengan orang tua, orang tua tengok lain. Mata kita, muka kita, mereka dah boleh cam,” ujar beliau.

Jikalau ibu bapa sudah mengesan tanda-tanda penyalahgunaan dadah pada anak-anak mereka, ibu bapa tidak boleh bersikap pasif.

Menurut Encik Shaikh Loqman, ibu bapa harus melakukan sesuatu untuk menangani masalah itu.

“Pasif bermaksud kalau dia sudah tahu benda itu ada, dia tidak lakukan apa-apa dan harapkan masalah itu akan hilang dengan sendirinya. Dia perlu tegas sebab masalah dadah ini, bila kita berikan peluang, makin lama dia makin parah. Makin kita nak keluar daripada kitaran itu, makin susah. Sebaik-baiknya, lebih awal lebih baik untuk ditarik keluar,” kata Encik Shaikh Loqman.

Kalau ibu bapa sudah mengetahui masalah dadah dalam kalangan anak-anak mereka, mereka perlu cepat bertindak.

Contohnya, mereka boleh membawa anak-anak mereka ke Institut Kesihatan Mental (IMH) atau Perkhidmatan Pengurusan Ketagihan Negara (NAMS) dengan segera untuk mendapatkan rawatan.

Mereka juga boleh hubung polis atau talian hotline CNB di 1800 325 6666 untuk melaporkan sebarang penyalahgunaan dadah yang disyaki.  Maklumat lanjut tentang kemudaratan penyalahgunaan dadah dan inhalan juga boleh didapati di laman www.cnb.gov.sg.

Beliau juga menasihatkan supaya mendapat rawatan profesional dan elak daripada menggunakan rawatan tradisional seperti herba dan bahan asing ke dalam badan.

“Pergi ke IMH dan NAMS untuk mendapatkan rawatan dengan segara. Jangan gunakan herba atau bahan asing untuk lawan balik ketagihan sebab kita tidak tahu kesan sampingannya.

“Apabila badan kita diperkenalkan dengan bahan asing buat pertama kali, reaksi badan seseorang mungkin berbeza-beza. Kalau badan tidak boleh terima, kesannya akan lebih dahsyat lagi,” tambah Encik Shaikh Loqman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg