Keluarga mendiang Sim Wong Hoo, antara usahawan teknologi perintis Singapura, menyumbang sebanyak $385,000 kepada Dana Wang Saku Sekolah The Straits Times (ST) pada 7 Jun.

Sumbangan tersebut dibuat sempena pelancaran buku, Sim Wong Hoo: The Light We Remember, yang diterbitkan keluarganya pada Mac.

Mendiang Sim, yang merupakan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Creative Technology, meninggal dunia pada 2023 pada usia 67 tahun.

Satu kenyataan dana itu berkata sumbangan tersebut mencerminkan komitmen keluarga mendiang Sim untuk meneruskan legasi kebajikan beliau dengan membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat sokongan yang mereka perlukan.

Anak saudara mendiang Sim, Encik Ernest Sim, yang kini merupakan Pengerusi Eksekutif dan CEO Creative Technology, menyampaikan cek sumbangan itu kepada pemegang amanah dana berkenaan dan Editor Bersekutu The Straits Times (ST), Cik Karamjit Kaur, semasa majlis pelancaran buku tersebut di Perpustakaan Daerah Woodlands pada 7 Jun.

Majlis pelancaran buku itu dihadiri sekitar 250 orang.

Buku yang mengisahkan kehidupan mendiang Sim itu memuatkan kenangan peribadi ahli keluarga dan rakan-rakannya, serta menelusuri perjalanan hidupnya daripada zaman kanak-kanak di kampung hingga kepada minatnya terhadap muzik dan inovasi teknologi.

Encik Ernest Sim, 48 tahun, berkata beliau tersentuh melihat ramai ahli keluarga, sahabat lama dan juga peminat bapa saudaranya, menghadiri pelancaran buku tersebut.

“Ramai yang mengingatinya sebagai seseorang yang lemah lembut dan baik hati, serta melakukan banyak perkara yang bermanfaat untuk masyarakat dan syarikatnya,” katanya.

Mengenai sumbangan itu, Encik Ernest Sim berkata bapa saudaranya merupakan penyumbang tetap kepada Dana Wang Saku Sekolah The Straits Times, dengan keluarganya mahu meneruskan legasi tersebut.

“Kami mahu terus membantu pelajar agar mereka mampu berjaya dalam pelajaran. Dunia hari ini penuh dengan cabaran dan setiap orang wajar diberi peluang untuk cemerlang,” ujarnya lagi.

Mendiang Sim mengasaskan Creative Technology, sebuah syarikat tempatan Singapura, pada 1981.

Di bawah kepimpinannya, syarikat itu dikenali dengan kad bunyi Sound Blaster serta produk hiburan digitalnya.

Menjelang 2000, mendiang Sim, yang ketika itu berusia 45 tahun, menjadi jutawan termuda di Singapura.

Beliau juga merupakan individu pertama yang menerima Anugerah Usahawan Terbaik Tahunan bagi Anugerah Perniagaan Singapura (SBA) sebanyak dua kali.

Pada 2001, Sim menyumbang kepada Dana Wang Saku Sekolah The Straits Times, beberapa bulan selepas dana itu dilancarkan.

Pada 2023, aktivis masyarakat awam dan mantan wartawan ST, Cik Braema Mathi, berkata mendiang Sim telah menyerahkan cek bernilai $584,000 kepada dana tersebut pada 1 Januari 2001.

Jumlah tersebut dipadankan dengan setiap dolar yang berjaya dikumpulkan sejak dana itu dilancarkan pada 1 Oktober 2000.