Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga S’pura terselamat dalam kejadian cemas di Pantai Bondi, hargai bantuan penduduk Sydney

Dec 15, 2025 | 5:08 PM
Doktor gigi dari Singapura, Dr Edward Wong (kanan), dan isterinya, Cik Karin Lee (dua dari kanan), yang sedang bercuti bersama kembar tiga dan anak bongsu lelaki mereka di Sydney, Australia, mendapati diri mereka berada di tengah-tengah satu serangan pengganasan apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah pengunjung di Pantai Bondi pada 14 Disember. 
Doktor gigi dari Singapura, Dr Edward Wong (kanan), dan isterinya, Cik Karin Lee (dua dari kanan), yang sedang bercuti bersama kembar tiga dan anak bongsu lelaki mereka di Sydney, Australia, mendapati diri mereka berada di tengah-tengah satu serangan pengganasan apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah pengunjung di Pantai Bondi pada 14 Disember.  - Foto ihsan KARIN LEE

Percutian santai bagi sebuah keluarga Singapura enam orang di Sydney, Australia, dikejutkan dengan kejadian tembakan di Pantai Bondi pada 14 Disember.

Lelaki bersenjata dikatakan telah melepaskan tembakan ke arah pengunjung di Pantai Bondi dan mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang serta mencederakan puluhan yang lain.

Mengimbau detik itu, Cik Karin Lee, 44 tahun; dan Dr Edward Wong, 49 tahun, memberitahu The Straits Times (ST) dalam satu temu bual telefon, mereka berada di pantai terkenal itu dari sekitar 1 petang waktu Australia (10 pagi waktu Singapura) bersama anak perempuan kembar tiga mereka yang berusia 12 tahun, serta seorang anak lelaki berusia lima tahun.

Keluarga tersebut berada di Sydney sejak 6 Disember bagi meraikan kejayaan tiga anak perempuan mereka yang lulus Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Mereka dijadual pulang ke Singapura pada 15 Disember.

Menurut Cik Lee, suasana ketika mereka tiba di pantai tersebut sangat tenang dengan mentari bersinar terang.

Kelihatan banyak keluarga yang membawa anak kecil mereka di situ untuk bersantai.

Selepas meletakkan barangan mereka, anak-anaknya kemudian terus menuju ke kawasan perairan pantai untuk mandi dan bermain bersama.

Sekitar lima jam kemudian, ketika keluarga itu bersiap untuk berkemas, tiba-tiba mereka terdengar bunyi kuat persis tembakan.

Dr Wong mula menyedari keadaan tidak normal.

“Tembakan itu berterusan seketika. Kemudian, kami nampak burung camar berterbangan dan orang ramai mula panik.

“Kami juga dapat mendengar bunyi siren polis, ambulans dan hon kereta dari jauh. Ketika itu, saya tahu memang ada sesuatu yang tidak kena,” kata Dr Wong, seorang doktor gigi.

Dengan tangkas, beliau segera bertindak membawa anak-anaknya ke tempat selamat.

Mujur, isterinya yang ke tandas ketika itu, sempat kembali dan keluarga tersebut terus berlari pantas meninggalkan kawasan pantai.

Tiada masa untuk mengumpulkan barangan peribadi atau pakaian, kata Cik Lee, yang merupakan penolong guru tadika.

“Kami hanya membawa dompet, telefon, kad kredit dan wang – apa yang sedia ada pada kami.

“Kereta sorong anak, beg dan barangan beli-belah kami tinggalkan, dan kami keluar dari kawasan pantai dengan berkaki ayam,” katanya.

Yang paling penting, pasport mereka ada bersama.

Dalam kekecohan itu, buat seketika, mereka terpisah daripada salah seorang anak perempuan mereka.

Anak mereka itu pula hampir terperangkap dalam kejadian rempuhan orang ramai untuk beberapa minit yang dirasakan ibarat masa ‘merangkak’ dengan begitu perlahan.

Keenam-enam mereka terus bergegas lari sehingga ke puncak sebuah bukit, di mana anggota polis sudah tiba dan memberi isyarat kepada orang ramai supaya terus bergerak ke kawasan lebih selamat.

Kejadian tembakan itu berlaku semasa satu acara cuti keagamaan Yahudi di pantai itu.

Daripada 40 individu yang cedera, dua daripadanya merupakan anggota polis.

Menurut laporan agensi berita, Reuters, seorang suspek lelaki bersenjata ditembak mati, manakala seorang lagi berada dalam keadaan tenat.

Cik Lee menjelaskan, beliau tidak tahu berapa lama atau berapa jauh mereka berlari sehingga kakinya terasa lenguh.

Apabila mereka berhenti di ruang masuk sebuah apartmen kediaman di situ untuk bersembunyi, mereka terdengar sepasang suami isteri dari tingkat dua memanggil mereka dan seorang lagi wanita agar berlindung di rumah mereka buat seketika.

Cik Lee dan keluarganya duduk di situ selama beberapa jam sebelum keadaan mula reda.

“Pasangan itu baik, malah memberi kami air minuman sementara kami berteduh di rumah mereka.

“Kami malahan dihantar ke hotel kerana banyak jalan ditutup.

“Kejadian itu amat menakutkan, tetapi kami bersyukur ada penduduk Sydney yang baik seperti mereka, untuk membantu kami,” jelas Dr Wong.

Memandangkan Pantai Bondi ditutup bagi siasatan, ibu saudara Dr Wong yang menetap di Sydney bersetuju untuk membantu keluarga itu mengambil semula barangan mereka.

Dr Wong berkata percutian tersebut, yang merupakan lawatan pertama keluarganya ke Australia, tetap merupakan satu pengalaman yang menakjubkan.

“Anak-anak kami masih terkejut, tetapi dalam keadaan baik. Kami telah berbalas pesanan dengan rakan dan keluarga di Singapura yang membaca berita tembakan di Pantai Bondi ini,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg