Lebih 330 belia berpeluang mempelajari cara inovatif mendekatkan diri dengan agama dan rakan-rakan sekeliling menerusi program Cabaran Belia Ramadan (RYC) 2025, satu inisiatif perdana di bawah SalamSG.
Kem selama dua hari pada 15 dan 16 Mac itu diketuai pegawai pembangunan serta pemimpin belia di empat daerah masjid di serata Singapura.
Masjid-masjid yang terlibat adalah Masjid Al-Iman (kelompok barat); Masjid Al-Muttaqin (kelompok utara); Masjid Al-Islah (kelompok timur); dan Masjid Sultan (kelompok selatan).
RYC 2025 telah memperjuangkan tema SalamSG, ‘Bina Keyakinan, Pupuk Kebijaksanaan’, atau ‘Build Confidence, Nurture Wisdom’.
Suasana masjid telah diubah menjadi tempat yang meriah untuk penglibatan belia, menggabungkan kegiatan belia kontemporari dengan nilai Islam, khas bagi kem tersebut.
Langkah itu bertujuan menjadikan masjid tempat yang relevan dan menarik kepada generasi muda.
“Kami ingin membuktikan bahawa kegiatan yang menarik boleh meningkatkan keagamaan belia.
“Perkara yang paling menyentuh hati adalah apabila peserta mengaitkan pengalaman mereka di kem ini dengan perkembangan rohani mereka,” jelas Pegawai Pembangunan Belia Kanan bagi Masjid Kelompok Timur, Ustazah Nur Hidayah Roslee, yang juga salah seorang wakil pihak penganjur RYC 2025.
Tujuan asas kem itu adalah untuk memupuk nilai teras keyakinan, ketabahan dan pemerkasaan.
Peserta program tersebut turut melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan fizikal, sosial dan yang berkaitan dengan Ramadan.
Antara kegiatan fizikal yang diadakan adalah yang ditujukan untuk mendidik belia tentang tawakal (keyakinan dengan Allah) dan kepercayaan diri.
Peserta juga diberi peluang melalui, Ramadan Quest, iaitu beberapa kegiatan yang membolehkan belia berinteraksi dengan orang awam, untuk meningkatkan kesedaran tentang Ramadan.
Setiap hari diakhiri dengan majlis berbuka puasa, khatam Al-Quran dan solat tarawih.
“Kami ingin mengubah cara orang muda melibatkan diri dengan masjid,” kata pengerusi bersama SalamSG Ramadan 2025, Ustaz Fairuz Shah Sudiman.
“Apabila kita membina suasana yang tepat, orang muda akan tertarik kepada kegiatan masjid dengan senang.”
Melalui RYC, pihak penganjur dan masjid berharap dapat membuktikan bahawa kegiatan masjid boleh dianggap menarik oleh belia dan menjadi peluang untuk mereka mendalami ilmu dan amalan agama.
Orang muda yang ingin melibatkan diri dalam kegiatan masjid boleh menghubungi masjid terdekat untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai program yang akan datang.
Mereka juga boleh mengikuti SalamSG di media sosial, @SalamSG, atau melalui saluran WhatsApp di www.go.gov.sg/salamsgwhatsapp.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg