Kemahiran komunikasi bantu NSMan galas amanah pakar tentera kanan di Pusat Maklumat Tentera Laut
Kemahiran komunikasi bantu NSMan galas amanah pakar tentera kanan di Pusat Maklumat Tentera Laut
Pengarah firma acara antara 850 anggota kerahan raih manfaat Skim Pengerahan Kepakaran Dipertingkat
Lebih sedekad lamanya, Pakar Tentera 4 (NS) atau ME4 (NS) Mohamed Najid Mohamed Sultan, banyak berurusan dalam bidang komunikasi di beberapa kementerian setempat sebelum menggalas amanah sebagai pengarah pemasaran sebuah syarikat pengurusan acara.
Kini, beliau yang merupakan penerima biasiswa pemerintah, menggalas amanah sebagai penasihat tentera laut dalam pelbagai strategi media dan kempen perhubungan awam.
ME4 (NS) Mohamed Najid, 37 tahun, juga berkongsi ilmu pengetahuan dan kepakarannya, bila-bila diperlukan, bersama pegawai lebih muda.
Sebelum ini, setiap kali menjalani latihan kerahan sebagai Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSman), tugasnya adalah sebagai penolong sokongan pentadbiran di unit tentera.
Sejak 2023, beliau yang kini merupakan pengarah syarikat penganjuran dan penyampaian acara sukan, kandungan digital dan penerbitan langsung, Flying Circus, beralih ke Pusat Maklumat Tentera Laut, bagi satu bidang tugas komunikasi yang dekat di hatinya.
Bagi ME4 (NS) Mohamed Najid, beliau kini menemui cara baru untuk berkhidmat kepada pertahanan negara dengan memanfaatkan kepakarannya dalam bidang komunikasi yang merupakan tugas sehariannya di luar bidang tentera.
Beliau merupakan antara 850 Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSman) yang telah memanfaatkan Skim Pengerahan Kepakaran Dipertingkat, sejak ia dilancarkan pada 2022.
Pada 21 Januari, ME4 (NS) Mohamed Najid merupakan antara 234 pegawai yang dikerahkan semula dalam tugasan baru dan dilantik sebagai pakar tentera kanan dalam satu upacara di Institut Tentera Safti.
Seramai 25 orang berkhidmat buat tentera, 28 pula untuk tentera laut, 31 yang lain bagi tentera udara, 144 pegawai pula daripada Perkhidmatan Digital dan Risikan, manakala enam yang lain daripada perkhidmatan bersama.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), ME4 (NS) Mohamed Najid berkata: “Saya dapat tahu tentang Skim Pengerahan Kepakaran Dipertingkat ini daripada seorang pegawai ketika menjalani latihan kerahan.
“Dalam tugas saya kini di Flying Circus, saya mengarah dan merancang perihal pengalaman penonton dalam acara sukan, seolah-olah saya merupakan pengarah seni yang mencipta suasana melalui muzik, ciri-ciri langsung, dan interaksi peminat.
“Kemahiran yang sama ini dapat saya terapkan dalam penyampaian mesej strategik dan pengurusan pihak berkepentingan di Pusat Maklumat Tentera Laut untuk kempen atau bahan media yang diusahakan.”
Beliau telah menjalani dan tamat Kursus Pakar Domain Tentera, yang melatih pakar anggota tentera mengisi peranan di Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), dengan memanfaatkan kemahiran dan kepakaran daripada kerjaya seharian mereka.
“Secara peribadi, saya rasa saya ibarat kembali ke titik permulaan memahami dan memperluas bidang komunikasi, tetapi yang lebih penting, saya merasakan tanggungjawab menyumbang kepada pertahanan negara dengan lebih bermakna lagi.
“Saya berharap dapat berkongsi pengalaman dan kemahiran saya bagi membantu memperkukuh usaha komunikasi Tentera Laut,” kongsi ME4 (NS) Mohamed Najid, yang sudah berumah tangga tetapi belum mempunyai cahaya mata.
Selepas menamatkan pengajian di Universiti New York (NYU) dalam bidang Kewartawanan dan Falsafah, ME4 (NS) Mohamed Najid kembali ke Singapura untuk menunaikan tuntutan biasiswa beliau dalam pelbagai agensi pemerintah termasuk Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebagai pegawai maklumat.
Dalam peranan ini, beliau menguruskan komunikasi strategik, termasuk hubungan media, penyampaian pesanan kepada orang ramai, dan komunikasi krisis merentas pelbagai kementerian di Singapura.
“Impian saya untuk menjadi pegawai tentera sepenuh masa terkubur kerana kecederaan lutut semasa bermain bola.
“Justeru, peluang menyumbang pada pertahanan negara dalam tugas kepimpinan kini sebagai anggota kerahan tidak akan disia-siakan.
“Saya mengalu-alukan usaha SAF dalam menukik kepakaran mendalam anggota kerahannya. Ada ramai NSman di luar sana yang melakukan banyak tugas menarik. Dari lautan kepakaran itu, ia merupakan sumber yang boleh ditukik untuk pertahanan negara,” katanya.

