Polis tidak mengesyaki perbuatan jenayah selepas percubaan untuk memindahkan mesin hampir 900 kilogram (kg) di tapak kerja Rifle Range Road menyebabkan kematian seorang lelaki Singapura berusia 31 tahun pada Disember 2022.
Semasa siasatan koroner pada 5 November 2024 berhubung kematian Encik Ely Chow di tempat kerja, polis berkata Encik Chow dan rakan-rakannya ditugaskan memindahkan mesin pengelim dari satu kawasan tapak ke kawasan lain.
Sarjan Staf Kanan (SSS) Ng Tyan Soon memberi keterangan bahawa kumpulan itu ditugaskan menggerakkan mesin dengan bantuan forklift di tapak yang gunakan oleh ST Engineering Advanced Material Engineering, lapor The Straits Times.
SSS Ng, pegawai penyiasat dalam kes Encik Chow, berkata sebelum mengangkat mesin dengan forklift, pengendali forklift telah meminta Encik Chow supaya memastikan tiada halangan kerana pandangannya tersekat.
Mahkamah diberitahu bahawa mesin terletak di dalam struktur kotak.
Kira-kira 7.45 pagi pada 27 Disember 2022, Encik Chow pergi memeriksa kawasan tersebut.
Selepas isyarat selamat diberikan, pemandu forklift memasukkan ‘garpu’ forklift ke dalam kotak yang menempatkan mesin tersebut.
Encik Edmund Ng, pegawai penyiasat kanan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), berkata bahawa rakaman kamera litar tertututp (CCTV) menunjukkan pemandu forklift telah memasukkan ‘garpu’ ke dalam kotak dan mengangkatnya sebelum mencondongkan ‘garpu’.
Beliau berkata berdasarkan rakaman, ‘garpu’ itu tidak dimasukkan sepenuhnya apabila muatan dicondongkan.
Ketika ini, kotak yang memegang mesin pengelim 900kg, yang digambarkan sebagai “berat di bahagian atas”, jatuh ke hadapan, menghentak dahi Encik Chow sebelum menghempapnya.
SSS Ng berkata apabila penyelia dimaklumkan dan tiba di tempat kejadian, Encik Chow telah disandarkan ke dinding.
Mukanya bengkak dan darah keluar dari hidung dan mulutnya.
Encik Chow telah dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong dan beliau disahkan meninggal dunia pada 9.03 pagi.
Pemandu forklift tersebut mempunyai lesen mengendalikan forklift dan telah mengendalikan forklift di tapak kerja Rifle Range selama tiga setengah tahun.
Koroner Adam Nakhoda mengucapkan takziah kepada ibu bapa dan adik perempuan Encik Chow yang berada di mahkamah pada 5 November.
Mahkamah akan menerbitkan dapatan berhubung siasatan itu pada 24 Januari 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg