Seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk, selepas dia dirakam dalam satu video memandu melawan arus lalu lintas pada 13 Oktober.
Menurut video yang disiarkan dalam talian, tiga penunggang motosikal dilihat berada di lorong paling kanan di satu persimpangan, apabila sebuah kereta putih menghampiri mereka.
Mereka dengan pantas turun dari motosikal dan berjaya mengelak daripada dirempuh kereta tersebut, dengan seorang lelaki terjatuh di semak berhampiran mereka.
Kereta putih itu kemudian terhenti selepas merempuh kereta yang berada di belakang motosikal tersebut.
Video yang dimuat naik ke Facebook SG Road Vigilante telah ditonton lebih 100,000 kali, dan menarik hampir 1,000 reaksi, dan lebih 200 komen.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka dimaklumkan mengenai kemalangan di simpang Toh Tuck Avenue dan jalan susur menuju ke Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) itu sekitar 11.15 malam pada 13 Oktober.
Pemandu kereta itu kemudian ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk, manakala tiga penunggang motosikal – lelaki berusia antara 21 dengan 25 tahun – berada dalam keadaan sedar ketika dibawa ke hospital, kata polis. Siasatan sedang dijalankan.
Angka yang dikeluarkan Polis Trafik (TP) pada Ogos menunjukkan terdapat lebih banyak kemalangan maut berkaitan memandu laju dan memandu dalam keadaan mabuk pada separuh pertama 2024 – tempoh di mana lebih ramai individu terbunuh di jalan raya.
Terdapat sembilan kes kemalangan maut akibat memandu dalam keadaan mabuk pada separuh pertama 2024, meningkat daripada lapan dan tiga kes dalam tempoh sama masing-masing pada 2023 dan 2022.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg