Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kematian budak 4 tahun: Keseluruhan sistem gagal lindung Megan Khung, kata pekerja sosial

Apr 11, 2025 | 2:03 PM
Megan Khung berusia empat tahun ketika didera oleh ibunya, Foo Li Ping, dan teman lelaki ibunya, Wong Shi Xiang, sebelum dia meninggal dunia akibat ditumbuk dengan kuat oleh Wong.
Megan Khung berusia empat tahun ketika didera oleh ibunya, Foo Li Ping, dan teman lelaki ibunya, Wong Shi Xiang, sebelum dia meninggal dunia akibat ditumbuk dengan kuat oleh Wong. - Foto INSTAGRAM

Kegagalan sistem secara menyeluruh telah menyebabkan kematian tragis kanak-kanak berumur empat tahun, Megan Khung, menurut Persatuan Kanak-kanak Singapura (SCS) dan beberapa pekerja sosial lain pada 9 April.

Meski terdapat kelemahan dalam cara pihak prasekolah melaporkan kebimbangan mereka, guru Megan dikatakan “sangat pantas” mengesan tanda-tanda penderaan fizikal pada Megan sebaik sahaja ia dilihat, menurut kenyataan persatuan tersebut.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas pihak berkuasa mendedahkan urutan kejadian sebelum kematian Megan pada Februari 2020, dengan berkata bahawa Beyond Social Services – prasekolah yang dihadiri kanak-kanak itu – tidak memberi gambaran menyeluruh tentang tahap keseriusan kecederaan kanak-kanak itu.

Kanak-kanak itu telah didera selama beberapa bulan oleh ibunya, Foo Li Ping, dan teman lelaki ibunya, Wong Shi Xiang, sebelum Wong menumbuk Megan dengan kuat sehingga dia meninggal dunia, lapor The Straits Times (ST).

SCS berkata pihak prasekolah dan Beyond telah beberapa kali cuba menyuarakan kebimbangan mereka kepada agensi berkaitan seperti Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) dan Pusat Pakar Perlindungan Kanak-kanak (CPSC) bagi mendapatkan nasihat tentang cara mengendalikan kes tersebut.

Beyond juga telah membantu nenek Megan membuat laporan polis.

ST telah menghubungi pihak polis untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tindakan susulan selepas laporan itu dibuat.

Walaupun pendidik prasekolah berada dalam kedudukan yang tepat untuk memantau kesejahteraan kanak-kanak dan mengesan tanda-tanda penderaan, latihan serta tugas utama mereka adalah untuk menjaga dan mengajar kanak-kanak, kata jurucakap SCS.

Para pendidik perlu diberi panduan mengenai cara mengendalikan keprihatinan mereka jika mereka mengesyaki penderaan, serta cara melaporkannya kepada pihak berkaitan, katanya.

Seorang pekerja sosial berusia 29 tahun, yang bekerja di sebuah agensi yang membantu kanak-kanak kurang berkemampuan, berkata beliau merasakan adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada Beyond kerana beliau merasakan pekerja-pekerja tersebut telah berusaha sedaya-upaya untuk melindungi Megan.

“Sistem lebih besar sepatutnya melakukan lebih baik dalam melindunginya. Hanya setelah kematiannya, protokol dipertingkatkan,” tambahnya.

Cik Lin Shiyun, pengasas 3Pumpkins, sebuah badan bukan pemerintah (NGO) yang bekerja dengan kanak-kanak, berkata terdapat keperluan untuk meneliti pelbagai lapisan ekosistem perlindungan kanak-kanak dan mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki.

“Bagi mereka yang kerap berinteraksi dengan kanak-kanak, seperti pendidik atau pekerja masyarakat, mereka memerlukan latihan dan sumber daya untuk melindungi kanak-kanak.

“Bagi perkhidmatan perlindungan kanak-kanak, perlu ada penilaian semula terhadap keupayaan mereka dalam membuat tindakan susulan kerana tahap kepantasan tindakan mereka biasanya bergantung kepada keberkesanan (anggota) masyarakat mengemukakan kes tersebut,” katanya.

Pada 2021, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) telah memperkenalkan sebuah garis panduan bagi memastikan prasekolah mengambil tindakan yang wajar jika mereka mengesyaki seorang kanak-kanak telah didera. 

Mereka dikehendaki menilai keadaan itu dan melaporkan sebarang kebimbangan mengenai penderaan kanak-kanak kepada ECDA dalam tempoh 24 jam.

Jika seorang kanak-kanak yang disyaki didera sering tidak hadir atau menarik diri dari prasekolah tanpa alasan yang kuat, prasekolah juga perlu memaklumkan pekerja sosial atau pegawai perlindungan kanak-kanak MSF yang bertanggungjawab mengendalikan kes tersebut.

Pengarah Rumah Persatuan Bantuan Kanak-Kanak (CAS), Cik Cindy Tay, berkata dalam satu catatan di LinkedIn pada 8 April bahawa apabila kejadian seperti ini berlaku, seluruh sistem perlu bertanggungjawab.

Pendekatan yang hanya menyalahkan agensi perkhidmatan sosial atau individu tertentu boleh merosakkan hubungan dan kepercayaan antara agensi-agensi masyarakat lain.

Ini mungkin akan menghalang usaha kerjasama pada masa depan, katanya.

“Ia juga boleh menyebabkan pekerja masyarakat berasa ragu untuk mengambil tindakan yang diperlukan atau membuat keputusan kerana bimbang jika (mereka) melakukan kesilapan, mereka akan mendapat kritikan daripada orang ramai.”

Menurut MSF, sepanjang 10 tahun lalu, sekurang-kurangnya lapan kes melibatkan kematian kanak-kanak telah berlaku tanpa pengetahuan pihak perkhidmatan sosial.

SCS antaranya mencadangkan agar ECDA melantik pegawai keselamatan kanak-kanak di setiap pusat prasekolah untuk menangani isu perlindungan kanak-kanak.

Pegawai ini boleh terdiri daripada pendidik yang telah menjalani latihan khusus dalam bidang perlindungan kanak-kanak, termasuk pengetahuan tentang cara menggunakan Panduan Saringan Khusus Mengikut Sektor, kata jurucakap persatuan itu.

Panduan tersebut diperkenalkan oleh MSF pada 2016 bagi membantu para karyawan barisan hadapan menangani kebimbangan mengenai kes penderaan kanak-kanak.

“Namun begitu, kewujudan panduan itu tidak semestinya bermaksud ia telah diterapkan dan digunakan secara berkesan dalam sektor tersebut,” menurut jurucakap SCS.

Berdasarkan satu tinjauan yang dijalankan SCS untuk memahami tahap pengetahuan pendidik prasekolah dalam mengendalikan kebimbangan mengenai penderaan dan pengabaian kanak-kanak, hanya 27.1 peratus daripada 336 responden didapati sedar tentang kewujudan panduan itu, tambah beliau.

Persatuan itu kini sedang menjalankan tinjauan susulan untuk melihat sama ada terdapat peningkatan dalam tahap kesedaran pendidik prasekolah sejak 2017.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg