Lelaki yang didakwa mengambil dadah bersama mendiang bekas peguam, Encik Ravi Madasamy, atau lebih dikenali sebagai M. Ravi, berdepan pertuduhan dadah pada 2 Januari.
Shawn Loo Zhi Jian, 40 tahun, kini didakwa mengambil methamphetamine pada atau sebelum 24 Disember 2025.
Loo, diwakili oleh peguam Ashvin Hariharan, akan kembali ke mahkmah pada 28 Januari.
Dia pertama kali didakwa pada 26 Disember 2025 kerana mengatur pertemuan untuk pengambilan dadah terkawal, lapor The Straits Times (ST).
Loo didakwa mengatur satu pertemuan dengan Encik Ravi di sebuah flat di Upper Boon Kheng Road, antara 1 pagi hingga 5 pagi, untuk menggunakan methamphetamine.
Encik Ravi meninggal dunia pada usia 56 tahun pada hari yang sama, 24 Disember.
Polis sebelum ini berkata mendiang telah mengambil dadah bersama seorang rakan sebelum ditemui tidak sedarkan diri di flat itu. Paramedik tiba selepas panggilan pada 5.40 pagi.
Rakan itu, yang bersamanya, mengaku mengambil dadah bersama Encik Ravi beberapa jam sebelumnya.
Lelaki tersebut memberitahu pihak berkuasa bahawa mendiang mengalami reaksi dadah, mendorongnya menghubungi bantuan dan memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).
Lelaki itu ditahan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB), manakala Encik Ravi dibawa ke hospital, di mana beliau kemudian disahkan meninggal dunia.
Dalam kenyataan bersama polis dan CNB pada 26 Disember, pegawai CNB merampas barangan berkaitan dadah dari flat tersebut.
Ujian air kencing segera lelaki itu didapati positif dadah terkawal. Sampel air kencingnya akan dihantar ke Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk ujian pengesahan.
Kedua-dua lelaki saling mengenali sejak 2023, bertemu melalui aplikasi media sosial.
Kenyataan bersama itu menambah: “Lelaki berusia 40 tahun itu menyatakan mereka bertemu di flatnya pada 24 Disember untuk mengambil dadah yang didakwa dibawa oleh mereka berdua, serta melakukan aktiviti lain.”
Sesiapa yang didapati bersalah mengatur pertemuan untuk mengambil dadah terkawal boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan 10 sebatan.
Bagi kesalahan mengambil dadah, hukuman maksimum adalah penjara 10 tahun, denda sehingga $20,000, atau kedua-duanya sekali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg