Jika dapat memutarkan masa, Encik Abdul Samad Abdul Kadir, 64 tahun, berharap beliau dapat berjumpa dengan arwah emaknya buat kali terakhir dan memohon maaf kerana berulang kali mengambil dadah dan dipenjara.
Selama 40 tahun, sejak berusia 17 tahun, Encik Samad telah keluar masuk penjara lebih daripada 10 kali atas kesalahan dadah, dan ini telah menjejaskan hubungannya dengan emak dan adik-beradiknya.
Setelah disingkir oleh adik-beradiknya dan susulan kematian emaknya, Encik Samad kini bertekad untuk mengubah sikap dan membuka lembaran baru dalam kehidupannya.
Semasa bercakap dengan Berita Harian (BH) sambil mencuba mengawal air matanya, Encik Samad berkata titik perubahannya berlaku apabila adik-beradiknya berhenti melawatnya di penjara selepas ibu mereka meninggal dunia.
“Mereka memberitahu saya mereka akan berhenti melawat saya jika saya masuk lagi. Saya fikir mereka bergurau tetapi mereka benar-benar tidak melawat. Mereka juga kata saya tidak dibenarkan kembali ke rumah mereka setelah dibebaskan kerana mereka percaya saya tidak akan ubah cara saya.
“Apabila saya melihat banduan lain mendapat surat dan lawatan, saya berasa sedih. Tiada ibu, tiada adik beradik yang datang. Tiada siapa yang perlu dipersalahkan selain diri saya sendiri. Saya tahu saya perlu berubah ke arah yang lebih baik,” kata Encik Samad.
Encik Samad mula ditangkap pada 1977, semasa beliau ingin mencuba menghisap dadah dengan rakan-rakannya sementara menunggu untuk menjalani perkhidmatan negara (NS).
Pada ketika itu, beliau berusia 17 tahun dan baru sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ apabila beliau ditahan oleh pihak berkuasa dalam satu operasi antidadah terkenal di Singapura yang dipanggil Operasi Ferret.
Operasi Ferret ialah operasi bersama yang dilancarkan pada April 1977 oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) bersama pihak berkuasa lain untuk membanteras bekalan dadah heroin di Singapura.
Dalam tempoh empat hari sahaja, lebih 900 pesalah dadah telah ditangkap dan, pada bulan-bulan berikutnya, bekalan heroin telah dipotong secara mendadak.
Operasi tersebut, yang dijalankan di lebih 100 tempat di Singapura, membawa kepada penahanan lebih 8,000 suspek.
Untuk kesalahan pertamanya pada 1977, Encik Samad telah dipenjarakan selama enam bulan.
Empat tahun kemudian, beliau melakukan kesalahan lagi dan dipenjarakan selama 16 bulan. Kesalahan terakhirnya disebabkan pengedaran dadah di mana beliau menjalani hukuman penjara lima tahun.
“Semasa itu, saya belum insaf lagi. Setiap kali saya dibebaskan, saya akan segera mencari dadah semula. Pada masa itu, saya tidak terlalu memikirkan akibatnya. Saya hanya tertumpu pada kelegaan cepat yang saya dapat daripada mengambil dadah.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini sebelum pembebasan terakhir saya, saya gembira saya bertemu Ustaz Bachik di penjara yang membimbing saya bagaimana untuk memperbaiki kehidupan saya dan menjadi orang yang lebih baik walaupun sudah tua,” kata Encik Samad.
Apabila Encik Samad dibebaskan dari penjara, beliau tidak mempunyai rumah untuk pulang dan masih terasing daripada keluarganya. Tekanan perasaan akibat kehilangan emaknya terus menghantuinya.
Pada saat itu, mujur datangnya rumah peralihan HCSA Highpoint yang memberinya perlindungan, kaunseling dan membantunya mencari pekerjaan.
Dilancarkan pada 1996, rumah peralihan itu menyediakan program kediaman bagi pemulihan ketagihan dadah dan tempat perlindungan yang selamat bagi bekas pesalah lelaki gelandangan untuk memulakan semula kehidupan mereka bebas dari dadah.
“Saya sangat berterima kasih kepada Highpoint, terutamanya sesi bimbingan peribadi yang diadakan. Ia sangat membantu saya. Mereka juga membantu saya mencari pekerjaan di sekolah Jerman sebagai seorang juruteknik.
“Pada mulanya, ia adalah kontrak tiga bulan, kemudian dilanjutkan tiga bulan lagi. Kemudian, pihak sekolah menawarkan saya kerja tetap,” kata Encik Samad.
Pada 2018, dengan bantuan Highpoint, Encik Samad berjaya mendapat flat sewa bersama seorang rakan flat, yang juga seorang penghuni program Highpoint. Di sana, Highpoint memastikan mereka mempunyai perabot dan peralatan penting, dan terus disokong baik oleh pegawai kes mereka.
Kehidupan Encik Samad turut berubah menjadi lebih baik pada 2021 apabila beliau bertemu dan berkahwin dengan isterinya, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Virgie, dan berpindah dari flat sewanya ke sebuah flat empat bilik di Woodlands.
Meskipun kehidupan telah bertambah baik, pasangan suami isteri itu tetap meluangkan masa untuk membantu bekas pesalah lain menerusi program anjuran Act In Motion Society (AIMS), dan rangkaian sokongan pro-sosial rakan kongsi bekas pesalah yang dipanggil Wisdom.
Pengurus Program (Jagaan Susulan) di HCSA Highpoint, yang juga pegawai kes Encik Samad, Encik Samuel Wong, berkata bahawa Encik Samad telah mencapai kemajuan yang ketara sejak beliau di Highpoint.
“Samad sendiri terus berbakti kepada masyarakat dengan menjadi sukarelawan. Beliau juga menjadi sukarelawan di Karnival Keluarga HCSA dan bersedia untuk menjadi sukarelawan sekali lagi pada Ogos 2024 sebagai sebahagian daripada jangkauan AIMS ke penjara.
“Kededua Samad dan Virgie telah menjadi sebahagian daripada rangkaian sukarelawan AIMS dan HCSA, menunjukkan kesan mendalam daripada sokongan yang mereka terima dan komitmen mereka untuk membantu orang lain dalam perjalanan yang sama.
“Perjalanan mereka juga menunjukkan bagaimana usaha integrasi semula bekas pesalah hanya boleh dilakukan dengan sokongan keluarga mereka dan seluruh masyarakat ke arah mengatasi cabaran,” kata Encik Wong.
Ketika ditanya BH, bagaimana kehidupan beliau sekarang, Encik Samad berkata beliau bersyukur kerana diberi peluang untuk memulakan hidup baru dan kekal teguh untuk tidak kembali kepada tabiat lamanya.
Tambahnya, beliau akan terus memberi sokongan kepada mereka yang sedang bergelut dan menggunakan pengalamannya untuk membimbing mereka untuk berintegrasi semula dalam masyarakat.
“Saya gembira dengan kehidupan yang baru ini dan saya akan terus membantu orang lain yang melalui perjuangan yang sama seperti saya.
“Hubungan saya dengan adik-beradik saya lebih baik sekarang, dan saya berharap untuk mengekalkannya sepanjang hayat saya,” kata Encik Samad.
“
Apabila saya melihat banduan lain mendapat surat dan lawatan, saya berasa sedih. Tiada ibu, tiada adik beradik yang datang. Tiada siapa yang perlu dipersalahkan selain diri saya sendiri. Saya tahu saya perlu berubah ke arah yang lebih baik.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg