Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kembali dari Kuwait untuk perkasakan generasi Muslim

Apr 12, 2025 | 5:30 AM
Ustaz Afzhalur Abdul Jaleel percaya usaha untuk mempertingkatkan kemahiran dalam pengajaran amatlah penting, kerana ia membantu guru menyediakan pelajaran yang dapat membentuk pemimpin Muslim masa hadapan.
Ustaz Afzhalur Abdul Jaleel percaya usaha untuk mempertingkatkan kemahiran dalam pengajaran amatlah penting, kerana ia membantu guru menyediakan pelajaran yang dapat membentuk pemimpin Muslim masa hadapan. - Foto MUIS

Minat Ustaz Afzhalur Abdul Jaleel dalam bidang pendidikan agama, terutama sekali dalam aspek pemeliharaan dan penyebaran pengetahuan Islam, telah dipupuk sejak kecil lagi.

Beliau memulakan pendidikannya di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah. Beliau menjadi pelajar tersebut sehingga darjah tiga sebelum beralih ke Madrasah Aljunied Al-Islamiah dari darjah empat hingga menengah satu.

Ustaz Afzhalur, 31 tahun, kemudian melanjutkan pelajarannya di Kuwait, sehingga beliau berjaya menjadi graduan bidang pengajian sastera dan bahasa Arab dari Universiti Kuwait pada tahun 2021.

Merasakan yang beliau masih perlu menimba ilmu, Ustaz Afzhalur, menyertai program Sijil Pascasiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS), anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Beliau berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang pada tahun 2023 dan dianugerahi gelaran valediktorian bagi kohortnya.

PEGANG TANGGUNGJAWAB PENTING

Dedikasi Ustaz Afzhalur kepada bidang pendidikan agama terserlah dengan kembalinya beliau ke sekolah pertamanya, Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, sebagai tenaga pengajar pula.

Selain menjadi guru bahasa Arab, beliau juga memegang dua peranan utama kepimpinan di madrasah itu - sebagai penyelaras peringkat di Jabatan Pembangunan Murid dan penyelaras bahasa Arab.

Sebagai penyelaras peringkat di Jabatan Pembangunan Murid, beliau merangka program untuk memupuk sahsiah dan kesejahteraan pelajar, sementara sebagai penyelaras bahasa Arab, beliau menyusun semula kurikulum bahasa Arab, demi menjadikannya lebih menarik dan relevan dengan konteks tempatan.

Sepanjang memegang jawatan tersebut, beliau juga berjaya merancang dan melaksanakan strategi persiapan bagi para pelajar Darjah Enam (P6) untuk menghadapi peperiksaan utama, iaitu Peperiksaan Penyaluran Pengajian Islam (ISPE).

Pendekatan berstruktur beliau bermanfaat bagi memastikan pelajar mendapat bimbingan terbaik untuk cemerlang dalam akademik.

“Saya percaya bahawa pendidikan bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi ia juga memupuk bakal duta Muslim yang dilengkapi dengan kemahiran diperlukan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat Islam di Singapura,” kata Ustaz Afzhalur.

CABARAN GENERASI CELIK TEKNOLOGI

Menurut Ustaz Afzhalur, beliau turut berdepan cabaran untuk menyampaikan pengetahuan bahasa Arab kepada para pelajar daripada generasi celik teknologi. Katanya, ia memerlukan pendekatan yang interaktif dan sentiasa melibatkan diri pelajar.

“Saya ingin membantu kemajuan pendidikan bahasa Arab dan pembangunan kemahiran sosial, emosi dan intelek pemimpin Islam masa hadapan.

“Oleh itu, mengintegrasikan alat teknologi dan penerapan teori pembelajaran yang berbeza ke dalam pelajaran adalah satu perkara yang penting.

“Saya mengutamakan empat elemen dalam pengajaran bahasa arab iaitu konstruktivisme, behaviorisme, konstruktivisme sosial dan kognitivisme.

“Ini terdiri daripada penetapan objektif pembelajaran yang jelas, pemberian maklum balas yang membina dengan tindakan susulan, kemahiran menyelesaikan masalah, pengaplikasian senario sebenar serta perkongsian rakan sebaya,” kongsinya.

PELUANG TINGKATKAN KEMAHIRAN PEDAGOGI

Ustaz Afzhalur juga bersyukur atas peluang memperhalusi pendekatan pedagogi dalam pengajaran bahasa Arab dan meningkatkan pembangunan pelajar melalui program pembangunan profesional, Diploma Pakar dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Institut Pendidikan Nasional Antarabangsa (NIEI).

Beliau menjelaskan: “Dalam program tersebut, saya diperkenalkan dengan pelbagai rangka kerja pengajaran, teori reka bentuk pengajaran, teknik penilaian serta pengurusan bilik darjah.

“Kemahiran ini penting untuk mana-mana guru, temasuk saya kerana ia melengkapkan diri dengan strategi yang diperlukan dalam membangunkan pelajaran untuk pemimpin Muslim akan datang,” akhiri Ustaz Afzhalur.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg