Kemboja telah menghentikan penerbitan data mengenai kewarganegaraan baru yang dikeluarkan kerajaan itu kepada warga asing, susulan siasatan pengubahan wang haram bernilai AS$3 bilion ($3.85 bilion) di Singapura.
Semakan oleh The Straits Times (ST) dan kumpulan kewartawanan penyiasatan, Projek Pelaporan Jenayah dan Rasuah Terancang (OCCRP), menunjukkan kali terakhir butiran kewarganegaraan baru diterbitkan ialah pada Februari.
Pemerhati telah menarik perhatian betapa mudahnya mendapat kewarganegaraan dan pasport Kemboja selepas sembilan daripada 10 warga asing yang ditahan pada Ogos 2023 dalam siasatan di Singapura, memegang pasport Kemboja.
Kesemua 10 orang itu berasal dari China, yang tidak mengiktiraf dua kewarganegaraan.
Pada 2018, Kemboja membenarkan pendatang asing memohon kewarganegaraan melalui proses naturalisasi.
Untuk diberikan kewarganegaraan, warga asing perlu menunjukkan tingkah laku dan moral yang baik serta tidak mempunyai sabitan untuk jenayah serius.
Mereka juga mesti tinggal secara sah di Kemboja selama lebih daripada tujuh tahun, boleh bercakap Khmer dan memahami budaya dan sejarah tempatan.
Daripada sembilan warga asing yang ditahan di Singapura, sekurang-kurangnya lima disabitkan bersalah atas perjudian dalam talian atau mereka dikehendaki pihak berkuasa di China.
Mereka ialah Wang Dehai, Vang Shuiming, Su Jianfeng, Chen Qingyuan dan Su Wenqiang.
Seramai 17 lagi rakan sekutu daripada 10 warga asing itu juga memegang pasport Kemboja.
Mereka termasuk Su Binghai, Su Yongcan, Wang Huoqiang, Su Shuiming, Su Shuijun, Su Fuxiang and Chen Mulin.
Kemboja mempunyai purata kira-kira 50 warganegara baru setiap bulan antara Januari 2020 dengan Ogos 2023.
Selepas serbuan di Singapura, kerajaan itu memberikan status kerakyatan kepada empat individu sahaja antara September 2023 dengan Disember 2023.
Diperkenalkan pada 1996, undang-undang kerajaan mengenai kewarganegaraan juga membenarkan orang asing memperoleh kewarganegaraan melalui pelaburan dalam negara.
Di bawah undang-undang tersebut, warga asing yang melabur sekurang-kurangnya AS$300,000 di negara itu atau menderma sekurang-kurangnya AS$250,000 kepada ekonomi, boleh memohon mendapat kewarganegaraan.
Encik Jacob Sims, pakar pelawat jenayah transnasional di Institut Keamanan Amerika Syarikat, memberitahu ST bahawa selama bertahun-tahun, kewarganegaraan Kemboja untuk skim pelaburan telah menjadi saluran bagi individu daripada sindiket jenayah yang canggih untuk berhijrah.
Profesor Madya Kristin Surak dari London School of Economics and Political Science berkata bahawa tidak semua negara menyemak permohonan kewarganegaraan dengan ketat.
Perubahan nama juga menyukarkan pihak berkuasa mengesan penjenayah.
Dr Surak, penulis The Golden Passport: Global Mobility For Millionaires, menegaskan bahawa ramai pemohon pada masa lalu telah menukar nama mereka.
“Ini menjadikan ia amat mudah bagi seseorang memiliki identiti baru, menjadikan Kemboja sebagai sasaran mereka yang mempunyai niat jenayah,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg